ECER : Pelaburan RM9.5 Bilion Ke Terengganu

Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dalam satu kenyataan berkata, tiga bakal pelabur pada suku kedua 2014 dengan gabungan potensi pelaburan di Terengganu sebanyak RM9.5 bilion.

HKS Mineral JV Hyundai Merchant Marine dengan pelaburan potensi sebanyak RM6.6 bilion menerima surat kelulusan tanah daripada Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Said.

Geomegah China Steel (M) Sdn. Bhd. (RM2.1 bilion) dan Angsana Platinum Sdn. Bhd. (RM800 juta) bertukar memorandum persefahaman dengan kerajaan negeri.

Beijing Goldenway Biologi Tech Co Ltd (BGB), pengeluar asid biohumik terbesar dunia, merancang untuk mendirikan kilang pembuatan di Pahang bernilai RM600 juta untuk menghasilkan asid humik, sejenis bioperangsang untuk pemulihan tanah.

“Sungai Lembing telah dikenal pasti sebagai lokasi berpotensi untuk kilang pertamanya di ECER,” kata ECERDC.

Pertukaran dokumen bagi cadangan kerjasama untuk projek itu telah dilaksanakan ECERDC bersama-sama dengan Malaysian Biotechnology Corporation Sdn. Bhd. dan BGB.

Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Jebasingam Issace John berkata, pembangunan projek rel di pantai timur masih pada peringkat perancangan awal.

“Projek itu masih dalam kajian dan dalam enam bulan kita akan tahu butir-butir pelaksanaan projek ini,” katanya.

Sementara itu, ECERDC berjaya menarik pelaburan sebanyak RM24.45 bilion ke Wilayah Ekonomi Pantai Timur pada suku pertama 2014, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata, ECER telah menarik RM63.58 bilion dalam jumlah pelaburan dari 2007 sehingga suku pertama tahun ini, melepasi lebih daripada 57 peratus daripada sasaran pelaburannya yang sebanyak RM110 bilion menjelang 2020.

“Pelaburan ini akan mewujudkan lebih daripada 65,000 peluang pekerjaan untuk rakyat, yang terdiri daripada 6,601 profesional, 19,800 pekerja mahir dan 39,599 pekerja separa mahir di ECER,” kata Najib pada majlis penyerahan rancangan alam sekitar utama di negeri-negeri dalam ECER di Kuala Lumpur, kelmarin.

Najib, yang juga Menteri Kewangan berkata, Pahang telah menarik pelaburan paling banyak pada RM30.46 bilion setakat ini, dengan potensi untuk mewujudkan 38,027 pekerjaan.

“Ini diikuti oleh Terengganu dengan RM22.77 bilion dalam pelaburan (16,638 pekerjaan), Kelantan dengan RM9.74 bilion (11,121 pekerjaan) dan daerah Mersing di Johor pada RM610 juta (211 pekerjaan),” katanya.

Turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pertahankan Apa Yang Kita Ada – Ahmad Said

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Dato’ Seri Ahmad Said berkata UMNO mesti kuat, UMNO mesti dipertahan dan UMNO mesti di martabatkan.

“Dan menjadi tanggungjawab kita bersama pada hari ini, dan hari-hari yang seterusnya, kita mesti pertahankan apa yang kita ada dan berusaha untuk mengambil semula beberapa kawasan yang kita tewas.

“Ini adalah misi dan visi kita, ini adalah tanggungjawab kita bersama sebagai ahli UMNO. Marilah kita sama-sama memperkukuhkan parti kita dan jangan sesekali kita menjadi gunting dalam lipatan, api dalam sekam, kita semua hendaklah bekerja keras.

“Justeru itu, sekali lagi, saya menyeru pada tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekelian, marilah kita tanamkan semangat, sikap dan keyakinan yang tinggi,” katanya ketika berucap di majlis pertemuan beliau dengan jentera penerangan UMNO negeri di Kuala Terengganu, semalam.

Seramai kira-kira 3,000 jentera penerangan UMNO dari seluruh negeri hadir pada majlis itu yang turut diadakan satu forum bagi memberi semangat dan motivasi kepada semua hadirin.

Dua ahli panel yang menjayakan forum itu ialah Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Dato’ Ahmad Maslan dan Ketua Penerangan JATI, Ustaz Hassan Basri Mohamad dan dipengerusikan oleh Speaker DUN Terengganu, Mohd. Zubir Embong.

Turut hadir ialah Ketua Penerangan UMNO negeri, Dato’ Abdul Rahman Bakar dan beberapa wakil rakyat Barisan Nasional.

