Payang.my Jadi Medium Usahawan Terengganu Luaskan Pasaran Ke Peringkat Global

Terengganu merintis inisiatif baharu membangunkan portal e-Dagang yang dikenali sebagai Payang.my.untuk kemudahan capaian usahawan tempatan secara percuma bagi meluaskan pasaran jualan produk tempatan ke peringkat lebih global.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, kemudahan yang dibangunkan menerusi anak syarikat Top IT Industries Sdn Bhd itu memberi peluang kepada para peniaga tempatan untuk lebih berdaya saing dan meraih keuntungan lebih tinggi  dengan bantuan Yayasan Pembagunan Usahawan Negeri Terengganu. 

“Projek Payang.my akan menawarkan perkhidmatan jualan dan pemasaran dalam talian secara percuma untuk usahawan-usahawan tempatan seluruh Malaysia, khasnya usahawan Terengganu.

“Ini merupakan penerokaan satu bidang yang baharu sepadan dengan kepesatan pembangunan teknologi maklumat di serata pelusuk negara. Perkembangan pesat ini pasti tiba walaupun kita gemar akan kedatangannya. Elok benarlah jika kita buat persiapan lebih awal,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Payang.my di Pentas Utama, Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, malam ini.

Turut hadir, isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Halina Zakaria; Speaker Dewan Undangan Negeri, Dato’ Mohd Zubir Embong; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Osman Muda dan Pengerusi Jawatankuasa Transformasi Kerajaan, Komunikasi Dan Multimedia Negeri, A.Latiff Awang.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Top IT Industries Sdn Bhd, Syed Ahmad Anas Syed Omar.

Ahmad Razif berkata, ledakan peralatan komunikasi pintar yang semakin mampu milik seperti ‘smart phone’, ‘tablet’ dan juga komputer riba serta pertambahan jumlah aplikasi mobil (WhatsApp, WeChat) dan kandungan media baru seperti Facebook dan Instagram) bukan sahaja mentransformasikan cara perhubungan serta perkongsian maklumat, malahan menjadi satu platform jualan dan pemasaran perniagaan yang cepat, malahan menjimatkan.

Tambahnya, ianya  menjadi suatu gaya hidup digital yang akan terus berkembang dengan cepat mengikut peredaran masa berikutan desakan zaman dan kehidupan yang serba canggih serta moden ini begitu rencam sekali.

Katanya, kewujudan Payang.my amat tepat pada masanya kerana Terengganu tidak mahu menjadi negeri yang tidak ketinggalan dalam aplikasi canggih seperti itu.

“Alhamdulillah negara kita memilki pusat teknologi maklumat canggih di Cyberjaya. Maka sedikit sebanyak nanti kita akan dapat menafaat daripada kemodenannya.

“Saya bagi pihak kerajaan negeri merasa sangat bangga kerana pakar-pakar teknologi maklumat di kalangan anak Terengganu kita berjaya berganding bahu mengumpul idea dan membuat penerokaan baharu di alam teknologi maklumat yang sofistikated ini. Kejayaan ini mungkin akan menghasil suatu penemuan hebat yang mampu memberi kelegaan kepada rakyat untuk menceburi sektor ekonomi secara olahan berdimensi baharu.

“Pertambahan peralatan komunikasi, aplikasi dan kandungan media baharu serta pertambahan pengguna yang mendadak, lebih-lebih lagi jumlah `broadband internet access’ dengan menggunakan teknologi wi-fi di kawasan-kawasan tumpuan pengguna dan menjadi pelengkap kepada kemudahan sedia ada, sudah tentu akan menjana impak sektor ekonomi yang memberangsangkan,”katanya.

Beliau berkata, dalam era dunia teknologi dan komunikasi maklumat, pembelian secara atas talian menjadi pilihan kepada pembeli kerana setiap pembelian adalah terjamin dengan adanya sistem ‘Safetrade’.

Menurutnya, platform seperti Payang.my amat dinanti oleh usahawan-usahawan tempatan kerana dapat memberi manfaat di luar jangka kepada produk jualan dan pasaran ke peringkat global.

Katanya, golongan usahawan dan usahawanita boleh memanfaatkan Payang.my sebagai medium untuk golongan itu meluaskan pasaran produk dan perkhidmatan tempatan ke pasaran tempatan dan luar negara.

Ahmad Razif berkata, ia juga menjadi cabaran kepada mereka untuk menaiktaraf mutu produk mereka supaya dapat bertahan dalam pasaran global dan melihat persaingan dalam perniagaan dari sudut positif supaya membolehkan para pencinta ekonomi berada bersama pesaing di peringkat antarabangsa.

