Tempoh Peralihan Monsun Dijangka Bermula 29 Mei

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan negara ini akan melalui tempoh peralihan monsun bermula 29 Mac sehingga awal Mei depan.

Menurut kenyataan MetMalaysia, fenomena ribut petir dan hujan lebat diramal lebih kerap berlaku dalam tempoh peralihan itu terutama di kawasan sekitar negeri pantai barat Semenanjung Malaysia dan pedalaman Kelantan, Terengganu serta Pahang.

Fenomena seumpama ini biasanya berlaku pada sebelah petang dan awal senja.

MetMalaysia menyatakan angin kencang dan banjir kilat juga dijangka berlaku dalam tempoh peralihan monsun itu.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat cuaca terkini boleh menghubungi talian Hotline di 1-300-22-1MET atau layari laman sesawang MetMalaysia.

KBS Umum Velodrom Tetap Dibina Di Terengganu

Khairy Jamluddin bersama kepimpinan Pemuda UMNO Negeri Terengganu dan Pemuda UMNO Kuala Nerus semasa menghadiri perjumpaan minum petang dan makan ‘sotong celup tepung’ di Mengabang Telipot, Batu Rakit, semalam. Foto oleh Harish Fadzillah.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin mengumumkan akan meneruskan pembinaan sebuah velodrom di Terengganu sebagai menghargai komitmen besar negeri ini dalam bidang pembangunan sukan.

Beliu berkata, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak boleh menolak dan menafikan sumbangan Kerajaan Terengganu untuk membangunkan sukan, seperti dalam Sukan Malaysia (Sukma) umpamanya, negeri ini sentiasa mendapat kedudukan yang cemerlang.

“Baru-baru ini, saya dapat sokongan yang begitu padu dari Terengganu bagi penganjuran Le Tour de Langkawi (LTdL) yang merupakan perlumbaan basikal paling berprestij di Asia Tenggara.

“Atas segala sumbangan negeri ini dan perancangan yang terdahulunya saya difahamkan tidak dapat disempurnakan, maka saya telah maklumkan kepada Menteri Besar (Dato’ Seri Ahmad Said) bahawa KBS akan meneruskan projek untuk membina sebuah velodrom di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menghadiri perjumpaan minum petang dan makan ‘ikan celup tepung’ di Mengabang Telipot, Batu Rakit, Kuala Terengganu, semalam. Turut hadir, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Terengganu, Johari Abu Bakar.

Khairy berkata projek pembinaan velodrom yang dianggarkan bernilai RM6 juta itu, dan yang pertama di Pantai Timur, dijangka akan dibangunkan dalam tempoh dua tahun bermula tahun depan.

Menurutnya, KBS akan mengikut apa yang kerajaan negeri tetapkan kerana beliau difahamkan oleh Menteri Besar bahawa tapak velodrom itu telah ada dan ia terletak di Dungun.

Justeru katanya, dengan siapnya pembinaan velodrom berkenaan kelak, para pelumba dari negeri lain juga dapat memanfaatkan peluang berlatih di sini kerana Terengganu bukan sahaja hebat dalam berbasikal acara trek, tetapi juga dalam acara lebuh raya yang banyak menyumbang rekod cemerlang.

“Jadi tidak salahlah kalau kita anggap Terengganu sebagai antara pusat kecemerlangan latihan bagi acara sukan berbasikal di negara ini,” katanya.

Tambah Peruntukan Jika Terus Maju

Kerajaan negeri bersedia menambahkan peruntukan sedia ada, sekiranya Kilang Ais Kiub milik Koperasi Bersatu Jaya (KPJ) di Pulau Perhentian, Besut terus berkembang dan memperoleh pendapatan seperti disasarkan.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepengunaan Negeri, YB. Roslee Daud, berkata, KPJ banyak menerima bantuan dan sokongan daripada pelbagai pihak, terutama Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) yang mengagihkan geran bantuan RM200,000.

Katanya, kerajaan negeri yang sebelum ini mengagihkan RM10,000 untuk perstrukturan semula bersedia menambah jumlah itu, sekiranya perniagaan ais kiub yang diusahakan itu bertambah maju.

