Terengganu Inc. Labur RM25 Juta Miliki Chicken Cottage

Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc), anak syarikat milik Kerajaan Terengganu membuat pelaburan bernilai RM25 juta bagi mengambil alih 70 peratus kepentingan dalam Chicken Cottage, iaitu rangkaian restoran makanan segera terkemuka berpangkalan di United Kingdom (UK).

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said berkata, pengambilalihan itu merupakan pelaburan negeri dalam industri makanan halal selain menjana pendapatan negeri untuk masa depan.

 

“Ini kerana Chicken Cottage adalah satu nama yang agak besar dalam industri restoran makanan segera dengan mempunyai 151 francais di United Kingdom serta di Pakistan, Algeria, Perancis, Dubai, Slovakia, Afrika Selatan, Libya, Sweden, Itali dan Iraq.

“Pelaburan ini dilihat mempunyai potensi besar untuk berkembang di serata dunia berdasarkan kepada kejayaannya di United Kingdom dan permintaan tinggi daripada bakal franchisee terutamanya dari India dan Australia,” katanya.

 

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada majlis pengambilalihan Chicken Cottage oleh TI Global Food Holding Ltd di Hotel Hilton Kuala Lumpur sebentar tadi.

Hadir sama, Yang Dipertua DUN, Mohd. Zubir Embong; Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Dato’ Jailani Johari; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah; Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Inc, Dato’ Wan Ahamad Wan Muda dan Pengarah Global Food Brands Inc., Dato’ Mohamed Shaheen Mohd Sidek.

Chicken Cottage turut dimiliki oleh Global Food Brands dengan pegangan saham sebanyak 30 peratus.

 

Ahmad berkata, pengambilalihan itu dijangka menyediakan platform kukuh meraih satu lagi sumber pendapatan stabil kepada Terengganu Inc, sekali gus terus dapat memberikan pulangan berdaya saing kepada pendepositnya.

“Istimewanya, produk makanan Chicken Cottage adalah produk halal, sekali gus memudahkannya untuk berkembang kerana boleh dinikmati hampir setiap masyarakat dunia tanpa mengira kaum atau agama.

“Selain membuka cawangan di Malaysia khususnya Terengganu, produk itu akan dikembangkan ke pasaran China dan negara-negara Timur Tengah,” katanya.

Beliau berkata, cadangan pengambilalihan itu juga sebahagian daripada strategi syarikat seperti terkandung dalam Pelan Strategik TISB 2014 hingga 2018.

Menerusi pelan lima tahun itu, syarikat mengunjurkan memperoleh nilai aset bersih kepada RM2 bilion selain mengekalkan pendapatan terkumpul sekurang-kurangnya sebanyak RM100 juta menjelang 2018.

UMNO Terengganu Siap Sedia Bantu Calon BN Di Kajang

UMNO Terengganu sudah bersiap sedia untuk membantu jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang menjelang penamaan calon pada 11 Mac ini.

Ketua Penerangan UMNO Negeri, YB. Senator Dato’ Abdul Rahman Bakar berkata, kira-kira 500 pemimpin dan ahli UMNO di semua peringkat yang diketuai oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said akan ke Kajang bagi memastikan calon BN memenangi kerusi tersebut.

“Kita akan turun ke Kajang untuk bantu jentera BN menjelang hari penamaan calon PRK Kajang, buat masa ini kita sedang cari tempat sesuai untuk berkampung sebelum bersedia untuk ke sana.

“Kira-kira 500 orang (pemimpin dan ahli) UMNO akan ke Kajang dan mereka adalah dari semua peringkat di semua lapan bahagian dan sayap parti, kita akan bantu bukan saja mengadakan ceramah malah bergerak dari rumah ke rumah,” katanya hari ini.

PRK Kajang : PAS Umpama Singa Sarkas

Tiada apa yang patut dihairankan apabila melihat tindak tanduk Pas berhubung perletakan jawatan ADUN Kajang, Lee Chin Cheh dari PKR bagi memberi laluan kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim bertanding di DUN Kajang.

Seperti biasa Pas di dalam pakatan tidak ubah seperti singa sarkas yang melakukan aksi untuk hiburan semata-mata dengan mengikut setiap telunjuk tuannya yang memegang cemeti.

