Penduduk Besut Sambut Baik Kompleks Imtiaz Dikembalikan Semula

Pelbagai lapisan masyarakat di daerah Besut menyambut baik keputusan kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman, yang berjanji akan mengembalikan semula Kompleks Imtiaz Besut  kepada tujuan asal penubuhan pusat pendidikan berkenaan.

Mereka menyifatkan pengumuman yang dibuat Menteri Besar amat mengembirakan seluruh penduduk daerah itu terutama warga pendidik yang ingin melihat Kompleks Imtiaz Besut beroperasi secepat mungkin untuk pelajar Imtiaz.

Menurutnya, sikap prihatin kerajaan negeri khususnya Ahmad Razif yang mahu kompleks itu dijadikan tempat pelajar Imtiaz satu anugerah tertinggi kepada rakyat Besut yang sebelum ini sudah kecewa dengan isu Imtiaz.

Seorang aktivis masyarakat, Arifin Jusoh, 42, berkata keputusan terbaru yang dibuat kerajaan negeri itu amat tepat dan sesuai dengan kedudukan daerah Besut sebagai pusat pendidikan utama di negeri ini.

Katanya, sebelum ini Kompleks Imtiaz bernilai RM86 juta berada dalam keadaan tidak menentu kerana pelajar ditempatkan di Asrama Berkelompok di Kampung Padang Landak, dekat Jertih.

“Tidak ada gunanya bangunan berharga berjuta ringgit yang matlamat asalnya untuk pelajar Imtiaz tiba-tiba ditukar status,” katanya.

Kompleks Imtiaz Besut dilhamkan bekas Menteri Besar, Dato’ Seri Idris Jusoh ketika memimpin Terengganu dibina bagi menjadikan pusat pendidikan cemerlang dalam bidang agama dan sains.

Berikutan pengumuman itu, penduduk Besut mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar kerana sensitif  dengan kehendak rakyat dan berharap tindakan beliau itu satu penghormatan tertinggi selepas 100 hari mentadbir negeri.

MB Agih Bubur Lambuk

Dalam kesibukan menjalankan tugas rutin sebagai menteri besar, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman sempat meluangkan masa mengagihkan bubur lambuk kepada orang ramai terutama umat Islam di dataran Masjid Abidin (Masjid Putih) petang ini.

Di kesempatan itu, beliau ditemani isteri, To’ Puan Halina Zakaria turut mengambil peluang untuk beramah mesra dengan mereka yang mendapatkan bubur lambuk secara percuma sebagai juadah berbuka puasa pada hari pertama Ramadan.

“Saya ingin mengambil peluang untuk merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak Masjid Putih dan juga Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) mengadakan program pengagihan bubur lambuk ini.

“Program ini adalah tradisi tahunan dan mendapat sambutan yang amat bagus. Apa yang dilaksanakan ini amat baik kerana dapat mengekalkan tradisi malah secara tidak langsung dapat memperkenalkan makanan tradisi Terengganu kepada generasi muda,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Program Pembahagian Bubur Lambuk Rakyat di Masjid Putih, Kuala Terengganu.

Turut hadir, Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu, Dato’ Mohd Rozali Saleh dan Imam Besar Masjid Negeri Terengganu, Aizi Saidi Abdul Aziz.

Menurut Dato’ Ahmad Razif, kerajaan negeri memperuntukkan kira-kira RM100 ribu untuk dibelanjakan dalam proses penyediaan bubur lambuk di masjid Putih yang dimasak secara bergotong-royong oleh ahli jawatankuasa masjid itu sepanjang Ramadan tahun ini.

Masjid Putih Masak Sepuluh Periuk Bubur Lambuk Setiap Hari

Masjid Abidin atau lebih dikenali dengan nama Masjid Putih meneruskan tradisi pengagihan bubur lambuk kepada orang ramai sepanjang Ramadan tahun ini.

Imam Besar Masjid Negeri Terengganu, Aizi Saidi Abdul Aziz berkata, sebanyak sepuluh periuk bubur lambuk dimasak secara bergotong royong oleh 50 ahli jawatankuasa dan kariah Masjid Putih setiap hari selama sebulan Ramadan.

