Program Saintis Islam Terengganu telah memulakan aktiviti sulungnya dengan pemilihan 11 pelajar cemerlang dari Sekolah Menengah Imtiaz (Imtiaz) Yayasan Terengganu seluruh negeri sebagai peserta perintis untuk projek itu pada tahun ini.
Program anjuran Yayasan Terengganu dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) itu bertujuan mencungkil bakat baharu dalam kalangan pelajar Imtiaz yang cemerlang dalam akademik dan mampu menghafaz 30 juzuk al-Quran untuk dibentuk menjadi saintis Islam dalam tempoh 10 tahun lagi.
Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMT, Prof Dr Mohd Effendy Abd Wahid berkata usaha itu selaras dengan hasrat Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman yang mahu mengembalikan zaman kegemilangan Islam dengan peradaban ilmu dan penguasaan teknologi sains.
“Untuk itu, UMT juga bekerjasama dengan sekumpulan pakar di Universiti Sultan Mizan Zainal Abidin (UniSZA) bagi membangunkan 10 modul untuk program ini.
“Antaranya modul Aprisiasi Ketamadunan Islam dan Kenegaraan, Modul Integrasi Minda Quranik dan Saintifik, Pengembangan Daya Fikir dan Intelektual, Pemantapan Jati Diri Psikospiritual.
“Modul lain ialah Komunikasi dan Dominasi Bahasa, Modul Kecergasan Fizikal dan Pemakanan Rasulullah, Modul Penerokaan Sains dan Matematik, Aplikasi Sains dan Teknologi serta Keusahawanan dan Modul Eksplorasi Kerjaya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menutup program Saintis Islam yang turut dihadiri Pengarah Yayasan Terengganu, Mohammad Sulong, semalam.
Melalui program itu, kerajaan negeri Terengganu akan berusaha melahirkan golongan Saintis Islam yang hafaz 30 juzuk al-Quran bagi mendalami ilmu-ilmu Islam meliputi pelbagai bidang sains.
Bagi merealisasikan hasrat tersebut, kerajaan negeri Terengganu telah bersetuju untuk memberi penajaan biasiswa sepenuhnya kepada pelajar yang terpilih dan berkelayakan bagi melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda, Sarjana, Doktor Falsafah (PhD) dan seterusnya berkhidmat di Terengganu (tertakluk kepada pencapaian peringkat Sarjana Muda).
Sementara itu, Mohammad berkata dua daripada 11 pelajar yang mengikuti program berkenaan akan dipilih untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang kejuruteraan Islam di Kolej Yayasan (UEM) di Lembah Beringin, Perak.
“Pada tahun lalu yayasan telah memberi penajaan kepada seorang pelajar untuk mengikuti program aeroangkasa manakala tahun ini kita akan memilih dua lagi pelajar ke UEM untuk bidang kejuruteraan dan kesemua mereka akan dihantar ke pusat pengajian tinggi dengan bidang yang bersesuaian,” katanya.