Epic Sasar Keuntungan Lebih RM100 Juta

Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (Epic), syarikat milik kerajaan negeri yang menyediakan kemudahan logistik dan perkhidmatan pelabuhan dan sokongan kepada industri minyak dan gas menyasarkan keuntungan bersih lebih RM100 juta tahun ini.

Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Epic, Ramli Shahul Hameed berkata, pihaknya yakin dapat mencapai sehingga RM120 juta berdasarkan keuntungan memberangsangkan yang berjaya dicapai tahun lalu.

“Keuntungan bersih sebanyak RM100 juta telah diperoleh tahun lalu di mana ia merupakan pencapaian tertinggi dalam sejarah Epic.

“Lebih kurang 60 peratus pendapatan utama Epic hasil daripada keuntungan diperolehi anak syarikat Pangkalan Bekalan Kemaman Sdn Bhd (KSB),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Epic Berhad Dan Felcra Berhad yang disaksikan Menteri Besar, Dato Seri Ahmad Said di Wisma Darul Iman, semalam.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri  merangkap Pengerusi Epic, Dato’ Mazlan Ngah serta Pengerusi Felcra Berhad, Datuk Bung Mokhtar Radin.

Kata Ramli, selain KSB, anak syarikat Epic yang lain seperti Konsortium Pelabuhan Kemaman Sdn Bhd; EPIC Mushtari Engineering Sdn Bhd; Tubex Sdn Bhd dan Eastern Pacific Properties Sdn Bhd turut menyumbang keuntungan yang baik.

Katanya, Epic banyak melakukan penambahbaikan dari segi infrastruktur pada tahun ini, termasuk membuat penilaian semula dan mengoptimumkan semua aset yang ada termasuk kenderaaan berat dan kenderaan lain di pelabuhan.

“Kesan daripada penambahbaikan ini dijangka akan dapat dilihat dalam masa dua tahun akan datang,” ujarnya.

Tambah beliau, berikutan permintaan tinggi daripada pihak industri yang berurusan dengan Epic, pihaknya komited membangunkan kawasan seluas 640 ekar berdekatan dengan syarikat itu bagi pembinaan gudang tambahan.

“Kita akan bangunkan kira-kira 300 ekar daripada kawasan tersebut sebagai permulaan dan kerja-kerja tapak juga telah berjalan,” ujarnya.

Tukar MB – Apa Komen Mohd Jidin, Nawi

Ketua UMNO Bahagian Setiu, Dato’ Mohd. Jidin Shafee menegaskan, tiada keperluan untuk diperbesarkan isu pertukaran Menteri Besar Terengganu yang kini hangat diperkatakan oleh pihak tertentu.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri berkata, spekulasi Dato’ Seri Ahmad Said akan digantikan dengan Menteri Besar yang baru tidak perlu diperdebatkan.

“Kita tak perlu komen dan ambil bahagian untuk debat isu ini. Jangan keruhkan keadaan yang sudah jernih,” katanya menerusi aplikasi WhatsApp kepada teganukita.my hari ini.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Besut, Nawi Mohamad berkata semalam, beliau menyokong kewibawaan Ahmad untuk terus mengetuai pentadbiran Terengganu.

“Terengganu tidak perlu ada pertukaran Menteri Besar. Berita itu dari orang yang tidak suka dengan politik di Terengganu yang harmoni sekarang,” ujarnya.

Nawi merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Perusahaan Perladangan dan Komoditi negeri.

Remaja Pulau Perhentian Berjaya Tubuh Sayap Puteri UMNO

Impian remaja di Pulau Perhentian, Besut untuk bergiat aktif dalam politik semasa, akhirnya menjadi kenyataan apabila mereka berjaya menubuhkan sayap Puteri UMNO sebagai wadah perjuangan bangsa.

Usaha penubuhan yang dicetuskan oleh sekelompok 15 ahli Puteri yang tinggal di pulau itu juga mencatat sejarah baru kepada Puteri UMNO Besut kerana berjaya mengembangkan sayapnya ke kawasan yang dianggap terpencil di bahagian Besut.

Dengan penubuhan Puteri UMNO di Pulau Perhentian itu ia menjadi cawangan ke 24 di Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut dan yang ke 105 di Bahagian Besut.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman yang juga Ketua Penerangan UMNO Bahagian Besut merasmikan penubuhan sayap Puteri berkenaan dalam satu majlis bersejarah  kelmarin.