“Proses penyediaan bubur lambuk ini bermula jam 8 pagi di perkarangan masjid dan diketuai tukang masak yang mesra dipanggil Pak Awang.

“Sebelum mula diagihkan kepada orang ramai sekitar jam 3.30 petang, bubur lambuk yang dimasak akan dimasukkan ke dalam kira-kira 2000 bekas kecil untuk memudahkan proses pengagihan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Program Pembahagian Bubur Lambuk Rakyat yang disempurnakan Menteri Besar, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman di Masjid Putih, Kuala Terengganu, petang ini.

Turut hadir, Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu, Dato’ Mohd Rozali Saleh.

Katanya, program tajaan kerajaan negeri sebanyak RM100 ribu itu dilaksanakan secara bergotong-royong bagi menyemarakkan suasana bulan Ramadan serta merapatkan hubungan sesama anggota masyarakat.

Tambah beliau, sejak program itu diadakan lima tahun lalu sambutan terhadap bubur lambuk Masjid Putih amat menggalakkan dan turut digemari orang bukan Islam.

Tragedi Menjelang Ramadan

Seorang pelajar Tingkatan Tiga sebuah madrasah di Kemaman maut akibat cedera parah selepas terpelanting dan mayatnya tersangkut pada pengadang besi lebuh raya,  dalam kemalangan ngeri yang mengorbankan dua mangsa, dekat Seri Bandi, Kemaman, Jumat lalu.

Mangsa Muhammad Shafiq Safie  dari Kampung Bukit Takal, Kemaman, dan buruh ladang kelapa sawit yang hanya dikenali sebagai Muhsan, 47, dari Lombok , meninggal dunia serta merta dalam kejadian yang berlaku di jalan yang sedang dalam  pembinaan, di KM302.6 Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2).

Menurut kakak pelajar berkenaan, Nabila Safie, 19,  dia menggigil sebaik tiba di tempat kejadian dan melihat mayat adiknya yang juga anak ketiga dari lima beradik tersangkut pada pengadang besi di kawasan kejadian.

Katanya Shafiq, pelajar jurusan Syariah di Madrasah As Sirotol Mustakim, di kampung Batu 4, Binjai, keluar bersama rakan-rakannya selepas menunaikan solat Jumaat pada jam 2.30 petang.

Menurutnya Shafiq pulang ke rumah setiap cuti hunujung minggu untuk bertemu keluarga.

Kemalangan dipercayai berlaku apabila kedua-dua mangsa yang menunggang motosikal dari arah bertentangan bertembung sesama sendiri menyebabkan Mohamad Syafiq  tersangkut di celah pagar lebuh raya sementara motosikal jenis Yamaha LC dinaiki terseret sejauh 29 meter dari mayatnya.

Sementara Muhsan yang berasal dari Lombok, Indonesia pula tersembam ke atas jalan dan mengalami kecederaan teruk pada wajah serta kepala.

Ketika kejadian, Muhsan baru pulang dari bekerja di Ladang Ketengah Jaya  dan menghala ke arah Kuantan sebelum gagal mengelak pertembungan dengan Syafiq, pelajar sekolah pondok  yang menunggang motosikal dari arah bertentangan bersama-sama beberapa rakan yang lain.

Kejadian itu mengakibatkan  motosikal Honda Wave yang ditunggang Shafiq rosak teruk dengan beberapa komponen motosikal hancur.

Sementara Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kemalangan berkenaan.

Dalam kejadian berasingan, seorang pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) meninggal dunia selepas dirawat di hospital akibat  kecederaan dalaman sementara dua lagi rakannya mendapat rawatan akibat cedera ringan di Hospital Universiti Kubang Kerian, (HUSM) Kelantan.

Tiga pelajar berusia 19 tahun itu dikatakan membonceng bertiga motosikal Yamaha 135LC dalam perjalanan keluar dari Fakulti Komputer di kawasan Kampus UniSZA Tembila,  kira-kira  jam 1.15 petang Khamis lalu.

Difahamkan, seorang dari pembonceng, Muhammad Azri Afandi dikatakan tiba-tiba pitam menyebabkan motosikal itu gagal dikawal ebelum terbabas dan mereka bertiga jatuh di atas pembahagi jalan.