Bagi bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Dato’ Seri Mohd Fairus Khairuddin, apa jua nada garang atau ketidakpuasan hati yang ditunjukkan Pas tidak akan ke mana kerana mereka terperangkap dalam kedangkalan mereka sendiri.

Kenyataan beliau yang dipetik dari Media-UMNO itu memberitahu, harga yang mereka perlu bayar setelah berbai’ah’ bersama sekutu mereka di dalam pakatan pembangkang.

“Sebelum ini bukan main garangnya, namun rupa-rupanya itu hanya sekadar lakonan semata-mata. Hakikatnya Pas hanya penumpang dalam pakatan kerana segala keputusan akhir terletak pada tangan DAP dan PKR.

“Akhirnya Pas terpaksa bermain wayang dalam keadaan ahli dan penyokong mereka di akar umbi sedang kuat bergolak dek permainan politik jijik PKR dan DAP berhubung drama di Kajang,” katanya baru-baru ini.

Pas Pusat dan Pas Negeri Selangor dilaporkan akan membantu jentera pilihan raya PKR berdasarkan kepada keperluannya dalam menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Kajang.

Sebelum ini dilaporkan Pemuda Pas akan memboikot pilihan raya kecil DUN berkenaan jika Lee Chin Cheh gagal memberikan penjelasan munasabah dalam isu peletakan jawatan tersebut.

Kata dua itu dibuat Pengarah Jabatan Pilihan Raya Dewan Pemuda Pas, Mohd. Sany Hamzan yang menuntut penjelasan itu dibuat secara bertulis dan diserahkan kepada ketuanya, Suhaizan Kaiat dalam kadar segera.

Mengulas lebih lanjut Fairus seterusnya percaya Pas sebenarnya sedar drama di Kajang tidak akan menguntungkan mereka tetapi mereka tidak berdaya untuk membantah kerana terikat dalam satu perjanjian bersama.

“Projek Kajang sekali lagi menyerlahkan imej Pas yang terus diperbudak-budakkan. Akhirnya Pas terperangkap  dalam drama Kajang” ujarnya.

160 Guru KAFA Sambung Tugas

Yayasan Islam Terengganu (YIT) menyambung semula perkhidmatan 160 orang daripada 240 guru kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) yang membuat rayuan setelah kontrak mereka ditamatkan hujung tahun lalu.

Pengarah YIT, Md. Kamaru Al Amin Ismail berkata, mereka yang diberi peluang itu sudah melaporkan pada 3 Februari lalu dan hampir semuanya bertugas di tempat asal.

”Ini hasil keputusan mesyuarat Jawatankuasa Pendidikan YIT pada 29 Januari lalu setelah 240 rayuan diterima daripada kalangan 303 orang yang ditamatkan kontrak mereka setelah berpuas hati dengan kesediaan mereka untuk meningkatkan prestasi dan mematuhi prosedur jabatan,” katanya baru-baru ini.

Beliau memberitahu, sebanyak 143 lagi jawatan diisi melalui proses temuduga daripada 500 orang yang disaring sejak November lalu bagi menampung kekosongan dan keperluan pada masa depan.

Mesyuarat Lembaga Pemegang Amanah YIT pada Disember lalu membuat keputusan menamatkan khidmat 303 guru KAFA di seluruh negeri ini dengan pemberian satu bulan elaun, namun membenarkan mereka membuat rayuan.

Itu merupakan proses biasa setiap hujung tahun setelah prestasi perkhidmatan dan keberkesanan peranan mereka dinilai kerana tanggungjawab itu penting dalam menyemai amalan agama dalam kehidupan anak negeri ketika usia awal mereka.

Bagaimanapun, penamatan kontrak sebilangan guru setiap tahun itu dijadikan isu kali ini oleh pembangkang yang memberi gambaran seolah-olah mereka ditindas.

Kata Md. Kamaru, YIT meneliti setiap rayuan berdasarkan prestasi kerja, kebolehan mengajar, kerjasama dengan sekolah, hubungan baik masyarakat setempat, disiplin dan tahap pematuhan peraturan yang ditetapkan.

