Terengganu Agih Insentif Sukma RM1,575,000

Kerajaan negeri menunaikan janji kepada atlet yang meraih pingat pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) Perlis bulan lalu, apabila mengagihkan insentif berjumlah RM1,575,000 di Majlis Penyampaian Insentif Kemenangan Sukma Ke-17 Perlis di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, semalam.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Razif  Abd Rahman sebelum ini mengumumkan untuk menyerahkan imbuhan itu kepada atlet yang memenangi sekurang-kurangnya pingat gangsa sebelum menjelang Aidilfitri selepas mesyuarat mingguan Exco, 9 Julai lalu.

Beliau turun padang bagi menyampaikan imbuhan berkenaan kepada semua pemenang sebelum menyertai  majlis berbuka puasa bersama pegawai,  atlet, pengurus dan jurulatih sukan.

Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri,Dato Mohd Zubir Embong; Pengerusi Jawatankuasa Belia & Sukan dan Sumber Manusia, Dato’ Rozi Mamat dan timbalan pengerusinya,Mohd Mahdi Musa yang juga Ketua Kontinjen Sukma Terengganu kali ini.

Insentif  berkenaan diagihkan kepada 177 atlet yang melibatkan 79 pemenang pingat emas, 84  (pingat perak) dan 54 (pingat gangsa) dengan masing-masing memperolehi RM5,000 (emas), RM3,000 (perak) dan RM2,000 (gangsa).

Jumlah insentif itu juga melibatkan imbuhan kepada empat atlet yang mencipta dua rekod kebangsaan (RM9,000),12 atlet  yang menghasilkan tiga rekod Sukma (RM17,000), 119 pengurus dan jurulatih (RM448,000) serta 15 persatuan sukan negeri (RM75,000).

Di majlis itu, atlet kanu, Nor Azita Ibrahim, 18, muncul penerima insentif  tertinggi  berikutan kejayaannnya membolot semua pingat emas dari tujuh acara yang disertai sepanjang temasya yang lalu.

Dalam temasya Sukma lalu, Terengganu terpaksa akur sebagai naib juara dengan pungutan 51 pingat emas, 55 pingat perak  dan 31 pingat gangsa di belakang juara keseluruhan Wilayah Persekutuan yang mengumpul 55 pingat emas, 38 pingat perak dan 49 pingat gangsa.

Hoki Terengganu Diperkuat Enam Import Jerman

Terengganu bakal mendapat sentuhan bekas jurulatih kebangsaan Sarjit Singh dalam menghadapi kejohanan Liga Hoki Malaysia (LHM) Oktober ini.

Presiden Persatuan Hoki Negeri Trengganu (PHNT) Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid berkata, dengan pengalaman Sarjit, Terengganu mampu mengungguli LHM.

Beliau berkata selain itu Terengganu bakal diperkuat dengan kehadiran enam pemain import daripada Jerman yang akan bermain di bahagian pertahanan dan tengah.

“Saya sudah arah supaya jurulatih (Sarjit) buat surat tawaran kepada pemain dariada Jerman secepat boleh kerana kita mahu mereka berada di sini sebelum September,” katanya.

Beliau berkata PHNT telah mengikat kontrak lebih 10 pemain tempatan termasuk Faizal Sa’ari dan Fitri Sa’ari yang sebelum ini dikhabarkan dilamar kelab dari Belanda.

Musim lepas, Terengganu menduduki tangga kelima LHM walaupun tidak menggunakan khidmat pemain import.

MH17 : Elak Sebar Maklumat Palsu, Tidak Sahih

Pengguna media sosial dinasihatkan supaya tidak menyebarkan maklumat palsu dan tidak sahih mengenai tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 yang terhempas di Ukraine, Khamis lalu.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman berkata, pengguna media sosial perlu mengambil kira kesan daripada perbuatan itu kepada masyarkat khususnya kaum keluarga penumpang dan anak kapal pesawat itu.

Katanya, isu keselamatan tidak seharusnya dijadikan mainan politik atau bahn jenaka di laman sosial kerana ia bukan sahaja melibatkan nyawa malah memberi ‘kesan psikologi songsang’ kepada orang awam.

“Lambakan laporan tidak sahih dan khabar angin menerusi media baru berhubung perkara itu memberi kesan negatif serta persepsi awal yang tidak baik.

“Seharusnya semua masyarakat bersabar dan jangan sewenang-wenangnya mengeluarkan kenyataan tidak berasas,” katanya ketika berucap dalam majlis berbuka puasa bersama Rejimen Askar Melayu Diraja di Batalion 18 RAMD Kem Seberang Takir, semalam.

Hadir sama, isteri Menteri Besar, To’ Puan Halina Zakaria.

