Pangsapuri Keempat Di Ladang Tanjung Kapur

Dato’ Seri Ahmad Said bersama sebahagian penerima kunci dan surat tawaran Pangsapuri Ladang Gemilang II di Ladang, Kuala Terengganu, petang semalam. Foto Zulkipli Putra.

Sebuah pangsapuri setinggi 30 tingkat akan dibina di kawasan  seluas 15 hektar di Ladang Tanjung Kapur, Kuala Terengganu bagi memenuhi keperluan perumahan rakyat serta penempatan semula penduduk yang terlibat dengan proses pengambilalihan tanah oleh kerajaan.

Pangsapuri yang sedang dalam perancangan kerajaan negeri itu akan dilengkapi dengan lot perkedaian dan pelbagai kemudahan lain.

Ia sebagai tambahan kepada dua buah pangsasuri sedia ada iaitu Ladang Gemilang I sudah didiami 170 penghuni dan Ladang Gemilang II setinggi 12 tingkat pula bakal dimiliki 192 ketua keluarga dalam tempoh terdekat .

Manakala, satu pangsapuri sama di Ladang Tok Pelam setinggi 30 tingkat menyediakan 407 unit kediaman berkeluasan lebih 840 kaki persegi berharga RM195,700 (sebelum subsidi) sudah siap sepenuhnya, bakal diagihkan kepada pemilik dalam tempoh terdekat.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said berkata, kerajaan negeri sememangnya prihatin dengan nasib penduduk di kawasan ini kerana mengetahui mereka kurang berkemampuan untuk membina rumah sendiri apatah lagi membabitkan kawasan bandar.

Katanya, projek perumahan di Ladang Tanjung Kapur itu kelak akan diberi keutaman kepada penduduk Ladang, Ladang Sahak, Ladang Tok Pelam dan Kampung Tanjung yang terlibat dengan penstrukturan semula bandar raya Kuala Terengganu.

“Ia akan dijual dengan harga subsidi yang munasabah agar tidak membebankan penduduk,” katanya kepada media selepas Majlis Penyerahan Kunci Dan Surat Tawaran Pangsapuri Ladang Gemilang II di Kuala Terengganu, petang semalam.

Hadir sama, Pengurus Besar Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT), Dato’ Osman Muda; Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Mohd Sabri Alwi dan Pegawai Khas Kepada Menteri Besar, Badrol Hisham Zaki.

Sebelum ini, penduduk yang berpindah ke Pangsapuri Ladang Gemilang I diberi subsidi 50 peratus bagi setiap unit berharga RM150,000 yang melayakkan mereka membeli kediaman berkenaan pada harga RM75,000 sahaja.

Ahmad memberitahu, sektor perumahan menjadi agenda penting kerajaan negeri dalam usaha memberi kesejahteraan kepada kehidupan rakyat di bandar mahupun luar bandar.

“Oleh itu kerajaan negeri mengambil daya usaha membangunkan Kampung Ladang dan kawasan sekitarnya serta membina pangsapuri untuk menempatkan mereka dengan lebih selesa,” katanya.

Kerajaan Pusat Lulus RM400 Juta Bina Hospital UniSZA

Lakaran grafik pembangunan kampus UniSZA di Taman Ilmu, Besut, Terengganu.

Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan RM400 juta untuk pembinaan hospital pembelajaran di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Kuala Terengganu.

Sehubungan itu, Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said berharap projek pembinaannya dapat dimulakan secepat mungkin agar dapat menyumbang kepada pertambahan pakar perubatan di negara ini serta meningkatkan perkhidmatan kesihatan kepada rakyat.

“Hospital UniSZA yang bakal menyediakan 400 katil itu dibina bagi membolehkan universiti itu menawarkan program pasca siswazah di bawah fakulti perubatannya,” katanya kepada media selepas menyempurnakan majlis penyerahan kunci kepada 66 penduduk di Pangsapuri Ladang Gemilang II, petang semalam.

Berikutan penubuhan hospital itu kelak, UniSZA akan menjadi antara institusi pengajian tinggi keempat di negara ini yang mempunyai hospital perubatan selepas Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Sains Malaysia.