Mangsa Muhammad Azri mengalami hentakan di bahagian dada dan dihantar untuk rawatan lanjut di HUSM sebelum  meninggal dunia semasa rawatan di hospital yang  sama, pada Jumaat,  jam 11.35 malam.

Ketua Polis Daerah Besut Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata mangsa meninggal dunia akibat kecederaan parah bahagian organ dalaman akibat kemalangan berkenaan.

“Rakan mangsa Ahmad Razin Abdul Rashid mengalamiluka bahagian peha kanan dan seorang lagi yang dikenali Ahmad Faizuddin, hanya luka bahagian kening kanan dan menerima rawatan pesakit luar di Hospital Besut,” katanya.

Terengganu Buat Rayuan Kuota Haji

Terengganu bercadang membuat rayuan kepada Jabatan Perdana Menteri (JPM) berhubung kuota haji yang akan diberikan kepada negeri itu bagi musim haji tahun ini.

Menteri Besar,  Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman berkata, sehingga ini kerajaan negeri masih menunggu keputusan kuota haji yang akan diberikan menerusi JPM itu.

“Kerajaan negeri tiada masalah untuk menghantar kakitangan kita bagi menunaikan fardu haji. Kita akan teruskan program menghantar kakitangan kerajaan, imam, bilal serta Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) menunaikan fardu haji seperti biasa.

“Biasanya setiap tahun Terengganu hantar 300 orang menunaikan fardu haji. Bagaimanapun sekarang kuotanya sangat kritikal dan tahun lepas pun kita tidak mendapat kuota penuh,”katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyampaian sumbangan berbuka puasa dan moreh kepada 52 buah masjid dan 132 buah surau di seluruh Parlimen Kuala Nerus, di Quinara Al-Safir Resort, Tok Jembal, Kuala Terengganu, semalam.

Sehubungan itu, Ahmad Razif akan menghubungi JPM bagi membolehkan kerajaan negeri menghantar kakitangannya menunaikan fardu haji tahun ini mengikut kuota yang dikehendaki negeri.

Sementara itu, Menteri Besar berkata, sumbangan berbuka puasa seperti kurma, air zam zam, teh, kopi, biskut, gula dan sirap bagi kegunaan harian masjid dan surau sepanjang bulan Ramadan ini.

 

 

“Pada masa yang sama, kita juga menggalakkan sumbangan dari orang ramai kepada masjid dan surau sempana bulan Ramadan kerana bersedakah dan memberi sumbangan itu adalah amalan terpuji,” katanya.

Terengganu Buat Rayuan Kuota Haji

Terengganu bercadang membuat rayuan kepada Jabatan Perdana Menteri (JPM) berhubung kuota haji yang akan diberikan kepada negeri itu bagi musim haji tahun ini.

Menteri Besar,  Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman berkata, sehingga ini kerajaan negeri masih menunggu keputusan kuota haji yang akan diberikan menerusi JPM itu.

“Kerajaan negeri tiada masalah untuk menghantar kakitangan kita bagi menunaikan fardu haji. Kita akan teruskan program menghantar kakitangan kerajaan, imam, bilal serta Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) menunaikan fardu haji seperti biasa.

“Biasanya setiap tahun Terengganu hantar 300 orang menunaikan fardu haji. Bagaimanapun sekarang kuotanya sangat kritikal dan tahun lepas pun kita tidak mendapat kuota penuh,”katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyampaian sumbangan berbuka puasa dan moreh kepada 52 buah masjid dan 132 buah surau di seluruh Parlimen Kuala Nerus, di Quinara Al-Safir Resort, Tok Jembal, Kuala Terengganu, semalam.

Sehubungan itu, Ahmad Razif akan menghubungi JPM bagi membolehkan kerajaan negeri menghantar kakitangannya menunaikan fardu haji tahun ini mengikut kuota yang dikehendaki negeri.

Sementara itu, Menteri Besar berkata, sumbangan berbuka puasa seperti kurma, air zam zam, teh, kopi, biskut, gula dan sirap bagi kegunaan harian masjid dan surau sepanjang bulan Ramadan ini.

“Pada masa yang sama, kita juga menggalakkan sumbangan dari orang ramai kepada masjid dan surau sempana bulan Ramadan kerana bersedakah dan memberi sumbangan itu adalah amalan terpuji,” katanya.

