100 Peserta Bersaing Monsoon Cup Terengganu 2015

Kerajaan negeri meneruskan penganjuran Monsoon Cup di muara Sungai Terengganu, Pulau Duyong selepas ditangguh sejak dua tahun lalu.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman berkata pertandingan perahu layar kategori tertutup dan terbuka peringkat negeri itu diadakan semula selepas lama ditangguhkan.

Katanya, walaupun bukan bertaraf antarabangsa, penganjuran itu mampu menarik lebih 100 penyertaan pelayar dari seluruh negara.

“Tujuan penganjuran bukannya untuk bersaing dengan kejohanan perahu layar peringkat antarabangsa yang diadakan di Johor Bahru, sebaliknya mahu merancakkan sektor pelancongan di negeri ini, terutamanya pada musim tengkujuh,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Monsoon Cup Terengganu 2015, di Pulau Duyong, Kuala Terengganu, semalam.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Osman Muda dan Ketua Pegawai Eksekutif Pesona Terengganu, Dato’ Mustafar Khalid

Katanya, langkah sama juga mampu memperkenalkan Terengganu kepada penonton secara lebih meluas melalui liputan media massa dan elektronik.

“Selain mampu menonjol persepsi sebenar suasana musim tengkujuh mengadakan program berprestij,” katanya.

Pelbagai aktiviti dianjurkan semata-mata mahu menarik minat pelancong dan menggalakkan pembabitan usahawan tempatan sepanjang program yang berlangsung selama lima hari yang berakhir 29 Disember ini.

Antaranya penjualan barangan tradisional, persembahan gamelan, demotransi permainan congkak, selambut, pertandingan kayak, perlumbaan simulator rowing, pertandingan fotografi, busking dan pertandingan mewarna.

Perasmian penutup dijangka disempurnakan Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.

Pasaraya Giant Buka Cawangan Di Besut Pertengahan 2016

GCH Retail (M) Sdn Bhd merancang untuk membuka empat lagi cawangan Pasaraya Giant miliknya menjelang pertengahan tahun depan iaitu di Jerteh (Besut, Terengganu); Setapak (Kuala Lumpur); Kangar (Perlis) serta Kota Baharu (Kelantan).

“Pada masa ini GCH mengendalikan sebanyak 147 Pasaraya Giant di seluruh negara dengan empat cawangan baharu bakal dibuka menjelang pertengahan 2016.

“GCH juga mempunyai lebih 10,000 pekerja dan kami sememangnya mahu mengekalkan kedudukan sebagai peneraju serta mencatatkan pertumbuhan kukuh,” kata Pengarah Operasinya, Ernest Potgieter.

GCH Retail memiliki empat jenama runcit iaitu Giant, Cold Storage, Mercato dan Jasons Food Hall.

Chicken Cottage Beroperasi Di Ladang Tok Pelam, Khamis Ini

Kerajaan negeri melalui anak syarikat Terengganu Incorporated Sdn Bhd (TISB) akan membuka restoran makanan segera ‘Chicken Cottage’ pertama di Malaysia di Ladang Tok Pelam, Kuala Terengganu mulai 17 Disember ini (Khamis).

Perasmian pembukaan itu akan dirasmikan Menteri Besar Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman.

TISB melalui anak syarikatnya Kumpulan TI Global Food Holdings Ltd (TIGFH) mengambil alih perniagaan Chicken Cottage Limited (CCL), pemilik jenama yang berpusat di Croydon, London.

Selaku pemegang jenama itu, TIGFH telah  mencatatkan jumlah pendapatan RM6.7 juta dengan kadar keuntungan sebelum cukai berjumlah RM1 juta bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Pemangku Pengarah Urusan TIGFH, Khalizan Mahmud berkata, pendapatan itu diperoleh hasil pelaburan Kumpulan Terengganu Inc di dalam TIGFH sebanyak RM15.62 juta.

Katanya, ini bermakna dalam tempoh sama pulangan pelaburan adalah sebanyak 6.3 peratus dan bermungkinan berjaya memperoleh pulangan sebanyak 12.6 peratus menjelang akhir tahun ini.