Pada majlis itu, Ahmad Razif turut memberi sumbangan sebanyak RM 10,000 kepada Batalion Kelapan Belas Rejimen Askar Melayu Diraja (18 RAMD).

Turut menerima sumbngan, Badan Amal Kebajikan Angkatan Tentera (BAKAT) 18 RAMD sebanyak RM5,000 serta peruntukan membaiki bumbung masjid yang bocor dan juga pembinaan taman permainan kanak-kanak di kem itu.

70 Pasukan Berentap Di Kejohanan Bola Keranjang Pantai Timur

Lebih 70 pasukan akan berentap dalam kejohanan bola keranjang peringkat Pantai Timur di Dataran Shahbandar, di sini, Jumaat ini.

Setiausaha Persatuan Bola Keranjang Terengganu, Wong Ka Fu berkata kejohanan tahun ini hanya disertai pasukan Kelantan dan dari seluruh daerah di Terengganu.

Katanya kejohanan sehari itu terbahagi kepada lima kategori iaitu lelaki terbuka, wanita terbuka, bawah-15 lelaki dan wanita serta kategori bukan Cina dengan pemenang tempat pertama akan membawa pulang wang tunai sebanyak RM450, kedua RM300 dan ketiga RM200 bagi setiap kategori.

“Kejohanan yang dianjurkan ini adalah bagi menarik minat serta mencungkil bakat baharu dalam sukan bola keranjang di negeri ini selain mewujudkan keharmonian antara kaum.

“Ini merupakan sambutan yang luar biasa dan paling banyak penyertaan sejak diperkenalkan tahun 1995 dimana sebelum ini penyertaan paling tinggi dicatat adalah 40 pasukan sahaja yang menunjukkan minat menyertai kejohanan ini,” katanya .

Menurutnya, pada kejohanan kali ini, lebih 40 peratus atlet Melayu daripada kira-kira keseluruhan 240 atlet turut menyertai dan menunjukkan minat dalam kejohanan yang lazimnya dimonopoli golongan Cina.

Tambahnya, ini merupakan langkah positif untuk menggilap bakat baharu dalam sukan berkenaan khususnya daripada atlet Melayu untuk diketengahkan bakatnya

Piala Malaysia : Skuad Peteh Optimis Mara Ke Suku Akhir

Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) optimis pasukan negeri kendalian Abdul Rahman Ibrahim mampu menempah slot suku akhir Piala Malaysia 2014 yang membuka tirai pada 13 Ogos ini.

Presidennya, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid berkata menerusi undian yang dilakukan, beliau meletakkan keyakinan tinggi bahawa pasukan ‘Peteh Ganu Peteh’ itu tidak menghadapi masalah besar untuk mencapai sasaran.

Terengganu diletakkan dalam Kumpulan B bersama-sama dengan Sarawak, Perak dan Kedah manakala pasukan berstatus kelab T-Team diundi dalam Kumpulan D bersama-sama dengan Selangor, Sime Darby FC dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kumpulan A terdiri daripada Pahang, Lions XII, Felda United dan Johor Darul Ta’zim II manakala Kumpulan C melibatkan pasukan Johor Darul Ta’zim, Kelantan, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Pulau Pinang.

“Terengganu perlu merebut peluang ini kerana saingan dalam kumpulan lain lebih hebat,” katanya semalam.

Bernama melaporkan, menurut Wan Ahmad Nizam, bagi merealisasikan sasaran itu, kesemua pemain harus memberi komitmen dan perhatian sepenuhnya untuk menjulang piala keramat itu selepas terlepas dua piala sepanjang saingan dalam Liga Super dan Piala FA.

Sebelum ini, PBSNT pernah meletakkan sasaran untuk membawa pulang salah satu piala namun hajat itu tidak kesampaian dan kini sasaran terarah kepada pemburuan Piala Malaysia untuk dibawa ke bumi Terengganu.

“Jika harapan itu menjadi kenyataan, maka ia menjadi penawar duka kepada penyokong negeri ini dan apapun kita harapkan satu keajaiban bakal berlaku buat pasukan Terengganu dalam aksi Piala Malaysia pada kali ini,” katanya.

Kali terakhir Terengganu menjuarai Piala Malaysia adalah pada tahun 2001 setelah menewaskan Perak 2-1 pada final dan kali terakhir melangkah ke final ialah pada 2011 apabila dikecewakan oleh Negeri Sembilan dengan keputusan 1-2.

Wan Ahmad Nizam berkata harapan yang sama juga disandarkan kepada pasukan T-Team walaupun dilihat lebih sukar memandangkan pasukan itu masih terumbang ambing mencari rentak permainan.