 

Pelajar SM Imtiaz Besut Bakal Berpindah

Ahmad Razif… SM Imtiaz Besut bakal berpindah

Kerajaan negeri bersetuju memindahkan pelajar Sekolah Menengah (Imtiaz ) Besut yang kini ditempatkan di asrama berkelompok di Pelagat, Jerteh ke Kompleks Imtiaz di Bukit Keluang dalam tempoh terdekat..

Menteri Besar Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman berkata, kompleks yang menelan belanja sebanyak RM85 juta itu juga akan dinaiktaraf sebagai sekolah elit yang akan menempatkan pelajar cemerlang.

“Segala proses (pemindahan pelajar) akan dilaksanakan tahun ini dan kita juga sedang dalam peringkat rundingan dengan Kementerian Pendidikan untuk mendapat pengiktirafan (SM Imtiaz, Besut) sebagai sekolah berasrama penuh.

“Di mana pada tahun depan, semua pelajar SM Imtiaz yang memperoleh keputusan cemerlang akan ditempatkan di situ supaya mampu memberi perasingan antara mereka, sekaligus merealisasikan hasrat untuk melahirkan saintis Islam kelahiran Terengganu pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui sebaik selesai menyempurnakan Majlis Penganugerahan Hadiah Kecemerlangan Pelajar Yayasan Terengganu Kali Parlimen Kuala Nerus dan Kuala Terengganu di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Tugas-Tugas Khas negeri, Ghazali Taib; Pengarah Yayasan Terengganu, Mohamad Sulong dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Zakaria Hussin dan pegawai-pegawai tertinggi yang lain.

Sementara itu, pelajar Orang Kurang Upaya (Austime) Muhammad Danial Zanuddin, 19 dinobatkan sebagai anak angkat kepada Menteri Besar, kerana kecemerlangannya  dalam pelajaran dan mendapat 10 A,1B dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2013.

Menurut Ahmad Razif lagi, guru-guru yang akan ditempatkan di sekolah yang bertaraf elit itu terdiri daripada guru-guru Kementerian Pendidikan termasuk turut memperoleh kemudahan yang sama dengan sekolah-sekolah yang lain.

“Kompleks yang telah siap sepenuhnya serta turut memperoleh sijil layak mendududi (CF) itu bakal menjadi satu lagi kebanggan terutamanya dalam melahirkan pelajar yang cemerlang merangkumi pelbagai aspek termasuk akademik dan agama.

“Seperti mana yang saya maklumkan sebelum ini, kita akan memberi fokus terhadap usaha untuk melahirkan saintis Islam dan ia perlu digerakkan secara berterusan,” katanya.

Program IGCSE Bakal Diperkenal-MB

             Dato’ Ahmad Razif menyampaikan sumbangan wang tunai kepada pelajar

Terengganu bakal memperkenalkan Program Sijil Umum Pendidikan Menengah Antarabangsa (IGCSE) kepada pelajar sekolah menengah elit di negeri ini secara berperingkat-peringkat mulai tahun depan.

Menteri Besar Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman berkata, buat permulaan, pihaknya akan memperkenalkan program baru itu kepada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Lembah Bidong, Setiu sebagai sekolah projek perintis.

                              Ahmad Razif mahu perkenal program IGCSE

Katanya, apabila menampakkan kejayaan memberangsangkan dan memenuhi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan, program sama akan diperkenalkan kepada pelajar sekolah menengah elit lain, termasuk sekolah menengah Imtiaz secara berperingkat-peringkat.

“Program pertama kali bakal diperkenalkan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia, dapat membantu pelajar terbabit memendekkan tempoh dan menjimatkan kos pembelajaran sebelum menyambung terus pengajian ke universiti terpilih di luar negara.

“Pelajar yang mengikuti IGCSE, tidak perlu membuang masa mengambil A-level di mana sudah tentu memerlukan masa yang agak lama iaitu antara lima hingga tujuh tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penganugerahan Hadiah Kecemerlangan Pelajar di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Tugas-Tugas Khas Negeri, Ghazali Taib dan Pengarah Yayasan Terengganu, Mohamad Sulong

Seramai 2,402 pelajar cemerlang dalam peperiksaan umum 2013 hadir menerima sumbangan membabitkan peruntukan keseluruhan lebih RM630,000.