“Kadar ini adalah lebih baik jika dibandingkan dengan industri francais makanan yang lain di mana pulangan pelaburan berada di sekitar paras 5 peratus hingga 10 peratus sahaja.

“Selain daripada itu, Kumpulan TIGFH juga sedang dalam proses meluaskan perniagaan bagi menembusi pasaran Asia termasuk India, China dan Asia Tenggara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Sidang Media, di Pejabat Unit Komunikasi Negeri, Kuala Terengganu, hari ini.

Menurutnya, untuk pasaran Malaysia, secara keseluruhannya, TIGFH bercadang untuk membuka sekurang-kurangnya 50 outlet termasuk lapan di Terengganu atau sasaran 1 daerah 1 Chicken Cottage dalam tempoh lima tahun akan datang.

Jabatan Pertanian Catat RM44 Juta Hasil Jualan Produk Makanan

Kerajaan negeri melalui Jabatan Pertanian Negeri Terengganu berjaya merekodkan hampir RM44 juta nilaian bagi enam jenis produk makanan hasil pertanian yang dipasarkan sepanjang lima tahun, berakhir 2013.

Produk yang dikategorikan sebagai paste makanan mencatatkan jualan paling tinggi bagi tahun 2013 dengan nilaian RM4.7 juta diikuti kuih muih tradisional (RM2.7 juta) dan makanan (RM1.9 juta).

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Indsutri Asas Tani, Perusahaan, Perladangan dan Komoditi Negeri, Nawi Mohamad berkata, manakala bagi produk berasaskan herba pula mencatatkan jualan sebanyak RM1 juta, pelbagai jenis sos (RM735,000) dan bagi kategori minuman pula sebanyak RM489,000.

Katanya, nilaian jualan bagi semua produk itu menunjukkan peningkatkan daripada jumlah hampir RM2.6 juta pada 2009 kepada RM11.6 juta (2013).

“Faktor itu menunjukkan ada pemintaan yang tinggi daripada pengguna selain mendapat sokongan kerajaan,”katanya kepada teganukita.

Nawi memberitahu, LKIM mencatatkan anggaran pengeluaran produk berasaskan isi ikan seberat 6,000 metrik tan setahun membabitkan jualan RM50 juta.

“Seramai 100 usahawan berdafatar dengan pihak itu mengusahakan keropok keeping, keropok lekor, isi ikan, satar dan otak-otak,”katanya.

PAU2015 : Perjuangan UMNO Tidak Terhenti Setakat Wawasan 2020

Perjuangan UMNO tidak akan terhenti setakat Wawasan 2020, malah akan diteruskan sehingga negara mencapai kedudukan 10 negara terbaik paling kompetitif dunia menjelang 2030, kata Presiden UMNO, Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Katanya, terkini, dalam Laporan Daya Saing Global 2015-2016 oleh Forum Ekonomi Dunia, kedudukan Malaysia telah melonjak kepada kedudukan 18 daripada 144 ekonomi utama dunia.

“Malah, antara contoh yang boleh dibanggakan, seperti pembinaan Pelantar Gas di Laut Caspian, pengurusan Lapangan Terbang Antarabangsa Kedua di Istanbul, pelaburan Shale Gas yang merupakan Pelaburan Langsung Asing terbesar di Kanada, adalah hasil kendalian anak-anak bangsa kita,” kata Najib.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2015 di Dewan Merdeka, PWTC, hari ini.

Najib, yang juga Perdana Menteri, turut berkata pencapaian IHH Healthcare Bhd sebagai Penyedia Perkhidmatan Kesihatan kedua terbesar dunia; dan penyelenggara dan pengendali fasiliti stesyen Mekah Metro juga kejayaan anak-anak bangsa dan segalanya ini adalah hasil perjuangan UMNO.

“Daripada hanya sebuah perdesaan dan perkampungan, tiada siapa dapat menjangka, kini kita telah tumbuh dan muncul menjadi sebuah Bintang Timur yang bergemerlapan, bukan sahaja di rantau ini, bahkan di seantero dunia,” kata Najib.