Sehingga kini, difahamkan terdapat kira-kira 3,200 guru Kafa di seluruh negeri ini dan mereka dibayar elaun RM800 sebulan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Kemuka Rayuan Jika Tidak Terima BR1M

Mana-mana ketua isi rumah dan individu bujang yang telah mendapat surat memaklumkan mereka tidak menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2014 boleh mengemukakan rayuan dengan segera.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan berkata, rayuan boleh dikemukakan dengan menulis surat rayuan dan pergi ke pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang terdekat.

Menurutnya, kerajaan melakukan semakan di pelbagai jabatan berkaitan bagi memastikan BR1M hanya diberikan kepada yang benar-benar layak, namun terdapat kes yang mana permohonan yang layak turut ditolak atas sebab tertentu.

“Contohnya pada tahun lalu, permohonan BR1M oleh seorang bapa ditolak kerana dia baharu membeli sebuah kereta Proton Perdana.

“Namun, dia yang membuat rayuan menjelaskan bahawa kereta tersebut adalah milik anaknya dan dengan penambahan maklumat tersebut, permohonannya diluluskan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Dewan Seri Perdana Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Goh dekat sini hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Abdul Manan Ismail dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Pahang, Shahruddin Ahmad.

BR1M 2014 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melalui pembentangan Bajet 2014 pada 25 Oktober tahun lalu merupakan pemberian one-off atau sekali kepada semua isi rumah warganegara Malaysia bagi membantu meringankan kenaikan kos hidup.

Ahmad berkata, tempoh rayuan BR1M kali ini akan dimaklumkan kemudian.

Sementara itu, beliau turut menasihatkan individu bujang yang telah berkahwin untuk mengemas kini status mereka untuk melayakkan diri sebagai pencarum i-BR1M iaitu Caruman Insurans Takaful Berkelompok Rakyat 1Malaysia bagi mendapat faedah tertentu. – Utusan Malaysia.

KPHPB Bangunkan 4,000 Unit Rumah di Terengganu

Koperasi Pembangunan Hartanah Putrajaya Berhad (KPHPB) akan membangunkan kira-kira 4,000 rumah di negeri ini menerusi Projek Perumahan Mampu Milik 1Malaysia (Prima) dalam tempoh lima tahun.

Pengerusi KPHPB, Dato’ Seri Mohd. Nazrul Mohd. Arsad berkata, projek yang dianggarkan menelan kos RM400 juta itu akan dijayakan dengan kerjasama kerajaan negeri bagi penyediaan tapak untuk memudahkan rakyat memiliki rumah.

Katanya, pada masa ini beberapa kawasan telah dikenal pasti untuk dibangunkan melalui projek berkenaan antaranya di Marang, Kemaman, Dungun dan Besut.

Menurut beliau, sebagai permulaan dicadangkan sebanyak 1,000 unit di Marang manakala daerah lain seperti Besut sebanyak 800 unit, Dungun 700 unit dan Hulu Terengganu 100 unit.

“Projek yang mampu disiapkan dalam tempoh 18 bulan itu akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat bergantung kepada kelulusan segera proses pengurusan arahan pembangunan di peringkat negeri.

“Langkah ini untuk membantu rakyat memiliki rumah sendiri dengan harga di bawah RM150,00 seunit,” katanya selepas Majlis Penyampaian Peralatan Sekolah Parlimen Marang yang disempurnakan perasmiannya oleh Pengerusi Jawatankuasa Transformasi Kerajaan, Komunikasi dan Multimedia negeri, A. Latiff Awang di Marang, baru-baru ini.

Pada majlis itu, sebanyak 800 pelajar menerima beg, peralatan alat tulis dan wang tunai sumbangan KPHPB yang berjumlah RM120,000.

Beliau berkata, program Prima digerakkan bertujuan memberi peluang dan membantu rakyat yang tidak mempunyai penyata gaji dan tidak bergaji tetap mampu membeli rumah melalui Skim Jaminan Kredit (SJK) .

Katanya, ia merupakan skim khas Kerajaan Pusat melalui KPHPB untuk memastikan rakyat di seluruh negara menikmati rumah mampu milik yang sekali gus membantu mencapai misi ‘satu keluarga satu rumah.’

