Bajet 2016 : RM6.5 Juta Untuk Pembangunan Usahawan

Skim Bantuan Dana Usahawan akan diperkukuhkan dengan menyalurkan dana RM2 juta melalui Tabung Pembiayaan Usahawan (T’FUND), selain RM500 ribu dikhaskan untuk Skim Pinjaman Khas Usahawan Desa.

Bagi memperkasakan pembangunan usahawan pula, sebanyak  RM1.9 juta akan diperuntukan di mana RM900 ribu bagi Program Latihan Kemahiran dan Pembudayaan Keusahawanan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, kira-kira 3,000 peserta dijangka mendapat manfaat melalui apa yang disediakan itu melalui Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu.

Katanya, Program Pembangunan Usahawan Graduan Terengganu (PGUT) akan diteruskan dengan peruntukan RM1 juta dan dijangka 300 peserta atau graduan akan mendapat manfaat.

“Bagi membantu usahawan melebarkan pasaran produk menerusi program pembangunan perniagaan, promosi pasaran, RM2.1 juta diperuntukan.

“Peruntukan sama termasuk membiayai Program Pembangunan Produk yang pastinya menitikberatkan imej dan kualiti produk tempatan menerusi pembungkusan dan penglabelan. Hampir 3,500 dijangka mendapat manfaat,” katanya ketika membentangkan Bajet 2016 dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri hari ini.

Bajet 2016 : 9 Projek EPP Dalam Fasa Pelaksanaan

Pelaburan bernilai RM15.1 bilion bakal diterima bagi membiayai 71 inisiatif yang berjaya dihasilkan sepanjang Makmal Majlis Ekonomi Negeri Terengganu (MEN-T) untuk dilaksanakan dari tahun 2016 hingga 2020.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, ia bakal menyediakan 41,201 peluang pekerjaan kepada rakyat Terengganu.

“71 inisiatif dari 18 Entry Point Projects (EPP) mewakili lima sektor teras iaitu sektor perkilangan, minyak dan gas, bioteknologi, Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME), Komunikasi, Kandungan, Infrastruktur dan Teknologi Baru dan terakhir Pelancongan,” katanya ketika membentangkan Bajet 2016 di Persidangan Dewan Undangan Negeri, hari ini.

Daripada 71 projek, 9 projek telahpun berada di dalam beberapa fasa pelaksanaan yang merupakan projek quick wins. Projek-projek ini adalah :

  1. Projek Pengurusan Sisa Pepejal Perbandaran (Waste to Wealth), di Kuala Terengganu.
  2. Projek Pembuatan Nitrile Butadine Rubber (NBR) Glove di Lot Q, Kemaman.
  3. Projek Bio Lubricant oleh Sime Darby Berhad.
  4. Cadangan pembinaan Kompleks Maintenance, Repair & Overhaul (MRO) dan Hub Kargo Udara di Kuala Terengganu.
  5. Pembangunan Kandungan Terengganu Content Factory dengan nilai projek RM60 juta dan mewujudkan 8,100 pekerjaan.
  6. Pembangunan Pusat Perniagaan dan Logistik dengan nilai projek RM275 juta dengan mewujudkan 1,000 pekerjaan.
  7. Menghasilkan produk makanan haiwan berasaskan jagung dalam bidang bioteknologi dengan nilai projek RM27 juta dan mewujudkan 2,050 pekerjaan.
  8. Menghasilkan perisa makanan berasaskan ubi kayu dalam bidang bioteknologi dengan nilai projek RM17.6 juta dengan 1,740 peluang pekerjaan.
  9. Pembesaran Dermaga Timur, Pelabuhan Kemaman bagi memenuhi permintaan sektor minyak dan gas dengan syarikat daripada China iaitu Jiangsu Huaxicun Company Limited.

Bajet 2016 : Terenganu Sedia RM2.5 Juta Bantu Usahawan Online

Sebanyak RM2.5 juta diperuntukan melalui Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu bagi memberi kemudahan pinjaman kepada usahawan dalam talian atau online.