Mengenai nasib ketua jurulatih T-Team, Azrai Khor Abdullah, yang gagal mempertahankan kedudukan dalam saingan Liga Super dan turun ke Liga Perdana musim depan, beliau berkata perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat lembaga T-Team, Isnin ini.

“Terima Kasih Sudi Kunjungi”

Wan Ngah terharu menerima kunjungan Singgah Sahur yang diketuai Omar Adam

Ibu tunggal, Zaharah Ahmad dari Kedai Kepong, Dewan Undangan Negeri (Dun)  Alor Limbat terpaksa menanggung beberapa orang anak, malah ada antara anaknya yang baru berusia 19 tahun terpaksa berhenti dari alam pembelajaran kerana masalah kewangan.

Rombongan singgah sahur UKOM-APMT  malam tadi kira-kira jam 11.30 malam singgah ke rumah beliau untuk menyampaikan sedikit bantuan keperluan dapur diketuai  Pengarah APMT, Omar Adam.

“Inilah yang mampu saya lakukan bekerja sebagai pembantu kedai bagi menanggung keluarga yang besar ini setelah suami meninggal kira-kira 7 tahun yang lalu,” katanya dalam nada yang agak pilu.

Malah, dua anak perempuannya menamatkan persekolahan untuk membantu menambah pendapatan keluarga dengan turut bekerja, hanya mengharapkan seorang anak lelaki berusia 15 tahun untuk meneruskan pelajaran bagi menjamin masa depan.

“Terima kasih banyak-banyak kepada Menteri Besar, Dato’ Ahmad Razif  ” katanya bila diberitahu pemimpin nombor satu negeri yang mengarahkan supaya kunjungan dibuat ke atas keluarga beliau dan lain-lain melain program singgah sahur APMT-UKOM.

Ibu Tunggal Zaharah antara penduduk miskin yang dikunjungi

Kamal Ghazali awal 40an, dari Batu 9, Bukit Payong juga seorang bapa yang hanya ‘bekerja kampung’ terpaksa menanggung 8 anak termasuk yang masih menyusu.

Beliau yang tinggal di rumah kecil di atas tanah pusaka milik isterinya amat terharu dengan kedatangan rombongan singgah sahur dalam keadaan di rumahnya amat memerlukan barangan dapur itu untuk persediaan berbuka puasa  dan bersahur.

Begitu juga seorang ketua isi rumah, Muda Abdullah, 30 an berdepan dengan perjuangan menanggung keluarga yang agak besar juga dengan pendapatan yang tidak seberapa sebagai seorang buruh ‘pengangkat sampah’ di pekan Bukit Payong.

Ketika rombongan singgah sahur mengunjungi rumahnya di Padang Pak Su Seman Dun Bukit Payong kira-kira jam 12.30 malam tadi, anak-anaknya yang berusia antara 11- hingga 3 tahun masih belum tidur, termasuk isterinya yang begitu gembira dengan kehadiran rombongan UKOM-APMT.

Beliau yang ditimpa sakit baru-baru ini tinggal di rumah yang dibina untuk golongan berpendapatan rendah melahirkan perasaan gembira yang amat sangat, terutama bila mendapat nasihat dari Pengarah APMT agar menjaga anak-anak dengan baik, termasuk memberi pelajaran yang sempurna.

Beliau mendapat bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM200.

“Terima kasih banyaklah kepada orang atas kerana ambil tahu hal kami hok duduk bawah ni,” ujar warga emas, Wan Ngah dari Kepong sewaktu dikunjungi rombongan singgah sahur.

Berusia 80 an, tinggal bersama isteri dan seorang anaknya seorang duda kerana anak-anaknya yang lain seramai lapan orang tinggal jauh darinya.

Pengarah APMT, Omar Adam begitu berpuas-hati dengan perjalananan program singgah sahur anjuran UKOM–APMT itu dan berharap akan diteruskan bagi menjejaki keluarga yang perlu dibantu dan didekati serta dibimbingi, selaras dengan pendekatan Transformasi Terengganu Baru,” Kecil Bagi Kita Besar Bagi Orang”  yang diperkenalkan Menteri Besar Terengganu , Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman.

Sultan Mizan Sampai Bantuan Fakir Miskin

Sultan Mizan berkenan menyampaikan bantuan kepada warga emas pada Majlis Pengurniaan Bantuan Fakir Miskin dan Pelajar Miskin YDSM di TH Hotel, Gong Badak, hari ini.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat ke Majlis Pengurniaan Bantuan Kepada Fakir Miskin dan Pelajar Sekolah di TH Hotel, Gong Badak, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut berangkat, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah.

Kebarangkatan baginda diiringi Menteri Besar Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman bersama isteri To’ Puan Halina Zakaria; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan DiRaja Sultan Mizan (YDSM) yang juga pengerusi majlis itu, Dato’ Mohd Fadzli Yusof.