Terengganu Tamat Kontrak Marcio Souza

Aksi hambar Marcio Souza Da Silva ketika bertemu Johor Darul Takzim di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, baru-baru ini. Foto Harish Fadzillah.

Ketika kempen Liga Super sedang rancak beraksi, Terengganu mengambil langkah drastik dengan menamatkan kontrak Marcio Souza Da Silva.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Arpin Draman berkata, tindakan itu dibuat berikutan pihak pengurusan tidak berpuas hati dengan aksi pemain import dari Brazil itu.

“Oleh kerana dia tidak mempamerkan aksi yang kita mahukan, maka kita akan cari pemain lain bagi mengisi posisi tersebut.

“Lagipun kita kekurangan penyerang import berbisa dan sudah pasti kita akan mencari seorang penyerang baharu yang lebih berkualiti dari segi penyudah,” katanya semalam.

Sehubungan itu kata Arpin, pihaknya akan menguji beberapa pemain import asing termasuk bekas penyerang pasukan Beijing Baxy F.C iaitu Stephen Ayodele Makinwa, pemain kelahiran Nigeria.

Beliau berkata, pemain import baharu yang akan dipilih kelak mungkin akan diturunkan beraksi awal April ini.

UCB Peruntuk RM1.5 Juta Biasiswa Kepada 200 Pelajar

A.Latif Awang menyampaikan anugerah kepada salah seorang penerima pada Majlis Anugerah Kualiti UCB sambil diperhatikan Dato’ Dr. Tengku Mahmud Mansor di Ri-Yaz Heritage Marina Resort & Spa, Kuala Terengganu, malam semalam. Foto oleh Aminuddin Ismail.

Sebagai sebuah institut pengajian tinggi swasta yang berusaha memartabatkan anak yatim dan miskin, Kolej Universiti Bestari (UCB) menawarkan biasisiwa bagi membantu pelajar dari keluarga yang kurang berkemampuan melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

Pengerusi UCB, Prof. Dato’ Dr. Tengku Mahmud Mansor berkata, bagi meringankan beban kewangan ibu bapa pelajar, institusi itu memperuntukkan RM1.5 juta untuk membiayai 200 pelajar miskin yang mengikuti pengajian peringkat asasinya tahun ini.

“Tahun ini, kita bagi pengajian percuma selama setahun untuk setiap pelajar peringkat asasi bernilai RM7,500 seorang dengan syarat mereka memperoleh keputusan sekurang-kurangnya lima kredit termasuk Matematik.

“Pelajar yang memenuhi syarat boleh memilih untuk mengikuti pengajian asasi dalam dua bidang yang ditawarkan iaitu Asasi Teknologi Maklumat dan Asasi Pengurusan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena Majlis Anugerah Kualiti UCB yang dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Transformasi Kerajaan, Komunikasi dan Multimedia negeri, YB. A. Latif Awang di Ri-Yaz Heritage Marina Resort & Spa, Kuala Terengganu, malam semalam.

“Dengan segala bantuan dan peruntukan yang disediakan, kini tiada sebab mengapa keluarga miskin dan anak yatim tidak boleh menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi,” ujarnya.

Menurut Tengku Mahmud, UCB menawarkan kursus berdasarkan kehendak pasaran dan semua kursus diperakui Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Katanya, pengambilan bagi kursus asasi bermula bulan ini sehingga Jun. Bagi lepasan SPM yang berminat boleh melayari laman sesawang UCB di www.ucbestari.edu.my atau menghubungi talian 09-6097101.

Program ‘Bulan Madu Kali Kedua’ Wajar Diteruskan

“Program ‘bulan madu kali kedua’ untuk pesara yang dianjurkan Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia (PPKM) wajar diteruskan,” kata Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Dato’ Mazlan Ngah.

Katanya, program ini amat berguna kepada pasangan pesara dan mendapat respons baik daripada golongan itu.

“Daripada maklum balas yang diterima, program tersebut amat sesuai untuk golongan pesara malah turut memberi manfaat kepada kehidupan seharian mereka.