Menteri Besar Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, peruntukan besar itu sebagai dorongan orang ramai terutama golongan belia memasarkan produk masing-masing ke luar Terengganu dan di pelbagai negara.

“Mereka tidak perlu modal untuk menyewa mana-mana premis kerana boleh  menjalankan perniagaan masing-masing di rumah. Modal yang diperlukan itu untuk membina portal dan menyediakan produk .

“Pinjaman akan dikenakan syarat tertentu dan sekiranya bayaran balik dibuat dalam tempoh ditetapkan, mereka layak memperoleh potongan 25 peratus daripada kadar pinjaman,” katanya dalam pembentangan Bajet 2016 di Persidangan Dewan Undangan Negeri, hari ini.

Amaran Angin Kencang, Laut Bergelora Sehingga Esok

Amaran angin kencang dan laut bergelora di kawasan perairan Condore, Reef North, Layang-Layang dan Palawan dijangka berterusan sehingga esok.

Jabatan Meteorologi Malaysia dalam satu kenyataan hari ini berkata angin kencang timur Laut dengan kelajuan 50 hingga 60 kmsj dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter dijangka berlaku di kawasan itu.

Keadaan ini berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan serta perkhidmatan feri.

Sementara itu, angin kencang berkelajuan 40 hingga 50 kmsj dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter yang berlaku di kawasan perairan Samui, Tioman, Bunguran, Reef South dan Labuan dijangka berterusan sehingga Isnin ini.

Keadaan sama turut dijangka berlaku di perairan Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor Timur, Sabah iaitu di Kudat, Pantai Barat dan Pedalaman, Labuan dan Sarawak dan ia berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut.

Kawasan pantai di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor Timur terdedah kepada kenaikan paras air laut dan dijangka berterusan sehingga hari ini.

Transformasi UMNO Menjelang PRU14

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu menyifatkan  keputusan Majlis tertinggi (MT) supaya ketiga-tiga mesyuarat dirasmikan oleh ketua pergerakan masing-masing, satu langkah bijak ke arah transformasi parti tunjang Melayu itu menjelangnya Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.

Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, pembaharuan itu juga boleh mendatangkan kebaikan kepada UMNO kerana pemimpin setiap sayap parti berpeluang untuk lebih fokus dalam ucapan mereka yang sudah tentu sangat terkesan di hati perwakilan.

Beliau juga menaruh keyakinan bahawa pembaharuan yang diperkenalkan itu mampu menghasilkan impak positif terhadap parti dan bukanlah satu keputusan yang menjadi kesalahan.

“Ini keputusan yang bagus dan memberi peluang kepada setiap sayap (ketalah ia boleh mendatangkan kebaikan kepada UMNO. Melalui pembaharuan ini, pemimpin sayap UMNO juga akan berpeluang untuk lebih fokus dalam ucapan mereka yang sudah tentu sangat terkesan di hati perwakilanua pergerakan) supaya berdikari dan memberi keyakinan kepada mereka menguruskan bahagian masing-masing sesuai dengan keadaan politik sekarang.

“Di semua bahagian dan segenap UMNO sekarang perlu diperkukuhkan. Jadi di setiap sayap, pemuda dengan pemuda, wanita dengan wanitadan puteri dengan puteri serta akan memperlihatkan satu kekuatan yang akan diterjemahkan nanti dalam PRU14,”katanya.

Beliau mengulas demikian ketika ditanya berhubung keputusan Majlis Tertinggi UMNO kelmarin, yang memutuskan bahawa ketiga-tiga mesyuarat itu akan dirasmikan oleh ketua pergerakan masing-masing, berikutan cadangan daripada semua sayap berkenaan

Sebelum itu Menteri Besar menyaksikan Memorandum Persefahaman (MoU) antara Ketengah dan UniSZA, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam.

Terengganu Sedia Timbang Permohonan Lesen Bauksit

Kerajaan negeri bersedia untuk mempertimbangkan permohonan pengusaha bauksit yang mahu  mendapatkan lesen melombong di negeri ini, dengan syarat perusahaan itu tiada kesan mudarat kepada penduduk setempat.