“Apa yang diusahakan KPJ cukup menarik dan pasti boleh memperoleh pendapatan lumayan, kerana di pulau ini tiada persaingan dan jauh dari daratan.

“Pelanggan yang kebanyakan terdiri pengusaha restoran, pemilik chalet, resort, kedai runcit dan warung kopi di pulau ini dan Pulau Redang pasti mendapatkannya kerana untuk memperoleh produk sama di daratan memerlukan kos dan masa,” katanya.

Beliau demikian kepada Teganukita selepas mengadakan lawatan kerja ke kilang itu, baru-baru ini.

Turut serta dalam lawatan itu, Pengarah SKM negeri, Mahmud Kadar dan Pengarah Mara negeri, Abdullah Mohamad.

Sementara itu, Mahmud berkata KPJ Pulau Perhentian antara koperasi yang berjaya di Terengganu. Dengan sokongan kerajaan negeri dan SKM, KPJ berpotensi untuk disenaraikan sebagai koperasi berkluster besar pada masa depan.

“Perkembangan itu selaras dengan Dasar Koperasi Negara 2011-2020 yang ingin menjadikan sektor koperasi negara antara penyumbang utama KDNK Malaysia pada 2020,” katanya.

Puspakom Perluas Khidmat PMI ke Terengganu

Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) akan memperluas Perkhidmatan Pemeriksaan Bergerak Primer (PMI) di Terengganu mulai 1 April ini bagi memudahkan pelanggannya mendapatkan perkhidmatan berkenaan.

Selain Terengganu, khidmat itu turut diperluaskan ke Kedah, Perak, Pahang dan Kelantan.

Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom, Mohammed Shukor Ismail berkata, perkhidmatan itu bertujuan menjimatkan masa serta memudahkan pemilik kenderaan berurusan bagi menjalankan pemeriksaan kenderaan tanpa perlu mengunjungi cawangan Puspakom.

“Ramai pemilik kenderaan tidak dapat meluangkan masa untuk datang melakukan pemeriksaan kenderaan di cawangan kami, dengan PMI kami akan bergerak ke lokasi mereka.

“Pelanggan hanya perlu menghubungi talian bebas tol PMI Puspakom di 1800-222-210 untuk membuat temu janji,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

Beliau berkata, pemeriksaan akan mengambil masa 30 minit dan bayaran adalah berdasarkan jenis pemeriksaan bermula dari RM20 hingga RM50 selain caj perkhidmatan berpatutan iaitu RM100 bagi kereta dan RM50 bagi motosikal.

Mohammed Shukor memberitahu, langkah itu merupakan inisiatif Puspakom dalam mempertingkat mutu perkhidmatan demi keselesaan pelanggan.

Perkhidmatan PMI merupakan inisiatif Puspakom di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 seperti pemeriksaan khas yang merangkumi kenderaan yang tamat tempoh cukai jalan melebihi setahun dan

Ali Mamak Meninggal Dunia Kerana Leukemia

Pelawak dan penyanyi veteran, Datuk Ali Mamak meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) pada pukul 4.20 pagi ini akibat penyakit leukemia.

Ali Mamak atau nama sebenarnya Jantan Osman, 63, mengalami pelbagai komplikasi dua hari sebelum beliau menghembuskan nafas terakhir di sisi keluarganya.

Selain melawak, Ali juga merupakan seorang penyanyi lagu-lagu komedi yang tidak asing lagi dengan pelbagai rentak dan lagunya pula sarat dengan mesej berunsur kritikan sosial atas isu-isu semasa.

Jenazah dibawa pulang ke rumah keluarganya di Dusun Tua, Batu 16, Hulu Langat dan akan dikebumikan sebelum solat zuhur.

Manaf Sedia Sarung Jersi T-Team

“Jika perpindahan itu memberi kebaikan kepada negeri saya mahupun perkembangan karier saya, saya tidak ada masalah,” ulas tonggak utama Terengganu, Abdul Manaf Mamat yang menyentuh desas-desus perpindahannya ke T-Team, semalam.

Namun, pemain yang pernah menyarung jersi skuad kebangsaan ketika di bawah bimbingan Dato’ K.Rajagobal sebelum ini itu berkata, sehingga kini, dia belum menerima sebarang kata putus mengenai perkara itu.