UMNO juga, yang menunjangi Barisan Nasional sebagai Kerajaan yang mentadbir sejak puluhan tahun, telah membuktikan kejaguhannya dalam membangunkan Malaysia tercinta ini, tegas Najib.

Justeru, beliau mempersoalkan mana mungkin orang boleh mengatakan Malaysia sebagai ‘failed state’ atau pengemis di bawah kepimpinan beliau.

Menyentuh mengenai kejatuhan nilai mata wang, Najib berkata ia bukanlah kerana kegagalan mengurus ekonomi negara, tetapi disebabkan oleh faktor luaran.

“Antaranya, kejatuhan harga minyak dan komoditi, pengucupan kadar pertumbuhan ekonomi negara China serta kadar faedah di Amerika Syarikat yang dijangka naik.

“Semuanya ini, diakui dunia sebagai faktor luaran sebagai punca bukan sahaja terhadap Malaysia, malah turut terkesan kepada kebanyakan negara ekonomi yang sedang membangun,” katanya.

Malah, negara seperti New Zealand dan Australia pun turut mengalami penyusutan yang teruk.

Sementara itu, pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), yang sekali pun tidak popular, merupakan tindakan tepat, yang melindungi rakyat daripada ditimpa kesusahan yang lebih berat.

“Jika sebelum tahun 2015, 31 peratus daripada pendapatan negara datangnya daripada hasil minyak, namun, akibat penurunan mendadak harga minyak mentah dunia yang dijangka kekal rendah, hasil kerajaan dijangka berkurang sekitar RM30 bilion,” kata Najib.

Jika ini berlaku, badan-badan penarafan terkemuka antarabangsa seperti Standard & Poor’s dan Fitch Ratings, akan menurunkan taraf penarafan kredit negara.

Ini akan menyebabkan kadar faedah pinjaman seperti pinjaman peribadi, pinjaman perumahan dan pinjaman perniagaan melonjak naik.

Implikasinya, menyebabkan ekonomi negara kita akan merudum, pelaburan akan terjejas, peluang pekerjaan pula akan terhakis.

“Dalam konteks ini, tidak dapat dibayangkan, seandainya pihak Kerajaan tidak mempunyai keberanian politik untuk tetap melaksanakan GST, baki akaun semasa fiskal Kerajaan akan mencatat defisit sebanyak RM10.6 bilion,” katanya lagi.

Ia juga akan melonjakkan defisit negara daripada 3.1 peratus kepada 4.8 peratus pada tahun pertama dan mungkin akan jauh lebih tinggi pada tahun-tahun berikutnya.

PAU2015 : Ahmad Razif Agih Nasi Dagang, Kerepok Lekor Di Laman Media

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman meluangkan masa melawat Laman Media sempena Perhimpunan Agung UMNO 2015 di PWTC, Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau dan isteri, To’ Puan Seri Halina Zakaria meluangkan masa kira-kira sejam beramah mesra dengan petugas media.

Dalam lawatan ringkas itu, Menteri Besar sempat menyampaikan ‘ole-ole’ dari Terengganu berupa Nasi Dagang dan Kerepok Lekor kepada warga kerja media yang berkampung di PWTC.

Laman Media yang terletak di Aras 2, PWTC disediakan UMNO kepada petugas media pada setiap kali berlangsungnya Perhimpunan Agung UMNO.

Kali ini, sejumlah 1,450 petugas media dari 60 agensi dalam dan luar negara ditempatkan di laman media itu yang turut dilengkapi kemudahan WiFi selain sajian makanan.

Laman media yang diwujudkan itu merupakan satu kemudahan eksklusif yang disediakan oleh UMNO kepada petugas media.

PAU2015 : UMNO Hulur ‘Tali Silaturahim’ Kepada PAS

Presiden UMNO, Dato’ Seri Najib Tun Razak hari ini menghulurkan “tali silaturahim” kepada PAS untuk sama-sama membina dan membangunkan negara ini mengikut syariat Islam sebenarnya.