Menteri Besar,  Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, pengusaha terlebih dahulu perlu menjelaskan secara terperinci kepada penduduk mengenai kaedah pengeluaran bauksit supaya kegiatan itu kelak tidak mencemarkan alam sekitar dan menimbulkan masalah kepada mereka.

“Memang ada yang memohon lesen melombong bauksit di tanah persendirian dan milik Sime Darby Sdn Bhd, namun kita belum memberi kata putus berhubung perkara itu.

“Masalah ini timbul berikutan banyak berlaku kecurian bauksit dan pencuri ini mengeluarkan bauksit tanpa mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang sepatutnya. Inilah yang menyebabkan punca kemarahan orang ramai berhubung isu bauksit dan pencemaran yang berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis menandatangani ikrar integriti korporat (CIP) Terengganu Incorporated Sdn Bhd (TISB) dan 16 anak syarikat, bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), di Permai Hotel, Kuala Terengganu, kelmarin.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Osman Muda dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Dato’ Seri Mustafar Ali.

Mengulas lanjut, Ahmad Razif berkata kerajaan negeri terpaksa mengeluarkan belanja yang besar bagi menanggung kos gaji lebihan masa anggota penguatkuasa yang bertugas 24 jam untuk memantau serta mencegah kecurian bauksit pada masa ini.

“Selama mana kita dapat menghalang perkara ini (kecurian) daripada terjadi dan adalah lebih baik kita memberi kebenaran bagi penjualan bauksit ketika harganya masih tinggi.

“Jika ia boleh menjadi sumber pendapatan kepada negeri yang juga dapat dinikmati rakyat. Harga bauksit pada masa ini amat tinggi dan negeri jiran, Pahang mampu menjana pendapatan sebanyak RM2 juta sebulan hasil eksport mineral ini,”katanya.

Oleh itu, beliau berkata kerajaan negeri bercadang mengeluarkan lesen kepada mana-mana pihak berminat dan perlulah mematuhi syarat ketat yang ditetapkan bagi mengelak pencemaran dan isu berbangkit.

Menurut beliau lagi, jika pengusaha bauksit didapati melanggar peraturan ditetapkan, lesen mereka boleh ditarik balik serta-merta kerana kerajaan negeri tidak akan berkompromi jika melibatkan isu keselamatan dan keselesaan penduduk.

Tiada Gerakan Jatuhkan Presiden Parti Di Terengganu – Razif

UMNO Terengganu memberi jaminan bahawa tiada gerakan daripada bahagian dan cawangan untuk menjatuhkan Presiden parti, Dato’ Seri Najib Tun Razak di negeri itu.

Sambil mengulangi pendirian bahawa kepimpinan UMNO Terengganu berdiri teguh di belakang Presiden parti, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman menegaskan, ahli parti tidak boleh bertindak di luar peraturan parti yang telah digariskan sekian lama.

“Kami di Terengganu akan memastikan kejadian yang berlaku di beberapa cawangan dari negeri-negeri lain tidak berlaku di sini.

“Jika wujud unsur-unsur yang membelakangi perlembagaan dan peraturan parti, UMNO Terengganu tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan Majlis Penyerahan Kunci Rumah Dan Surat Tawaran Rumah Pangsa Mampu Milik Pulau Duyong, hari ini

TISB Tandatangani CIP, Inisiatif Cegah Rasuah

Terengganu Incorporated Sdn Bhd (TISB) bersama 16 syarikatnya menandatangani Ikrar Integriti Korporat (CIP) sebagai satu inisiatif organisasi menyokong usaha pencegahan rasuah di negara ini.

Ketua  Pengawai Eksekutif TISB, Wan Zalizan Wan Jusoh mengetuai bacaan ikrar yang disertai oleh ketua anak-anak syarikat TISB dan kira-kira 100 kakitangan lain, di majlis yang berlangsung di Permai Hotel, Kuala Terengganu, hari ini.

Majlis berkenaan disaksikan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM , Dato’ Sri Mustafar Ali.

