Sukma 2014 : Hoki Langkah Kanan

Skuad hoki lelaki dan wanita Terengganu hampir menepati sasaran menghadiahkan pingat buat kontinjen Terengganu apabila berjaya memburu slot separuh akhir pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) Perlis 2014.

Kedua-dua pasukan itu berjaya mengekalkan rentak kemenangan selepas mengharungi empat perlawanan peringkat kumpulan semalam.

Pengendali skuad wanita, Muhammad Sabran Mohamad mengharapkan anak buahnya dapat mengekalkan rentak kemenangan untuk muncul juara peringkat kumpulan dalam aksi terakhir bertemu Negeri Sembilan petang ini.

Menurutnya, ketika ini skuad kendaliannya itu telah menunjukkan komitmen yang tinggi sepanjang mengharungi saingan peringkat kumpulan, malah jentera serangan juga sudah menemui rentak jaringan yang sebelum ini sekadar mencatatkan kemenangan dengan lebihan satu gol.

“Pada perlawanan pertama kita menewaskan Sabah 1-0, seri 1-1 dengan Pahang dan menundukkan Sarawak 1-0 kelmarin, tapi hari ini pemain berjaya mencipta kemenangan dengan jaringan 3-0 bertemu Johor.

“Memang atas kertas kita sudah layak ke separuh akhir, tetapi saya berharap pemain tidak mengambil mudah ketika bertemu Negeri Sembilan nanti dan kemenangan itu nanti sekurang-kurangnya  dapat memberi keyakinan kepada pemain untuk mengharungi saingan separuh akhir nanti,” katanya.

Untuk rekod hoki wanita berada dalam kumpulan A bersama-sama Johor, Negeri Sembilan, Pahang, Sabah dan Sarawak manakala hoki lelaki turut diundi dalam kumpulan A bersama-sama Sabah, Perak, Perlis, Pahang dan Johor.

Hoki lelaki yang turut mencatatkan rekod bersih  ketika turun bertemu Sabah, 4-0 dalam aksi pembuka tirai, menang ke atas Perlis, 3-0,manakala seri ke atas Perak 2-2  dan  semalam menundukkan saingan Johor 3-2.

Terengganu  (hoki lelaki) bakal berdepan Pahang di Gelanggang Hoki, Kompleks Sukan Negeri , Kangar  manakala hoki wanita bertemu Negeri Sembilan, di SMK Kuala Perlis, jam 3 petang ini.

Dalam perkembangan yang lain, Menteri Besar, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman  yang juga merupakan ‘bapa angkat’ skuad hoki wanita  bertemu mata dan memberi kata-kata semangat kepada atlet  acara itu di majlis makan malam di Koma Laut, Kuala Perlis, malam tadi.

Sementara itu, kontinjen Terengganu kekal teratas dalam carata pungutan pingat, sehingga tengah hari ini dan diekori Pahang, yang melonjak di tangga kedua.

Terengganu menambah satu lagi emas menerusi acara basikal ujian masa berpasukan lelaki, pagi ini.

Skuad Hanelang gah di persada dengan koleksi  47 pingat melibatkan 20 emas, 19 perak dan 8 gangsa.

Sukma 2014 : Nur Aisyah Pertahan Emas

Atlet muda berbasikal Terengganu, Nur Aisyah Mohamad Zubir berjaya mempertahankan pingat emas yang diraih pelumba seniornya, Nurul Suhada Zainal di Sukma Pahang dua tahun lalu apabila mencatatkan masa terpantas dalam acara ujian masa individu wanita di Lebuhraya Changlun-Kuala Perlis, semalam.

Nur Aisyah menamatkan perlumbaan sejauh 33.4 kilometer itu dengan catatan masa terpantas 53 minit, 04.314 saat sekaligus meraih pingat emas setelah menewaskan atlet dari Pahang, Nurul Nadia Mohamad Fauzi (54:56.921s)untuk pingat perak dan gangsa menjadi milik pelumba Kedah Siti Fatimah Ismail (55:04.720s).

Sementara itu, atlet lelaki Terengganu, Mohamad Nur Aiman Mohd Zariff sekadar meraih perak apabila  mencatatkan masa 55:51.608s ketinggalan 35.909s di belakang  pelumba dari Pahang, Ahmad Fahmi Farhan yang mencatatkan masa terpantas 55:15.699s untuk pingat emas.

Sementara itu, Skuad Terengganu juga berjaya mencuri tumpuan di gelanggang persilatan apabila atlet  kategori solo bebas lelaki Mohd Faiz Ngah  dan wanitanya Nor Aqila Noryamal meraih emas dalam acara akhir silat seni yang menutup tirainya di Kompleks Sukan Negeri, malam kelmarin.

Selain dua pingat emas, skuad pencak silat turut menyumbangkan dua lagi pingat perak dalam acara Tempur Ganda lelaki melalui gandingan,Mohd Adam Zakaria dan Muhammad Suhaimi Tengah  serta trio, Fatin Fazliyana Marzuki,Nik Nur Dalila M Suhaimi  dan Nur Hidayah Ismail menerusi acara Jurus Wajib Regu.