Najib, yang juga Perdana Menteri melahirkan rasa gembiranya kerana PAS tidak lagi bersama pakatan pembangkang selepas “disepak dan diterajang keluar” oleh rakan-rakan pembangkangnya.

“Maka saudara dan saudari, kita di dalam UMNO, berasa lega, malah gembira, pabila PAS kini tidak lagi bersama dengan parti pembangkang.

“Dengan hati yang terbuka dan nubari yang merdeka, kita hulurkan tali silaturahim, kita hulurkan ikatan ukhuwah menuju kesempurnaan membina sebuah Malaysia di atas syariatnya,” katanya dalam ucapan dasarnya semasa merasmikan Perhimpunan Agung UMNO 2015 di PWTC hari ini.

Walaupun UMNO mendambakan perpaduan ummah namun Najib menegaskan, apa yang paling utama dan paling mustahak adalah untuk menyokong kesatuan serta solidariti dalam UMNO itu sendiri terlebih dahulu.

Pertelingkahan secara terbuka di antara PAS dengan rakan-rakan Pakatan Rakyat (PR) terutamanya DAP berlaku sejak kebelakangan ini terutamanya di negeri-negeri diperintah pembangkang seperti Selangor dan Pulau Pinang.

Hubungan PAS dengan rakannya dalam PR semakin meruncing berikutan penubuhan Parti Amanah yang diterajui bekas-bekas pemimpin parti itu yang mendapat sokongan kuat DAP.

Baru-baru ini, PAS mengisytiharkan parti itu sebagai parti pembangkang di Pulau Pinang berikutan tindakan kerajaan negeri itu yang dipimpin DAP memecat 300 anggota Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dalam kalangan anggota PAS.

Sementara itu, menyentuh kepada kenyataan individu tertentu yang mahukan negara menjurus kepada sistem dua parti, Najib dengan tegas menyatakan ia tidak akan berlaku dan UMNO tidak akan menerimanya.

“Mana boleh, Mana boleh perkara ini kita terima,” katanya dan menambah, UMNO tidak akan menerima seruan itu bukan atas dasar ia tidak faham pengertian demokrasi tetapi “seruan tidak bijaksana” itu berbahaya.

Najib berkata orang Melayu dan anggota UMNO perlu berjaga-jaga dan berwaspada dengan seruan terhadap dua sistem parti itu dan “jangan sampai kita terjun ke dalam perangkap ini.

Realiti politik di Malaysia hari ini, rakyat mempunyai dua pilihan sahaja iaitu sama ada gabungan yang dipimpin oleh UMNO atau satu lagi yang didominasi oleh DAP, tegas Najib.

“Maksud saya, seandai dan sekiranya UMNO ditolak, negara ini akan diperintah oleh mereka yang antiperjuangan Islam serta menolak perjuangan Melayu dan Bumiputera.

“Bencananya, yang akan menimpa, apakah kita mahu masa depan anak cucu dan agama Islam dipertaruh kepada selain daripada kepimpinan Melayu dan Islam sedia ada? Nauzubillah,” kata beliau.

Menjadikan DAP sebagai sasaran dalam ucapannya itu, Presiden UMNO itu berkata, parti itu tidak pernah setia dengan rakan-rakan gabungannya dan kini cuba “menguasai” parti-parti lain dalam pakatan pembangkang.

Menurut Najib, di Pulau Pinang yang diperintah oleh DAP, ADUN Penanti, Dr Norlela Ariffin telah menangis “teresak-esak dan tersedu-sedan” mengenangkan nasib pengundi terutamanya orang Melayu yang tidak diperendah dan tidak dipeduli oleh Ketua Menteri Lim Guan Eng.

Perkara sedemikian tidak pernah terjadi dalam sejarah BN, katanya.

“Realitinya, siapa yang zalim sebenarnya? Tepuk dada, tanyalah selera,” kata Najib.

Presiden UMNO itu berkata tindak-tanduk DAP itu turut dapat dilihat di Selangor apabila pemimpin-pemimpin parti itu menyatakan hasrat untuk bertanding di lapan kerusi DUN yang dimenangi PAS sebelum ini.