Menurutnya, melalui strategi ini kerajaan dan rakyat akan dapat membantu penjimatan perbelanjaan kerajaan, maka secara tidak langsung sumber kewangan ini boleh disalurkan kepada sektor-sektor lain yang memerlukannya.

Terengganu Perintis Ubah Hasil Sisa Pepejal Ke Tenaga

Terengganu bakal menjadi negeri pertama yang mengubah hasil sisa pepejal kepada tenaga selepas memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) antara kerajaan negeri dengan Syarikat Mercu Resolution Sdn. Bhd. bagi perlaksanaan projek ‘Waste To Wealth’.

MoU di antara Syarikat Mercu Resolution Sdn. Bhd. dengan sebuah anak syarikat DONG Energy yang berpengkalan di Denmark, Renescience A/S turut diadakan bagi memastikan kesinambungan projek tersebut.

Bagi memastikan komitmen kepada kerajaan negeri dalam perlaksanaan projek yang akan dijalankan itu, Renescience A/S turut menandatangani Surat Aku Janji (LoU) pada majlis yang sama.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, MoU dan LoU tersebut diadakan hasil daripada perbincangan Makmal Transformasi Ekonomi Terengganu yang telah diadakan selama enam minggu bermula dari 3 Ogos lalu.

“Melalui makmal yang menghimpunkan sekurang-kurangnya 47 pegawai dari agensi negeri dan persekutuan serta penglibatan seramai 90 orang ahli dari syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat multinasional (MNC) serta agensi-agensi bukan kerajaan (NGO), kerajaan negeri dapat menyimpulkan beberapa perkara bagi menaikkan ekonomi Terengganu.

“Salah satunya adalah MoU yang dilakukan pada hari ini antara kerajaan negeri dan Syarikat Mercu Resolution Sdn. Bhd. bagi perlaksanaan ‘Waste To Wealth’ dalam menjana tenaga dari sisa pejal,” katanya.

Beliau ditemui pemberita di Majlis Menandatangani MoU dan Surat Komitmen Pelaburan di Negeri Terengganu Hasil Makmal Transformasi Ekonomi Negeri Terengganu di Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri, Dato’ Mohd Zubir Embong; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Osman Muda;  Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri, Zainal Abidin Hussin dan Duta Besar Denmark, Nicolai Ruge.

Pada MoU tersebut, Renescience S/A diwakili oleh Pengarah Senior DONG Energy, Federico Castelli dan disaksikan oleh Ir. Mohd Adan Yusof manakala Mercu Resolution Sdn. Bhd. Diwakili oleh Pengerusinya, Dato’ Nadzri Ismail dan disaksikan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat tersebut.

Sementera MoU antara kerajaan negeri dengan Mercu Resolution Sdn. Bhd., kerajaan negeri diwakili oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Osman  dan disaksikan oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Zainal Abidin Hussin.

Pada majlis yang sama, tujuh buah syarikat turut menandatangani Surat Komitmen sebagai tanda kerjasama bagi melaksanakan projek-projek yang telah dinilai, diperinci dan dikaji keupayaannya untuk memberi faedah dari aspek ekonomi kepada kerajaan negeri serta secara terus kepada rakyat.

Tujuh buah syarikat tersebut merangkumi semua sektor utama di Terengganu termasuk sektor perkilangan, minyak dan gas, bioteknologi, industri kecil dan sederhana (IKS), komunikasi, kandungan, infrastruktur dan teknologi baru (CCI-ET) dan pelancongan.

Tambahnya, majlis yang diadakan pada hari ini akan meningkatkan ekonomi rakyat menjelang 2020.

“Tujuh buah syarikat iaitu net Carbon Sdn Bhd, Sabasun Hyperruncit Sdn Bhd, Encompass Medical Supplies Sdn Bhd, Admal Sdn Bhd, Green World Genetic Sdn Bhd, BiorainForest Sdn Bhd dan Arca Corporation Sdn Bhd dijangka akan meningkatkan ekonomi negeri ini.

“Dijangkakan menjelang 2020, Terengganu mampu mencapai sasaran peningkatan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negeri secara putara sebanyak lapan peratus sekaligus meningkatkan pendapatan per kapita rakyat Terengganu kepada RM8,000 sebulan,” katanya.

UMNO Terengganu Perkenal Formula 5S

UMNO Terengganu memperkenalkan `Formula 5S’ supaya parti itu mampu meraih kejayaan cemerlang pada Pilihan Raya Umum Ke-14  akan datang.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman, berkata formula 5S diamalkan oleh setiap ahli parti demi masa depan parti dan negara.