Menurut beliau, dalam tempoh juga KPHPB akan membina kira-kira 20,000 unit rumah di seluruh negara kecuali di negeri pembangkang yang menolak program berkenaan dan bagi fasa pertama, sebanyak 10,000 unit dijangka siap tahun ini,” katanya.

Sementara itu A. Latiff memberitahu, kerajaan negeri menerima kira-kira 48,522 permohonan rumah daripada penduduk di negeri ini sehingga Ogos tahun lalu.

Beliau berkata, bagi menampung keperluan secara berperingkat, sejak 2008 hingga tahun lalu, sebanyak 29 projek perumahan telah dilaksanakan dengan jumlah 9,078 unit di seluruh negeri melibatkan perbelanjaan sebanyak RM792.5 juta.

“Pada tahun ini beberapa projek perumahan baru akan dilaksanakan yang membabitkan perbelanjaan kira-kira RM75 juta,” ujarnya.

TDM Sasar Perolehan RM1 Bilion

Terengganu Development Management Bhd. (TDM), menyasarkan perolehannya mampu mencecah RM1 bilion dalam tempoh lima hingga tujuh tahun lagi hasil pelaburan di Indonesia.

Ketua Pegawai Eksekutif TDM, Badrul Hisham Mahari berkata, ketika ini perolehan tahunan TDM sekitar RM400 hingga RM500 juta melalui dua bahagian perniagaan iaitu perladangan dan kesihatan.

Menurutnya, bahagian peladangan merupakan perniagaan teras dengan menyumbang hampir 90 peratus kepada perolehan dan selebihnya kesihatan.

“TDM mempunyai perancangan besar dengan meningkatkan pengeluaran kelapa sawit di Kalimantan, Indonesia meliputi kawasan ladang seluas 40,000 hektar menjelang 2018.

“Dengan peningkatan tersebut, ladang di Kalimantan akan menjadi penyumbang terbesar kepada TDM mengatasi saiz ladang di Terengganu seluas 32,500 hektar ketika ini apabila mencapai tempoh matang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar pengumuman penerimaan sijil Roundtable on Sustainable Palm Oil (RSPO) oleh anak syarikat TDM, TDM Plantation Sdn. Bhd. (TDMP) di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Turut hadir, Pengerusi TDM, Dato’ Roslan Awang Chik; Ketua Pegawai Eksekutif TDMP, Ab. Halim Yusof dan Ketua Setiausaha RSPO, Darrel Webber.

Badrul Hisham berkata, ketika ini seluas 12,000 hektar ladang telah ditanam dengan lebih 202 hektar daripadanya akan memberikan hasil pertama tahun ini.

“Untuk permulaan, hasilnya agak sedikit, namun dalam tempoh beberapa tahun lagi hasilnya akan lebih baik dari ladang di Terengganu berikutan keadaan cuaca dan jenis tanah yang lebih baik,” jelasnya.

RM11,140 Untuk Pelajar Pulau Redang

GEMBIRA… Dari kiri, Fatma Jasman, 8 tahun, Umi Natasha Ghazali, 12, Faiq Qushairi, 12, Siti Nurfatin Johasman, 12 dan Nur Aliza Abdullah, 11, murid SK Pulau Redang gembira sambil menunjukan wang RM100 yang mereka terima di Majlis Penyampaian Dana Pakaian Sekolah yang diadakan di sekolah itu, semalam.

Seramai 114 murid sekolah itu menerima bantuan di majlis yang disempurnakan ADUN Batu Rakit, Bazlan Abdul Rahman.

Rata-rata ibubapa yang ditemui melahirkan rasa gembira dan berterima kasih kepada kerajaan atas penyampaian wang dana itu dan ianya dapat meringankan bebanan mereka bagi membeli pakaian sekolah anak-anak.

Dalam pada itu, dalam ucapanya Bazlan mengharapakan penduduk Pulau Redang terus memberi sokongan kepada kerajaan Barisan Nasional kerana hanya kerajaan BNlah yang mampu membela nasib rakyat di negara ini.

“Kerajaan sentiasa perihatin dengan masalah rakyat dan beberapa dana serta bantuan yang diberikan membuktikan kerajaan bersungguh-sungguh dalam usaha membantu rakyat,” katanya.