Terengganu Tawar Diri Anjur Piala Dunia Remaja 2016

Buat julung kalinya, Terengganu menawarkan diri untuk menjadi tuan rumah kepada penganjuran Bola Sepak Piala Dunia Remaja 2016.

Menteri Besar, Dato’Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, penganjuran itu mampu memberi impak positif kepada rakyat dalam pelbagai aspek khususnya pelancongan serta mengukuhkan kedudukan Terengganu sebagai kuasa baharu sukan negara.

Menurutnya, kerajaan negeri sedia menyediakan kemudahan infrastruktur yang memenuhi piawaian ditetapkan.

“Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak dijangka boleh digunakan semula tahun depan. Stadium itu mampu memuatkan sehingga 50,000 orang, jadi tidak mustahil untuk kita menjadi tuan rumah bagi perlawanan itu.

“Selain itu, kita juga bersetuju untuk membina sebuah kompleks sukan di Hulu Terengganu yang menelan belanja RM50juta,” katanya selepas Mesyuarat Mingguan Exco Kerajaan Negeri, Wisma Darul Iman, hari ini.

Kata Ahmad Razif, penganjuran itu sejajar dengan perancangan kerajaan negeri untuk mengisytiharkan dan menjenamakan semula Tahun Melawat Terengganu pada 2016.

“Persiapan akan dibuat selama setahun ke arah itu. Elok benar jika kita laksanakan sebab kawasan bebas cukai di Tasik Kenyir juga akan dibuka, ia akan menjadi tarikan kepada orang luar datang ke Terengganu,” katanya.

Sidang DUN : Terengganu Bida Hak Penganjuran Kejohanan Bola Sepak Dunia

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Dato’ Mohd Jidin Shafee berkata, kerajaan negeri sedang menyediakan kemudahan infrastruktur yang memenuhi piawaian ditetapkan.

“Penganjuran itu mampu menjana ekonomi Terengganu dengan lebih pesat dan memberi impak positif kepada rakyat dalam pelbagai aspek khususnya pelancongan,” katanya menjawab soalan tambahan daripada Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar (BN-Air Putih) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri, semalam.

Mohd Jidin berkata, kerajaan negeri mengadakan pelbagai aktiviti promosi di peringkat antarabangsa untuk menarik kedatangan lebih ramai pelancong ke Terengganu pada 2015.

“Antaranya kita mengikuti aktiviti promosi di Berlin dan Dubai serta bertemu ramai penggiat industri pelancongan seluruh dunia untuk memasarkan produk pelancongan terkenal di Terengganu.

“Malah sebagai persediaan menyambut Tahun Festival Malaysia 2015, pelbagai aktiviti menarik telah dirancang seperti Festival Islam Antarabangsa Sedunia, Festival Gamelan Sedunia, Pesta Mencandat Sotong dan Kejohanan Antarabangsa Motorcross,” katanya.