Manakala pingat gangsa  pula  disumbangkan oleh Farah Aini Safie dalam acara Jurus Tunggal baku dalam enam acara akhir yang dipertandingkan malam kelmarin.

Ketua Jurulatihnya, Shahrul Fahmi berkata, kutipan dua pingat emas itu telah melepasi sasaran awal yang diletakkan dalam acara silat seni dengan sandaran satu emas dan dua perak.

1,041 Atlet OKU Sertai Sukan SOM

Acara boling turut dipertandingkan dalam Kejohanan Sukan Special Olympics Malaysia (SOM)

Kerajaan negeri berharap atlet Orang Kurang Upaya (OKU) sukan Special Olympics Malaysia (SOM) dapat mewakili negara ke persada Sukan Paralimpik Antarabangsa, di Rio De Janeiro, Brazil pada 2016.

Usaha itu mampu mengubah persepsi dan mengubah stigma masyarakat umum terhadap golongan itu, selain menaikkan imej negara di persada antarabangsa.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman, berkata dia bangga kerana penganjur memilih Terengganu sebagai tuan rumah kejohanan sukan SOM yang menghimpunkan 1,041 atlet OKU ketegori masalah pembelajaran membabitkan 15 kontinjen dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Katanya, sukan itu membuktikan masyarakat umum tidak mengabaikan golongan OKU untuk bersama-sama aktif dan menampilkan bakat dalam bidang sukan.

“Sukan kini menjadi agenda penting dalam arus pembangunan negara kerana dapat melahirkan generasi sihat di kalangan masyarakat umum dan juga golongan OKU,” pada Majlis Perasmian penutup kejohanan SOM, di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, malam tadi.

Teks ucapan beliau dibacakan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu (Speaker), YB Mohd Zubir Embong.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri, Muhammad Pahemi Yusof dan Pengarah Jabatan Kebajikan Negeri, Zuhami Omar.

Kejohanan yang berlangsung selama lima hari, berakhir hari ini (28 Mei) menampilkan enam acara dipertandingkan iaitu olahraga , bola sepak, bocce, renang, boling dan renang .

Sebanyak 409 pingat menjad rebutan di mana 142 bagi pingat emas, 136 (pingat perak) dan 131 bagi pingat gangsa.

Dato’ Razif turut memberitahu, dia percaya sukan SOM mampu menunjukkan peningkatan dari segi mutu dan persembahan atlet OKU pada kejohanan akan datang..

“Penglibatan pelbagai agensi kerajaan berkaitan, Pertubuhan Sukarela Kebajikan dan ibu bapa golongan itu cukup penting bagi memastikan kejohanan sukan seumpama ini terus mencipta nama,” katanya.

Sukma 2014 : Razif Suntik Semangat Atlet Terengganu

Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman hadir memberi penghargaan kepada atlet kanu serta suntikan semangat kepada atlet hoki wanita Terengganu di Koma Laut, Kuala Perlis, Perlis malam ini. Foto oleh Harish Fadzillah.

Kesudian Menteri Besar, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman melawat skuad hoki wanita Terengganu ke Sukan Malaysia (Sukma) di Perlis ternyata menyuntik semangat pemain untuk mencipta kejayaan.

Kehadiran Ahmad Razif yang juga merupakan ‘bapa angkat’ skuad Hoki Wanita ke majlis makan malam di Koma Laut, Kuala Perlis mengurangkan tekanan dan debaran pemain bagi menghadapi temasya sukan terbesar negara itu.

Beliau yang ditemai isteri, To’ Puan Halina Zakaria banyak memberi nasihat dan pesanan bermakna supaya bersikap tenang dalam apa jua keadaan.

Katanya, semua pemain harus memberi lebih banyak penumpuan kepada perlawanan dan menjaga disiplin diri agar tidak menghadapi masalah pada perlawanan yang bakal ditempuhi.

“Apa yang saya difahamkan, semua persiapan telah dilakukan dan semuanya berjalan lancar. Jadi, saya berharap semua pemain dapat memberi persembahan terbaik dan mencipta kegemilangan untuk Terengganu.

“Walaupun insentif kemenangan yang akan diberikan kerajaan negeri begitu lumayan berbanding negeri-negeri lain, bermainlah dengan penuh semangat kesukanan. Yang penting semangat sukan, semangat untuk menang,” katanya.

 

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri, YB. Rozi Mamat dan Ketua Kontingen, YB. Mohd Mahdi Musa.

Turut serta dalam program santai itu, atlet kanu dan silat.

Tambah Ahmad Razif, kejayaan yang dicapai kem Terengganu setakat ini mampu menguatkan semangat untuk mencapai sasaran sebagai juara Sukma 2014.

“Namun begitu, atlet jangan rasa terlalu yakin, mesti berhati-hati dan fokus kepada pertandingan.

“Saya juga berbangga dengan kehadiran dan komitmen wakil-wakil rakyat selaku ‘bapa angkat’ serta jabatan-jabatan angkat yang turun ke Perlis memberi sokongan padu,” ujarnya.