“Jabatan dan agensi kerajaan yang mengendalikan program ini diharap dapat bersatu padu menjayakan dan dapat meneruskannya pada masa akan datang,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Ke-22 PPKM Bahagian Terengganu, semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan) Dato’ Mohd Yasim Awang.

Turut hadir, Presiden PPKM, Tan Sri Wan Mahmood Pawan Teh dan Yang Dipertua PPKM Negeri Terengganu, Dato’ Syed Abu Bakar Abdullah.

Mazlan berkata, selain program tersebut PPKM turut aktif mengadakan aktiviti lain yang bermanfaat untuk ahlinya seperti kursus Celik IT (Teknologi Maklumat) yang banyak memberi manfaat kepada kehidupan seharian golongan itu.

Tiada Arahan Bendera Separuh Tiang Di Terengganu

Kerajaan negeri tidak bercadang mengikut langkah beberapa negeri lain yang mengibarkan bendera separuh tiang bagi menghormati tragedi MH370 memandangkan keadaan sebenar mengenai kehilangan pesawat milik Malaysia Airlines (MAS) itu masih belum jelas.

Sebaliknya, Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said meminta agar semua pihak di negeri ini meneruskan solat hajat bagi meminta petunjuk daripada ALLAH SWT dan mempermudah operasi mencari serta menyelamat pesawat yang hilang sejak 8 Mac itu.

“Buat masa ini kita belum mengeluarkan arahan (untuk kibar bendera separuh tiang) kerana sehingga kini kita tidak tahu keadaan sebenar, malah Majlis Fatwa Kebangsaan juga memutuskan solat jenazah ghaib untuk mangsa terlibat tidak perlu buat masa ini.

“Bagaimanapun, kita sangat mengalu-alukan semua pihak untuk meneruskan solat hajat di tempat masing-masing supaya misi pencarian pesawat milik MAS itu dijumpai segera,” katanya baru-baru ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai langkah beberapa negeri antaranya Pahang, Johor dan Perak yang menaikkan bendera separuh tiang sebagai tanda simpati dan dukacita mengenai tragedi yang menimpa pesawat MH370.

Selain Terengganu, Kedah turut mengambil pendirian sama untuk tidak mengibarkan bendera separuh tiang bagi menghormati anggota keluarga yang masih menaruh harapan agar penumpang dan anak kapal penerbangan itu pulang dengan selamat.

Sebelum ini, Mesyuarat Jawatankuasa Khas Majlis Fatwa Kebangsaan 25 Mac lalu menetapkan pelaksanaan solat jenazah ghaib untuk penumpang dan anak kapal penerbangan MH370 tidak perlu diadakan.

Jawatankuasa itu memutuskan bahawa kesemua  anak kapal dan penumpang MH370 dikategorikan sebagai orang hilang (mafqud) hingga usaha mencari dimuktamadkan.

Peyatim Sasar RM350 Juta Skim Tanah Waqaf Pendidikan

Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Malaysia (Peyatim) menyasarkan jualan berjumlah RM350 juta daripada Skim Tanah Waqaf Pendidikan Anak Yatim dan Miskin dalam tempoh sepuluh tahun akan datang.

Presiden Peyatim, Dato’ Dr. Tengku Mahmud Mansor berkata, bagi mencapai sasaran tersebut, tanah seluas 320 ekar di kampus tetap Kolej Universiti Bestari (UCB) mula dijual dan diwakafkan dengan kadar RM30 bagi 0.1 meter persegi sejak April tahun lalu.

“Sehingga kini, kita telah mendapat lebih kurang RM6 juta daripada derma waqaf berkenaan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena Majlis Anugerah Kualiti UCB yang dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Transformasi Kerajaan, Komunikasi dan Multimedia negeri, YB. A. Latif Awang, di Ri-Yaz Heritage Marina Resort & Spa, Kuala Terengganu, malam semalam.

Tengku Mahmud memberitahu, sambutan orang ramai terhadap penjualan tanah waqaf bagi penubuhan sebuah universiti wakaf pertama di Malaysia itu cukup menggalakkan.

Katanya, melalui konsep waqaf itu pihaknya mensasarkan perolehan sebanyak RM10 juta setahun di atas tanah kampus utama institusi yang terletak di Mukim Tasik, Setiu.