Serentak itu, beliau turut menerima borang keahlian Puteri UMNO yang disampaikan oleh ketuanya, Norhayati Mohd Sidek.

Ketua Puteri Umno Besut, Erniesalwani Saidi berkata, penubuhan sayap baru puteri di pulau itu menambahkan lagi kekuatan ahli dan berharap lebih banyak sayap akan ditubuhkan menjelang akhir tahun ini.

Beliau turut megucapkan penghargaan kepada semua kepemimpinan parti semua peringkat yang turut membantu sehingga berjaya menubuhkan sayap baru di pulau yang terkenal sebagai detinasi pelancongan tersohor itu.

Dalam perkembangan lain, Tengku Zaihan berkata, urusetia penerangan bahagian kini giat mempelbagaikan penyusunan aktiviti bagi memberi penerangan kepada ahli parti yang bermula diperingkat ketua penerangan empat peringkat.

“UMNO bahagian juga sedang memperhebatkan pengisian maklumat dengan ujudnya Unit Media Baru (UMB) yang berfungsi sebagai saluran untuk parti dan masyarakat,” katanya.

Felcra-Epic Jalin Kerjasama Jadikan Pelabuhan Kemaman Hab Baja Dan Produk Pertanian

Felcra Berhad menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Eastern Pasific Industrial Corporation Berhad (Epic) bagi menjalin kerjasama menjadikan Pelabuhan Kemaman sebagai hab utama baja dan produk agrikultur dari dalam dan luar negara.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, Mou itu memberikan satu nilai tambah baharu kepada pelabuhan Kemaman.

“Pelabuhan Kemaman berkemampuan menampung keperluan pelabur untuk membawa masuk kapal yang bersaiz besar dan mempunyai peralatan mencukupi bagi tujuan tersebut.

“Dengan adanya MoU ini, segala kemudahan yang terdapat di pelabuhan Kemaman dapat digunakan Felcra bagi membawa masuk barang berasaskan baja dan produk-produk untuk pertanian terutamanya dari negara luar terutama Rusia dan negara-negara lain,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Majlis Menandatangani Perjanjian di antara Epic dengan Felcra di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Epic Berhad, Dato’ Mazlan Ngah dan Pengerusi Felcra Berhad, Datuk Bung Moktar Radin.

Sementara itu, Bung Moktar berkata, pihaknya akan manfaatkan sepenuhnya kemudahan Pelabuhan Kemaman menerusi jalinan kerjasama ini.

“Kita akan membawa pelabur-pelabur luar negara dalam bidang baja, ternakan dan bahan-bahan perikanan yang lain dan akan menggunakan kemudahan ini sebagai pusat sehenti bagi pengedaran tempatan dan juga luar negara,” katanya.

Pemuda UMNO Sokong Kepimpinan Ahmad Said

Pemuda UMNO Terengganu menyatakan sokongan penuh terhadap kepimpinan Dato’ Seri Ahmad Said sebagai Menteri Besar Terengganu, kata Ketuanya, Mohd. Johari Abu Bakar.

Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Hulu Terengganu berkata, Ahmad mempunyai pengalaman luas dan kewibawaan untuk terus memimpin Kerajaan Negeri Terengganu.

“Orang muda mahu bekerja bersama Dato’ Seri (Dato’ Seri Ahmad Said) dan juga Perdana Menteri (Dato’ Sri Najib Razak) untuk membantu rakyat dan membangunkan negeri.

“Taat setia kepada Menteri Besar tidak berbelah bahagi. Pemuda UMNO Terengganu berdiri teguh di belakang kepimpinan Dato’ Seri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya di program Sembang Santai Pemuda bersama Dato’ Seri Ahmad Said di Hotel Permai, Kuala Terengganu, malam tadi.

Program anjuran Pemuda UMNO negeri itu dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Rozi Mamat; ADUN Jabi, Mohd. Iskandar Jaafar; Naib Ketua Pemuda UMNO negeri, Dr. Nazmil Faiz Mohamad Aris dan seluruh Jawatankuasa Pemuda UMNO Bahagian di negeri itu.

Pada majlis itu, Ahmad turut melancarkan Kaunter Keahlian dan Daftar Pemilih Pemuda UMNO yang akan bergerak di peringkat akar umbi seluruh negeri untuk mendaftar ahli baru UMNO serta pengundi muda.

Sementara itu, Ahmad yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri berkata, UMNO perlu menguasai pengundi khususnya pengundi yang akan mengundi buat kali pertama pada PRU 14 bermula sekarang.