Beliau yang juga Menteri Besar berkata, 5S merangkumi S-Solidariti, iaitu kerjasama menjamin tercapainya misi membangun dan membela nasib rakyat; S-Strategi, tidak fakir fikir mencari kaedah kemenangan dalam perjuangan; S-Sistematik, iaitu
atur serta susun langkah tindakan dengan penuh yakin, diikuti S-Setia iaitu kesetiaan kita kepada parti dan peneraju parti supaya jangan mudah goyah dan rapuh bila dihimpit masalah dan S terakhir, syukur, iaitu merafatkan rasa kesyukuran ke hadrat Allah semoga melimpahkan nikmat berlimpah-ruah.

“Saya berharap semua ahli dan kepimpinan UMNO dapat menerapkan formula 5S ini dalam usaha kita meraihkan kejayaan yang lebih cemerlang dalam pilihan raya akan datang. Kita perlu bekerja dari sekarang dan menjadikan pengalaman sebelum ini sebagai pengajaran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Retreat UMNO Kuala Nerus, di Hotel Grand Continental Kuala Lumpur, hari ini.

Kira-kira 500 pemimpin perringkat cawangan Bahagian Kuala Nerus.

Selendang Merah Lambang Keutuhan Wanita UMNO

Wanita UMNO Dungun menunjukkan sokongan yang utuh terhadap parti apabila berjaya menghimpunkan hampir 1,000 ahli di padang Sekolah Kebangsaan Pulau Serai, Dungun, semalam.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata program yang dianjurkan oleh Wanita UMMO Dungun tersebut menunjukkan semangat mereka untuk parti.

“Untuk bergerak dalam politik, apa yang paling penting adalah semangat dan Wanita UMNO Dungun telah menunjukkannya pada program ini.

“Dengan kehadiran yang ramai ini, mereka menujukkan kesetiaan kepada parti sekaligus menyokong kepimpinan presiden parti, Dato’ Seri Najib Tun Razak,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Program Himpunan Selendang Merah Wanita UMMO Dungun di Sekolah Kebangsaan Pulau Serai, Dungun, semalam.

Turut hadir isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Halina Zakaria, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Tan Sri Annuar Musa, Pegawai Pembangunan Daerah Dungun, Dato’ Din Adam dan Ketua Pergerakan Wanita UMNO Perhubungan Terengganu, Dato’ Fatimah Hamad.

Ahmad Razif yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu berkata program tersebut juga menunjukkan hasil kreativiti Wanita UMNO Dungun dalam menaikkan nama parti.

“Ini adalah hasil daripada kreativiti mereka. Bagi bahagian lain pula, terpulang bagaimana untuk mereka jalankan.

“Saya akan memberi sokongan penuh jika mereka ingin adakan di peringkat negeri pada masa akan datang,” katanya.

Anjur Lebih Kerap Ceramah Kupas Isu Semasa – Ahmad Maslan

Penerangan UMNO setiap bahagian di seluruh Malaysia disarankan agar menganjurkan sekurang-kurangnya dua ceramah setiap bulan bagi mengupas isu-isu semasa.

Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Dato’ Ahmad Maslan berkata jawatankuasa penerangan di setiap bahagian haruslah bergiat lebih aktif dalam mengupas dengan lebih lanjut tentang isu semasa agar rakyat lebih memahami lebih menyeluruh.

“Sebagai contoh, pihak penerangan boleh mengupas lebih lanjut tentang Bajet 2016 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak semalam.

“Rakyat rasa gelisah bila GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan) dilaksanakan, tapi rupa-rupanya GST menjadi penyelamat kepada kewangan negara pada zaman kini. Jadi kupasan secara terperinci sebegitu perlu diterangkan kepada rakyat di peringkat bawah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Pertandingan Pidato UMNO Peringkat Zon Timur di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Seramai 42 peserta menyertai pertandingan pidato bagi Zon Timur yang melibatkan tiga buah negeri iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Ahmad berkata tujuan pertandingan tersebut adalah untuk meramaikan penceramah umno yang berkaliber.

“Pertandingan ini melibatkan tiga kategori iaitu Lelaki (41-60 tahun), Wanita (41-60 tahun) dan Belia yang berumur 21 hingga 40 tahun.

“Pertandingan ini adalah bertujuan untuk mencari pelapis penceramah terutamanya dalam memberi kupasan tentang isu semasa serta memberi penerangan yang lebih dalam kepada rakyat,” katanya.

Tambahnya hadiah pertandingan bai pusingan akhir turut meningkat sekali ganda pada tahun ini bagi memberi lebih galakan kepada peserta.

“Juara akan membawa pulang wang tunai RM20,000, Naib Juara (RM15,000), tempat ketiga (RM10,000) dan saguhati pula sebanyak RM2,000 seorang.

“Peringkat akhir akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 8 Disember ini,” katanya.