Najib berkata, keangkuhan DAP juga terserlah di Sarawak, di mana parti itu memutuskan hubungan dengan PAS dan PKR hanya kerana ingin bertanding di lebih banyak kerusi pada Pilihan Raya Negeri itu.

“Itulah dia DAP, yang tidak pernah setia dengan rakan gabungannya. Tahun 1990, mereka membentuk gabungan pembangkang. Lalu berpecah pada tahun 1995. Bergabung semula di tahun 1999. Kemudian tahun 2004, berpisah lagi,” kata Najib.

DAP, menurutnya, cuba lagi berpakat pada 2008 dan 2013 dengan PAS serta PKR.

“Kalau nak ikutkan perumpamaan orang berkahwin, sudah tiga kali jatuh talak. Nampaknya, besok-besok, kalau pecah pulak dengan Pakatan Harapan, tak taulah pulak talak berapa nak pakai nanti,” kata Presiden UMNO itu.

Puak-puak DAP itu, kata Najib, tidak pernah bersatu hati dengan pakatan mereka dan meminta rakyat supaya berfikir serta merenungkan keupayaan mereka untuk memerintah negara ini.

“Nak berpakat pun payah, jadi macam mana nak perintah negara,” kata beliau.

PAU2015 : Najib Mahu Pasukan UMNO Yang Taat Setia

Dato’ Seri Najib Tun Razak hari ini menuntut ahli dan pemimpin UMNO supaya setia kepada kepimpinan demi keutuhan, bukannya bertindak berkonfrontasi yang boleh memincangkan parti.

Bagi Presiden UMNO, ‘tuntutan’ itu selaras dengan perlembagaan parti melalui fasal 9.8.2 dan 9.8.3, yang menuntut Timbalan Presiden parti serta Naib-Naib Presiden setia dan membantunya, apatah lagi ketika menghadapi pelbagai tohmahan dan kritikan yang tidak berasas.

Di hadapan 2,654 perwakilan UMNO ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung UMNO 2015, Najib juga menekankan bahawa ahli-ahli UMNO juga perlu memegang teguh prinsip itu serta menyokong dasar-dasar parti.

“Tetapi bagi saya, ‘I am a gentleman’, apa-apa kekusutan pun, marilah berjumpa, duduk berbincang, kita selesaikan melalui saluran yang betul,” kata Najib.

Ucapan dasar itu disampaikan di hadapan pemimpin-pemimpin kanan UMNO termasuk Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Naib Presiden Dato’ Seri Shafie Apdal dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, yang lantang mengkritik kepimpinannya kebelakangan ini.

Para perwakilan turut melaungkan sokongan ‘Hidup Najib!’ sepanjang ucapan itu, manakala tiga pengkritik kepimpinannya itu dilihat tidak memberi sebarang reaksi.

“Semua orang tahu, Najib Razak ini. Saya, seorang yang tidak ‘confrontational’ Saya juga tidak pernah menjatuhkan sesiapa, apatah lagi untuk mengkhianati parti UMNO tercinta ini,” katanya.

Najib turut mengimbas kembali kesetiaannya kepada kepimpinan UMNO sebelum ini terutamanya semasa UMNO mengalami krisis pada 1987 ketika di bawah kepimpinan Dr Mahathir.

“Saya jugalah pada tahun 1987, di persimpangan getir untuk menyebelahi pucuk pimpinan UMNO pada masa itu, telah dengan penuh kasih dan hormatnya, tetap memilih untuk taat dan bersetia, kepada kepimpinan Tun Dr Mahathir, dalam mempertahankan kedudukannya ketika itu, sebagai presiden UMNO, sekaligus mengekalkan dirinya sebagai perdana menteri,” katanya.

Justeru itu, Najib menegaskan bahawa semua anggota UMNO tidak memisahkan prinsip kepemimpinan dan kepengikutan, yang sebenarnya bersifat saling berkait antara satu dengan yang lain.