Majlis menandatangani CIP kali ini, menjadikan TISB sebagai anak syarikat kerajaan negeri yang kelima di Terengganu merealisasikan usaha murni itu.

Sejak 2013, sebanyak empat organisasi di Terengganu telah menandatangani CIP iaitu Pejabat Setiausaha  Kerajaan Terengganu , Majlis Perbandaran Kuala Terengganu, Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) dan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT).

terdapat lima prinsip dalam ikrar Berkaitan CIP yang diperkenalkan oleh SPRM,  iaitu mempromosikan nilai-nilai ketelusan, integriti dan tadbir urus yang baik; memperkukuhkan mekanisme kawalan dalaman dengan memasukkan elemen-elemen yang menyokong pencegahan rasuah; dan pematuhan undang-undang serta peraturan-peraturan yang berkaitan dengan menerangi rasuah.

Selain itu, prinsip CIP tutut mencakupi usaha membanteras sebarang bentuk amalan rasuah; dan menyokong inisiatif pencegahan rasuah yang diusahakan oleh kerajaan Malaysia dan SPRM.

Jabi Jadi Pangkalan Pengeluar Melon Manis Terengganu

Seramai 50 peserta di kalangan penduduk tempatan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi mengusahakan Melon Manis Terengganu menerusi konsep inkubator  untuk pasaran antarabangsa berikutan  banyak permintaan daripada penduduk di beberapa negara terutama Rantau Asia.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jabi, Iskandar Jaafar berkata, pusat pengeluaran tanaman itu terletak di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM), Tok Dor  berupaya menghasilkan buah yang mampu dieksport ke luar negara dan mendapat permintaan yang  tinggi dari Jepun serta Singapura.

“Produk pertanian yang bakal diberi fokus utama dalam industri pertanian negara itu diusahakan menerusi penanaman secara fertigasi di bawah Struktur Perlindungan Hujan (SPH),”katanya.

Sehingga kini, sebanyak 444 unit SPH didirikan dengan kapasiti pokok berjumlah 222,000 dan   jangkaan pengeluaran 666 tan metrik melibatkan nilai RM2 juta setiap pusingan atau RM6 juta setahun.

Graduan Disarankan Jadikan Bidang Keusahawanan Sebagai Kerjaya

Rakyat Terengganu, khususnya belia yang telah tamat pengajian disarankan menyertai bidang keusahawanan sebagai kerjaya mereka.

Pengerusi Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri, Roslee Daud berkata pihak kerajaan menyediakan pelbagai kemudahan kepada belia dalam melatih mereka untuk menjadi usahawan yang berjaya.

“Pelbagai program telah disediakan oleh kerajaan negeri dalam menarik minat belia terutamanya graduan untuk menjadikan mereka sebagai seorang usahawan.

“Selain daripada itu, pihak kerajaan turut menyediakan kemudahan serta pinjaman kepada mereka yang betul-betul berminat dalam membuka perniagaan dan menjadikannya sebagai kerjaya utama,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Dialog Usahawan Terengganu 2015 di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, semalam.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU), Marzuki Endut.

Program dialog tesebut merupakan kali pertama diadakan dengan disertai oleh 1,100 usahawan serta 32 agensi di bawah YPU.

Dalam pada itu, Roslee berkata pihaknya menerusi agensi dibawahnya sentiasa memantau para usahahawan bagi mengelakkan penyalahgunaaan pinjaman perniagaan yang disalurkan bagi tujuan lain.

“Mungkin pada awal penubuhan ada sedikit ketirisan berlaku di kalangan peminjam yang membuat pinjaman atas dasar perniagaan.

“Namun kini, pihak kami telah menambah baik sistem bagi mengelakkan ada di antara mereka menggunakan pinjaman yang diberikan untuk tujuan lain. Contohnya, pihak kami sering turun padang untuk memantau peminjam supaya tidak terjadi perkara tidak diingini,”.

Bermula Januari 2015 sehingga Jun 2015, pihak YPU melalui 32 agensi dibawahnya telah mengeluarkan RM234 juta bagi tujuan pinjaman dan pembiayaan kepada usahawan di Terengganu.