Katanya, jentera parti khususnya Pemuda UMNO di semua peringkat perlu berperanan mengenal pasti sasaran pengundi yang akan menjadi penentu kemenangan pilihan raya tersebut.

“Pemuda UMNO perlu memainkan peranan dalam mengajak mereka untuk mendaftar sebagai pengundi.

“Kerja sebegini tidak boleh tunggu di saat tibanya pilihan raya umum sahaja tetapi ia perlu bergerak sepanjang masa,” jelasnya.

Ahmad Said Tenang Tangkis Isu Tukar MB

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said yang terus menjadi `tumpuan’ berhubung spekulasi yang bertiup kencang di media sosial mengenai pertukaran kepimpinan tertinggi negeri  beberapa hari lalu, tetap tenang menangkis isu itu.

“Biarlah dia (penulis blog) membuat keputusan. Saya sudah katakan bahawa Terengganu 17-15, jadi dalam keadaan begitu, mengapa kita mahu mewujudkan keadaan yang tidak stabil dan sebagainya.

“Itu sahaja. Tidak perlulah dan jika dia pandai ulas dan tukang lantik (Menteri Besar) jadi biar dia buat keputusan (pertukaran). Saya tidak tahu dan saya katakana perkara ini tidak betul, penulis blog kata betul, saya kata betul, ada yang kata tidak betul, jadi nak buat macam mana. Kita orang politik ini, macam-macam spekulasi,” katanya di sidang media sempena Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Epic Berhad Dan Felcra Berhad di Wisma Darul Iman, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri  merangkap Pengerusi Epic Berhad, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Pengerusi Felcra Berhad, Datuk Bung Mokhtar Radin  dan Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Epic Berhad, Encik Ramli Shahul.

Susulan isu berkenaan serta beberapa fitnah mengenai peribadi serta pentadbiran negeri yang hangat di media sosial sejak dahulu lagi, menyebabkan beliau tidak lagi mempercayai kenyataan menerusi medium itu.

“Sebab itu sekarang saya tidak mempercayai Facebook dan blog serta semua sekali (media sosial). Malah, saya sudah menutup akaun Facebook saya, tetapi masih ada dua, orang yang `klon’ nama saya, satu berdaftar di Amerika Syarikat dan satu lagi  Singapura.

“(Fitnah) saya berpeluk dengan Neelofa, berkahwin dan bersandinglah. Macam-macamlah. Kalau betul tidak mengapa, kita tiada masalah,” kata beliau sambil berseloroh kepada media yang meminta penjelasan lanjut mengenai  isu berkenaan.

Ahmad berkata demikian sebagai mengulas dakwaan yang tersebar di laman sosial dan blog, yang mengaitkan sumber yang boleh dipercayai daripada Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Razak memetik sebagai berkata, bakal membuat penukaran Menteri Besar Terengganu tidak lama lagi.

Anwar Tarik Diri Tanding Presiden PKR

Dato’ Seri Anwar Ibrahim sah menarik diri daripada bertanding jawatan presiden PKR pada pemilihan parti itu bermula Jumaat ini, lapor Bernama.

Keputusan Anwar itu sekali gus menyaksikan isterinya, yang juga penyandang jawatan presiden parti, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail diumum menang tanpa bertanding dan mengekalkan jawatan yang disandang sejak penubuhan PKR pada 1999.

Pengarah Jawatankuasa Pemilihan Pusat PKR, Dato’ Johari Abdul, ketika mengumumkan perkara itu berkata Anwar membuat penarikan diri itu menerusi surat bertarikh 19 April 2014 yang dihantar kepadanya.

“Beliau tidak menyatakan sebab penarikan dirinya dalam surat tersebut dan bagi saya sebagai pengarah pemilihan parti, cukup sekadar diberitahu tentang penarikan diri itu sahaja.

“Tetapi saya difahamkan bahawa pasukan peguam belanya menasihati beliau supaya memberi tumpuan kepada kes mahkamah yang dihadapinya,” kata Johari pada sidang media berhubung isu-isu semasa pemilihan PKR di Kuala Lumpur, semalam.

Johari berkata, walaupun Anwar telah menarik diri, namun nama dan gambar beliau tetap akan dicetak pada kertas pemilihan dan deposit pencalonannya sebanyak RM9,000 tidak dikembalikan.

Pada proses pencalonan pada 29 Mac lalu, Anwar dan Dr Azizah diumumkan sebagai dua calon yang akan merebut jawatan presiden PKR pada pemilihan PKR yang dijadual bermula Jumaat ini hingga 11 Mei.