Seramai 500 penerima terdiri warga emas, pelajar daripada keluarga keluarga miskin, pelajar pendidikan khas dan pelajar madarsah hadir menerima sumbangan sempena Aidilfitri itu.

 

Sebanyak RM200,000 dibelanjakan bagi tujuan itu di mana kategori warga emas menerima RM250 beserta, baju melayu, songkok atau tudung, kain pelekat dan hamper barangan dapur. Manakala pelajar pula menerima sumbangan duit raya RM200 seorang.

Sumbangan tahunan YDSM itu nyata mengembirakan penerima kerana dapat meringankan beban keluarga selain mampu membeli pelbagai barang keperluan hari raya.

Dua Penerbangan Terus Luar Negara Dijangka Rancak Industri Pelancongan Terengganu

 

Industri pelancongan Terengganu yang menyasarkan ketibaan lima juta pelancong tahun ini dijangka dapat disokong oleh dua penerbangan terus dari Singapura dan Medan, Indonesia.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Dato’ Mohd Jidin Shafee berkata, penerbangan terus dari Singapura ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu sudah bermula Mac lepas.

“Penerbangan dari Medan pula dijadual bermula September ini”, katanya selepas penyerahan Bantuan Khas Kejatuhan Harga Getah oleh Risda bagi daerah Setiu, semalam.

Katanya, Terengganu juga yakin sasaran lima juta ketibaan pelancong dapat dicapai memandangkan setakat Jun lepas lebih 2.5 juta pelawat sudah direkod berdasarkan penginapan di hotel.

Bagaimanapun menurut Mohd Jidin, ketibaan pelancong dari China merosot 40 peratus dipercayai berikutan tragedi MH370.

MH17 : Kerajaan Terengganu Rakam Takziah

Kerajaan Terengganu mengucapkan takziah kepada semua keluarga mangsa pesawat Malaysian Airlines MH17 yang dilaporkan terhempas di  Ukraine berhampiran sempadan Rusia malam tadi (waktu Malaysia).

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman berkata, kerajaan negeri juga berasa simpati dengan apa yang berlaku dan meminta semua keluarga mangsa pesawat MH17 tabah dan cekal di atas musibah yang berlaku.

“Saya juga berharap agar pengguna media sosial tidak menyebarkan apa-apa maklumat palsu dan tidak sahih bagi menjaga hati dan perasaan keluarga mangsa.

“Kerajaan negeri yakin Kerajaan Malaysia di bawah pimpinan Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak akan menyiasat kejadian yang berlaku dan memberi penjelasan yang baik kepada seluruh rakyat Malaysia di atas musibah yang berlaku ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Syarikat Korporat, NGO Diharap Bantu Bangunkan Pusat Hemodialisis

Syarikat korporat dan badan bukan kerajaan (NGO) diharap mengambil inisiatif untuk  membangunkan pusat hemodialisis sebagai tambahan kepada pusat rawatan kerajaan sedia ada, berikutan keperluan kepada perkhidmatan itu amat tinggi di kalangan pesakit buah pinggang di negeri ini.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Terengganu  (JKM), Zuhami Omar, juga  menyarankan konsep pusat rawatan itu bukan sekadar mencari keuntungan, sebaliknya pada masa yang sama perlu menekankan kebajikan kepada rakyat.

“Semua sedia maklum pusat itu memerlukan kos yang tinggi untuk dibangunkan dan mungkin mencecah sehingga jutaan ringgit kerana setiap mesin hemodialisis amat mahal.

“Pada pandangan saya, di samping mencari keuntungan sedikit, pengusaha pusat rawatan itu juga perlu memberi sumbangan kepada golongan yang memerlukan dengan mengenakan kadar caj yang lebih rendah,” katanya kepada pemberita selepas Program Ziarah Kebajikan Serikandi di Rumah Sejahtera Taman Bahagia, Wakaf Dua, Bukit Payong, Kuala Terengganu, kelmarin.

Program anjuran Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil-wakil Rakyat Negeri Terengganu (Serikandi) dihadiri Yang Dipertuanya, To’ Puan Halina Zakaria.

Zahimi berkata, caj yang setimpal dan lebih rendah berbanding  pusat rawatan swasta yang sedia ada akan menjadi `saham akhirat’ sebagai usaha meringankan bebanan rakyat yang dalam kesusahan dan memerlukan perhatian mereka yang berkemampuan.

Katanya, pada masa yang sama, jabatannya juga akan terus memantau keperluan golongan yang memerlukan perhatian di negeri ini supaya tidak terlepas dari menerima bantuan bulanan am mahupun bantuan sokongan yang lain.