“Saya dan pihak pengurusan Terengganu setakat ini langsung tidak pernah berbincang mengenai perkara itu setakat ini.

“Mungkin itu hanya ura-ura sahaja,” katanya.

Sementara itu, Abdul Manaf yang hampir sebulan tidak beraksi bersama pasukan akibat dibelenggu kecederaan menyifatkan jaringannya ketika menentang ATM, Selasa lalu sebagai pembakar semangat untuk terus mempamerkan aksi meyakinkan selepas ini.

“Saya kini sedia untuk diturunkan pada bila-bila masa, namun ia terpulanglah kepada percaturan jurulatih sama ada mahu menggunakan khidmat saya atau tidak selepas ini,” ujarnya.

Terengganu kini berkongsi 16 mata bersama pasukan tangga kedua dan ketiga, Pahang serta Selangor.

Skuad Penyu kini berada pada prestasi terbaik mereka dan membuktikan bahawa kejayaan bergelar pendahulu liga bukan sekadar nasib apabila membenam ATM 3-0 dalam perlawanan di Stadium Selayang, Selasa lalu.

BN Tunai Janji PRK Kuala Besut

Kerajaan Barisan Nasional (BN) Terengganu akan menunaikan janji yang dibuat parti itu kepada penduduk Pulau Perhentian pada pilihan raya kecil (PRK) DUN Kuala Besut, Julai tahun lalu.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said berkata, janji untuk membina 10 unit rumah kedai di pulau itu akan mula dilaksanakan pertengahan tahun ini.

“Kerajaan negeri telah bersetuju untuk membina 10 unit rumah kedai pada pertengahan tahun ini yang bernilai RM4 juta.

“Ini janji BN kepada penduduk Pulau Perhentian pada pilihan raya kecil tahun lalu,” katanya dalam ucapan pada Majlis Jamuan Rakyat di Pulau Perhentian, malam tadi.

Hadir sama, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu; Ketua UMNO Bahagian Besut, Nawi Mohamad; ADUN Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman dan Pegawai Daerah Besut, A. Rahim Jusoh.

Pada majlis itu, Ahmad turut menyampaikan BR1M 3.0 kepada penduduk kampong berkenaan.

Kilang Ais Kiub di Pulau Perhentian Bertambah Maju

Kilang Ais Kuib milik Koperasi Bersatu Jaya (KPJ), di Pulau Perhentian, Besut kini bertambah maju apabila mampu meraih pendapatan bulanan sehingga RM40,000 berbanding hanya RM15,000 sebulan sebelum ini.

Pertambahan pendapatan itu didorong hasil permintaan menggalakkan daripada pelanggan, terutama pengusaha restoran, pemilik chalet, resort, kedai runcit dan warung kopi di pulau itu dan Pulau Redang.

Perkembangan positif itu mendorong Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) meluluskan geran bantuan kira-kira RM200,000 kepada koperasi itu awal tahun lalu, bagi membina kilang baru dan membeli mesin.

Sebelum ini, kilang lama milik koperasi itu hanya mampu menghasikan ais kiub sehingga 3,000 kilo sebulan atau anggaran pendapatan kira-kira RM15,000..

Pengarah, SKM Terengganu, Mahmud Kadar berkata, pihaknya bangga dengan kemajuan koperasi itu di mana ahlinya tidak berputus asa memajukan perniagaan walaupun menyedari pelanggan yang ada agak terhad.

“Pihak kami berharap ahli koperasi termasuk penduduk di pulau itu mengambil peluang dengan peniagaaan itu dengan mengusahakan beberapa cabang bidang perniagaan lain.

“Mereka boleh mengusaha perniagaan makanan sejuk beku, menjual cenderahati, pakaian, dan membuka pasar mini sebagai langkah menarik minat pelancong mengunjungi kawasan kampung di pulau itu.

“Peluang seumpama ini sewajarnya direbut penduduk sebelum ada pihak luar berminat untuk meluaskan pasaran perniagaan masing-masing di pulau ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Teganukita selepas mengadakan lawatan kerja ke kilang itu, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepengunaan Negeri, Roslee Daud.

Sementara itu, Pengerusi KBJ, Seman Muda, berkata pihaknya berasa cukup bertuah kerana kerajaan melalui SKM tidak pernah jemu membantu KPJ, sama ada berbentuk pinjaman, bantuan modal dan sokongan moral.