Dalam pada itu, Johari berkata pihaknya menerima banyak aduan berhubung kelayakan calon yang bertanding pada pemilihan itu termasuk bagi jawatan peringkat tertinggi parti.

Katanya Jawatankuasa Aduan PKR akan meneliti setiap aduan tersebut berlandaskan peraturan dan perlembagaan parti bagi menentukan sama ada aduan tersebut benar.

Pemilihan PKR itu dijalankan secara berperingkat mengikut negeri bermula Jumaat ini di Lawas, Sarawak, diikuti keesokan harinya di kawasan lain di Sarawak serta Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Seterusnya, ia diadakan di Johor dan Melaka pada 27 April; Kedah, Perlis dan Sabah pada 3 Mei; Pulau Pinang, Perak dan Sabah pada 4 Mei; Negeri Sembilan dan Wilayah Persekutuan pada 10 Mei dan Selangor pada 11 Mei.

Sekitar 10,000 calon bertanding pelbagai jawatan sama ada di peringkat cabang dan pusat dengan 496,923 anggota parti itu layak mengundi.

Terengganu Tarik Pelaburan Asing RM16.3 Bilion

Terengganu berjaya menarik pelaburan asing berjumlah RM16.3 bilion sejak 2007 sehingga suku pertama tahun ini, kata Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said.

Melalui pelaburan itu katanya, lebih  20,000 peluang kerja diwujudkan dalam pelbagai sektor termasuk perindustrian, pembuatan, pelancongan, minyak dan gas.

Beliau berkata, pelaburan itu termasuklah syarikat CJ dan Arkema yang bakal beroperasi di Taman Polimer Kertih pada pertengahan tahun ini dengan jumlah pelaburan RM2.24 billion sekali gus telah meletakkan Terengganu sebagai destinasi pelaburan menarik bagi industri bioteknologi.

Katanya, langkah itu mampu menyediakan pelbagai peluang komersial kepada syarikat-syarikat bioteknologi terutama penggiat bioteknologi global ke negeri ini dalam tempoh terdekat.

“Dengan faktor ini, beberapa syarikat asing dari Amerika Syarikat, iaitu Gevo Inc.  telah memberikan komitmen pelaburan sebanyak RM1.65 billion untuk membangunkan loji pembuatan isobutanol dari biojisim selulosa. Tidak terkecuali, syarikat Virdia juga turut menyatakan minat untuk melabur di Terengganu.

“Sektor industri besi keluli juga dilihat sebagai pemangkin ke arah ekonomi negeri berpendapatan tinggi. Aktiviti pelaburan yang berskala besar ini turut menjadi agenda penting dalam pembangunan peningkatan taraf kehidupan rakyat di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Ucaptama Negeri dan Pelancaran Bidang Keberhasilan Utama Negeri (SKRA) di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan Pemandu, Dato’ Seri Idris Jala dan Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri, Mohd Zubir Embong.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah dan Pengerusi Jawatankuasa Transformasi Kerajaan, Komunikasi dan Multimedia Negeri, A. Latiff bin Awang

Ahmad turut memberitahu, dijangka memulakan operasi pada suku ke -3 tahun ini, syarikat Easten Steel Sdn. Bhd., kilang besi keluli yang terbesar di Malaysia ini turut dapat dimanfaatkan oleh Terengganu.

“Dengan nilai pelaburan pemulaan sebanyak RM2 billion, ianya meningkat kepada hampir RM4 billion pada ketika ini menunjukkan betapa pentingnya industri besi keluli ini kepada masyarakat.

“HKS Mineral Sdn. Bhd. juga telah diluluskan bagi membangunkan kilang besi keluli di Kawasan Perindustrian Teluk Kalong. Jumlah pelaburan yang bakal dilaburkan berjumlah RM 6.6 billion di kawasan seluas 1,000 ekar dan menawarkan sebanyak 1,300 peluang pekerjaan,” katanya.

Menurutnya, tumpuan juga diberikan kepada pembangunan lembah silika. Sumber pasir silika yang dianggarkan lebih 50 juta tan metrik akan dibangunkan oleh Terengganu Silica Consortium Sdn. Bhd. dan dapat memberi 600 peluang pekerjaan kepada rakyat negeri ini khususnya.

“Pelaburan bernilai RM350 juta ini dijalankan di Kawasan Perindustrian Saujana, Setiu.

“Dengan adanya industri silika ini, produk-produk seperti kraftangan turut dapat dihasilkan oleh rakyat yang cenderung kepada penghasilan kraftangan untuk pasaran tempatan dan luar negara,” katanya.