Ahmad Razif turut memberitahu, program IGSCE belum pernah dilaksanakan di mana-mana sekolah menengah kebangsaan di negara ini kecuali di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

“Kita mengambil contoh program yang diperkenalkan universiti terkemuka luar negara iaitu Universiti Cambridge, kerana mengetahui mampu melahirkan pelajar cemerlang dalam pelbagai bidang,” katanya.

Katanya, kerajaan negeri juga berhasrat memperkasakan sekolah menengah premier sedia ada dan memperkenalkan konsep sama kepada beberapa lagi sekolah menengah lain.

“Kita akan meletakkan KPI kepada sekolah terlibat, jika didapati gagal memenuhi hasrat dikehendaki akan dianggap gagal, sebelum dipertanggungjawab kepada sekolah menengah lain,” katanya

Umat Islam Di Malaysia Mula Puasa Ahad Ini

Umat Islam di Malaysia akan mula berpuasa Ahad ini.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Dato’ Seri Syed Danial Syed Ahmad ketika mengumumkan demikian berkata tarikh permulaan puasa bagi negeri-negeri di seluruh Malaysia telah ditetapkan pada Ahad, 29 Jun 2014, bagi mengikut perintah Yang di-Pertuan Agong setelah diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja.

Pengumuman itu disiar secara langsung menerusi Radio Televisyen Malaysia.

Majlis Raja-Raja mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh permulaan Ramadan adalah berdasarkan rukyah (melihat anak bulan) dan hisab (pengiraan secara matematik dan astronomi).

Semua Masjid Di Terengganu Diarah Terima, Kumpul Naskah Al-Quran Rosak

Semua  masjid di Terengganu diarah menerima dan mengumpul naskah al-Quran yang rosak daripada orang ramai sebelum diserahkan kepada pejabat agama bagi tujuan pelupusan mengikut syariat Islam, kata Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Islam Terengganu, Dato’ Mohd Rozali Salleh.

“Kita akan mengeluarkan arahan kepada masjid supaya menerima dan mengumpul naskah al-Quran yang rosak datangnya daripada orang kampung ataupun perseorangan.

“Dulu orang ramai diminta hantar al-Quran lama yang rosak terus ke pejabat agama tapi kini kita akan mempermudahkan urusan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengetuai rombongan pelupusan 1,800 kilogram abu al-Quran dan bahan-bahan bercetak yang mengandungi teks ayat-ayat suci itu di Laut China Selatan, 12 batu nautika dari Jeti Shahbandar, semalam.

Ini kerana sebelum ini masih ramai yang tidak tahu di mana dan bagaimana untuk ke khidmat pelupusan naskah al-Quran yang rosak, surah yassin, buku teks mengandungi ayat al-Quran dan kalimah Allah yang mengikut lunas-lunas Islam dan terhormat, sesuai dengan kesuciannya.

Menurut Rozali adalah penting bagi umat Islam menggunakan perkhidmatan pusat pelupusan al-Quran yang bertauliah dengan menggunakan relau khas bagi melupuskan kitab suci itu demi memastikan proses dilaksana dengan tertib.

“Selain dilupuskan melalui pembakaran sebelum abunya dibuang ke laut, kaedah Islam lain iaitu cara membakar dan menanamnya boleh digunakan, namun kita tidak galakkan kerana dikhuatiri akan dipijak orang yang lalu-lalang,” katanya.

Beliau turut mengalu-alukan orang ramai menghantar al-Quran lama yang rosak terus ke pejabat agama daerah masing-masing untuk tujuan pelupusan.

Ditanya mengenai bentuk dosa, Rozali berkata adalah berdosa seseorang Islam tidak menghormati kitab suci al-Quran walaupun ia dalam bentuk tidak sempurna.

Dalam perkembangan lain, katanya pihaknya akan melakukan rondaan dan pemantauan bagi menahan pesalah yang tidak menghormati bulan puasa.

“Operasi maksiat kita akan buat seperti kebiasaan. Cuma dalam bulan puasa ini tumpuan lebih kepada orang tidak hormati bulan puasa,” katanya.