“Tanpa bantuan itu, , tidak mungkin kilang ais kiub dapat dibina baru. Hasil bantuan sama, pendapatan seramai 285 ahli bertambah selain mampu menawarkan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

“Perancangan KBJ cukup banyak, termasuk menceburi bidang makanan sejuk beku dan membuka perniagaan kedai runcit semata-mata mahu meningkat jumlah pendapat ahli selain meningkat jumpah pelancong di perkampungan pulau,” katanya

Angin Kencang, Laut Bergelora Sehingga Esok

Angin kencang timur laut dan laut bergelora dijangka berterusan di kawasan perairan Kelantan, Terengganu, Pahang, Sabah dan Sarawak sehingga esok.

Jabatan Meteorologi Malaysia dalam kenyataan hari ini berkata, kawasan yang terlibat di Sabah ialah pantai barat, Kudat dan Sandakan manakala di Sarawak membabitkan kawasan perairan Miri, Mukah, Rejang dan Bintulu.

Keadaan sama juga dijangka berlaku di Tioman, Reef South, Layang-Layang, Palawan, Sulu dan Samui.

Angin kencang timur laut berkelajuan antara 40 dan 50 kilometer sejam dengan ketinggian ombak sehingga 3.5 meter di kawasan itu berbahaya kepada bot kecil, rekreasi serta sukan laut.

Sementara itu, kawasan perairan Condore dan Reef North turut diramal mengalami keadaan serupa.

Keadaan angin kencang timur laut berkelajuan antara 50 dan 60 kilometer sejam dengan ketinggian ombak sehingga 4.5 meter itu juga dijangka berterusan sehingga esok dan berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan, penangkapan ikan, dan perkhidmatan feri.

PRK Kajang : Sokongan Pengundi Cina Kepada BN Meningkat

Walaupun berpihak kepada PKR, keputusan pilihan raya kecil (PRK) DUN Kajang menyaksikan peningkatan sokongan kaum Cina terhadap Barisan Nasional (BN).

Menurut Presiden MCA, Dato’ Seri Dr. Liow Tiong Lai, sokongan pengundi Cina terhadap BN meningkat tujuh peratus kepada 25 peratus berbanding keputusan pilihan raya umum ke-13 (PRU13).

“Secara keseluruhan kami amat berpuas hati dengan pencapaian jentera BN walaupun tewas pada PRK ini.

“Peningkatan sokongan pengundi Cina terhadap kami membuktikan pengorbanan serta kerja keras kami tidak sia-sia,” katanya dalam sedang media malam tadi.

Liow menyifatkan PRK itu sebagai satu permulaan buat MCA untuk meneruskan misi mentransformasikan parti.

Keputusan PRK itu memihak kepada Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang meraih 16,741 undi berbanding 11,362 undi untuk calon BN, Datin Paduka Chew Mei Fun, iaitu majoriti 5,379 undi.

Pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13), Lee Chin Cheh daripada PKR menang kerusi DUN itu dalam pertandingan enam penjuru dengan majoriti 6,824 undi.

“Melalui PRK ini, kita dapat mengetahui mana kekuatan dan kelemahan kita dan kita akan cuba membaikinya supaya dapat mentransformasikan parti secara berkesan,” kata Liow.

Bagi Chew sendiri, beliau menghargai segala sokongan, bantuan dan tunjuk ajar yang diterimanya daripada jentera BN sepanjang dua minggu berkempen di Kajang.

“Walaupun keputusan tidak berpihak kepada BN, namun kami berjaya menurunkan majoriti calon lawan dan memperoleh peratusan undi Cina lebih tinggi berbanding PRU13,” kata Naib Presiden MCA itu dalam satu kenyataan kepada media malam tadi.

Chew berkata beliau selepas ini akan memberi tumpuan penuh terhadap urusan dalaman parti, termasuk menggerakkan kerja dalam ketiga-tiga jawatankuasa dan biro di bawah jagaannya iaitu Jawatankuasa Pembangunan Masyarakat, Biro Pendidikan Politik dan Jawatankuasa Perhubungan Negeri Pulau Pinang.