“Sehingga kini, kira-kira RM500 hingga RM600 ribu diterima pada setiap bulan hasil penjualan waqaf yang diuruskan oleh Yayasan Waqaf Pendidikan Anak Yatim atau Miskin Malaysia.

“Ejen penjualan waqaf UCB ini telah dipertanggungjawabkan kepada 700 cawangan Pejabat Pos dan 1200 cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) di seluruh negeri,” ujarnya.

Tidak Rasmi : BN Pertahan DUN Balingian Majoriti 6,863 Undi

Keputusan tidak rasmi yang diperolehi teganukita.my petang ini menunjukkan BN  mempertahankan kerusi DUN Balingian dengan majoriti 6,863 mengalahkan PKR.

Calon BN, Yussibnosh Balo, 48, memperolehi 8,163 undi manakala lawannya dari PKR, Abdul Jalil Bujang, 55, mendapat 1,300 undi.

Kerusi itu kosong sejak 28 Februari lalu apabila penyandangnya yang juga Ketua Menteri Sarawak ketika itu Tan Sri Abdul Taib Mahmud meletak jawatan.

Jawatan itu kemudiannya diisi Tan Sri Adenan Satem sekalu ketua menteri kelima.

Pada pilihan raya negeri 2011, Taib mengekalkan kerusi itu dalam pertandingan tiga penjuru dengan menewaskan Suriati Abdullah (PKR) dan Datuk Salleh Jafaruddin (Bebas), dengan majoriti 5,154 undi

Kementerian Pendidikan Teliti Kes Shalwati

Kementerian Pendidikan Malaysia akan meneliti sebaik mungkin kes Shalwati Norshal yang dihukum penjara oleh Mahkamah Daerah Solna di Stockholm, Sweden, semalam selain memberi jaminan tidak akan sewenang-wenangnya mengenakan hukuman berat.

Shalwati yang juga seorang guru bercuti tanpa gaji ditahan reman bersama suami Azizul Raheem Awalludin, sejak 18 Dis tahun lepas, kerana didakwa memukul tangan seorang anak lelaki mereka kerana tidak solat.

Menteri Pendidikan II, Dato’ Seri Idris Jusoh, berkata perundangan terhadap kes itu tetap diteruskan kerana sudah termaktub dalam akta.

“Hukuman yang bakal dikenakan adalah sebaik-baik pertimbangan bagi mengelak mangsa, keluarga terutama anak-anak terus dibebani masalah.

“Kita perlu lihat banyak aspek termasuk merujuk kepada pihak profesional dalam undang-undang berkaitan sebelum tindakan atau hukuman diambil.

“Lagi pun kes seumpama ini yang membabitkan hukuman penjara di luar negara tidak pernah berlaku,” katanya .

Beliau berkata kepada pemberita selepas melancarkan Karnival Pengajian Tinggi di Universiti Malaysia Terengganu, Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama Naib Canselor UMT, Prof Emeritus Dato’ Dr. Ibrahim Komo.

Idris turut memberitahu karnival seumpama itu yang menggunakan tagline `Jom Masuk U’ mampu menjadi tempat rujukan terbaik atau dianggap `One Stop Centre’ (Pusat Sehenti) kepada orang ramai.

“Program tahunan KPT itu dilaksanakan semenjak 2005 turut menyediakan maklumat akreditasi dan pembiayaan kepada lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) atau setaraf, pelajar lepasan asasi, diploma, sijil dan diploma kemahiran.

‘Karnival itu sudah tentu mampu mendidik dan memupuk kesedaran di kalangan pemohon dan masyarakat awam mengenai pelaksanaan permohonan kemasukan ke IPTA melalui Aplikasi Dalam Talian (Online),” katanya.

Gangguan Bekalan Air Di Besut Isnin Ini

Daerah Besut akan mengalami gangguan bekalan air Isnin ini bermula 10 pagi hingga 3 petang berikutan kerja naik taraf di Loji Air Bukit Bunga di Hulu Besut.

Pengurus Syarikat Air Terengganu Daerah Besut, Kamaluddin Yahya meminta penduduk di daerah itu menyimpan bekalan air secukupnya.