Kebelakangan ini, Najib lantang dikritik dalam isu-isu yang menyentuh syarikat 1Malaysia Development Berhad (IMDB), dana RM2.6 bilion dalam akaun peribadi beliau dan hal-ehwal UMNO.

Kritikan itu bukan sahaja daripada pembangkang, malah kepimpinan kanan parti itu sendiri, yang dilihat boleh menjejaskan perpaduan dan keutuhan parti itu.

“Bantulah saya, memacu Malaysia menuju puncak hingga ke mercunya. Biar mati berkalang tanah, perjuangan UMNO tidak akan dibiar musnah.

“Sesungguhnya jua, kesetiaan dan ketaatan bukan sekadar menjadi nilai-nilai utama, malah merupakan sifat, sikap, prinsip dan pegangan yang semestinya berdarah daging dan menunjang dalam diri setiap orang UMNO dari sebawah-bawahnya, hingga kepada pimpinan-pimpinan kanan,” katanya.

Pada akhir ucapannya, seluruh perwakilan bangun bagi menyatakan solidariti mereka kepada kepimpinannya. Dr Mahathir, Muhyiddin dan Shafie dilihat turut akur untuk bangun bersama-sama perwakilan.

PAU2015 : Puteri UMNO Besut Daftar Ahli Baharu Paling Ramai

Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Besut menerima Hadiah Penambahan Keahlian Tertinggi apabila berjaya menambah sebanyak 671 anggota bagi tempoh Januari hingga November lepas.

Sementara itu, Puteri Bahagian Baling, Kedah pula memenangi tempat kedua dengan penambahan 429 anggota, manakala Kinabatangan di Sabah ketiga dengan 369.

Penolong Setiausaha, Puteri UMNO Malaysia, Fahariayah Md Nordin berkata, Sabah merupakan negeri yang berjaya menambah anggota baharu sepanjang tahun ini dengan 2,674 orang, diikuti Kedah (2,414) dan Terengganu (2,407).

Perkukuh Program JR Bagi Hadapi PRU 14

Pergerakan Wanita UMNO Negeri Terengganu akan terus meningkatkan keberkesanan Program Jalinan Rakyat(JR) sebagai platform utama sayap itu menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 akan datang.

Ketua Pergerakan Wanita Umno Negeri Terengganu Datuk Fatimah Hamat berkata sehubungan dengan itu pihaknya akan meningkatkan pemantapan jentera JR di seluruh negara selari dengan pengiktirafan wanita sebagai tulang belakang parti UMNO.

“Petugas JR akan di bekalkan pelbagai maklumat serta kemahiran tinggi sesuai termasuk kemahiran media sosial dengan perkembangan semasa untuk berhadapan dengan karenah pembangkang bagi memastikan JR dapat berhadapan dengan pelbagai situasi dengan bijak.

“Ini penting untuk kita bertindak sebagai perantara bagi memperkasakan parti dan kerajaan terutama yang membabitkan hal-hal kebajikan bersesuaian dengan peranan Wanita UMNO sebagai nadi rakyat,” kata Fatimah pada Kursus Kepimpinan Dan Penerangan Wanita di Kuala Berang, kelmarin.

Beliau turut berkata taklimat penerangan JR yang kini sedang rancak dijalankan merupakan Pemantapan Jentera Jalinan Rakyat yang ke 10 di Terengganu yang dilaksanakan melalui Gerakan Penerangan Wanita Umno Malaysia di seluruh Malaysia.

Majlis tersebut di rasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN ) Telemong yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia Sukan dan Sumber Manusia Negeri, Dato’ Rozi Mamat.

Sementara itu,Rozi berkata gerak kerja dan kesiapsiagaan untuk menghadapi PRU nanti telah pun bermula bagi memastikan Barisan Nasional menang selesa di Terengganu.

“Keperluan-keperluan untuk PRU telah pun digerakkan di peringkat cawangan,bahagian dan perhubungan dari awal tahun lagi. “Ini termasuklah bacaan sikap,penempatan markas,kursus-kursus pilihanraya dan yang berkaitan dengan PRU sedang giat di laksanakan.”Ujarnya lagi.