 

Sukma 2014 : Kanu Bolot 14 Emas, Juara Keseluruhan

                       Dua atlet kanu yang menghadiahkan emas terbanyak untuk Kontinjen Terengganu

Semangat luar biasa pendayung  Terengganu sepanjang empat  hari bersaing di Kompleks Sukan Air, Tasik Timah Tasoh di Padang Besar, berjaya mengetepikan pencabar lain untuk menguasai hampir keseluruhan emas yang ditawarkan pada Sukan Malaysia (Sukma ) Perlis 2014.

Ketika melabuhkan tirai semalam, Terengganu sekali lagi membolot lima pingat emas untuk terus  menerajui kedudukan tertinggi carta pungutan pingat pada hari terakhir acara itu.

Terengganu Hanelang muncul juara keseluruhan acara itu dengan pungutan 14 emas dan lapan perak atau penguasaan 64 peratus emas.

Lima emas semalam  terhasil daripada acara 200 meter K1 wanita, Azita Ibrahim, Fatimah Ngah (TK1 wanita), Ahmad Shafiq Moha dan Muhammad Uweis Arqroni Rahmat (K2 lelaki) serta gandingan Nor Azita Ibrahim dan Noor Azira Ibrahim (K2 wanita).

Pasukan  yang diketuai Chef De Mission, YB Mohd Mahdi Musa itu melengkapkan pingat emas kelima pada aksi penutup itu menerusi gandingan Akmal Idayu Mat Razik, Fatin Ajeerah Wahab, Azita dan Azira dalam acara K4 wanita.

Sehingga tengah malam tadi,  Terengganu mengukuhkan cengkaman di persada dengan rekod  18 pingat emas, 12 perak dan lapan gangsa diikuti kontinjen Pulau Pinang meraih 10 pingat emas, tiga perak dan lima gangsa.

Selain 14 emas menerusi kanu, baki masing-masing dua bagi acara berbasikal dan dua lagi pencak silat  bagi kategori solo bebas wanita dan lelaki  yang berlangsung malam tadi.

Pada kali ini, Terengganu yang menghantar 392 atlet mensasarkan 53 emas, 45 perak dan 51 gangsa menerusi 307 acara atau 79.43 peratus daripada keseluruhan penawaran pingat sepanjang temasya pada 24 Mei hingga 4 Jun ini.

Hari ini menyaksikan sejumlah 10 pingat lagi ditawarkan melalui acara angkat berat, berbasikal, tenpin boling, sepak taqraw dan petanque.

Kontinjen JUMLAH PINGAT
   Terengganu 18 12 8 38
   Pulau Pinang 10 3 5 18
   W.Persekutuan 7 11 9 27
   Johor 5 7 8 20
   Pahang 4 10 9 23
   Selangor 4 1 17 22
   Saba 3 2 13 18
   Sarawak 3 1 6 10
   Perak 2 2 4 8
   Kedah 1 3 7 11
   N. Sembilan 1 2 3 6
   Perlis 0 3 18 21
   Melaka 0 1 5 6
   Kelantan 0 1 0 1
   Brunei D.S. 1 0 0 1
         Jumlah Keseluruhan 59 59 112 230

29 Pelayar Singgah Terengganu

 

Program pelancongan marina, Sail Passage to the East, iaitu rali kapal layar merentasi Malaysia, dijangka menarik lebih ramai pelayar berlabuh di Terengganu memandangkan negeri ini mempunyai kemudahan dan infrastruktur marina yang diperlukan oleh pelayar.

Promosi program ini mendapat kerjasama Tourism Terengganu apabila sebanyak 14 kapal layar ‘Sail Malaysia Passage to the East’ melibatkan 29 pelayar dari pelosok dunia kini berada di Bandaraya Warisan Pesisir Air Kuala Terengganu.

Antara negara terlibat, New Zealand, United Kingdom, Amerika Syarikat, Australia, Republic Ireland, Holland, South Africa, Poland dan Germany.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Dato’ Mohd Jidin Shafee, berkata peserta rali perahu layar ini merupakan komuniti pelancong yang berbeza daripada pelancong-pelancong lain.

”Mereka akan belayar meredah lautan dan akan singgah dimana-mana destinasi yang mempunyai kemudahan marina dan tarikan pelancongan.

”Terengganu antara lokasi pilihan kerana mempunyai kemudahan marina bertaraf antarabangsa yang mampu menyediakan kemudahan-kemudahan seperti pengisian minyak, pembaikian dan penjagaan,” katanya pada Majlis Minum Petang Bersama Passage To The East 2014, di Restoran Paradise, Kuala Terengganu, semalam.

Katanya, pelayaran itu sebahagian daripada kempen ‘Discover Malaysia by Sea’ bagi mewujudkan laluan laut di perairan Malaysia.

“Terengganu secara tradisinya merupakan destinasi pelayaran yang masih belum dikenali ramai memandangkan laluan di Laut China Selatan bukan merupakan laluan utama,” katanya