PBT Disaran Lebih Telus Sampaikan Maklumat Perbelanjaan

Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh negara disarankan agar lebih telus dan terbuka dalam menyampaikan segala perbelanjaan mereka kepada rakyat.

Menteri Kesejahteraan Bandar Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dato’ Abdul Rahman Dahlan berkata pada zaman sekarang, rakyat ingin tahu bagaimana cukai-cukai yang dibayar oleh mereka dibelanjakan.

“Di peringkat pusat dan negeri, kita mempunyai sesi parlimen dan sidang Dewan Undangan Negeri untuk membentangkan perbelanjaan.

“Namun, tidak di peringkat kerajaan tempatan yang juga mempunyai kuasa dalam mengutip cukai, kompaun dan sebagainya,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Projek Perintis Bandar Mesra Pejalan Kaki di Jalan Kampung Daik, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Speaker DUN, Dato’ Mohd Zubir Embong; Ketua Setiausaha Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dato’ Mohammad Mantek, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Osman Muda, dan Datuk Bandar Kuala Terengganu, Dato’ Mohamad Kamil Othman.

Mengulas lanjut, Rahman berkata tanpa keterbukaan, rakyat tidak akan tahu segala perbelanjaan yang telah dibuat oleh PBT di kawasan mereka.

Tambahnya, ramai diantara rakyat tidak tahu aliran daripada cukai yang telah dibayar oleh mereka.

“Apabila kita terbuka dan telus kita akan dapat keyakinan rakyat bahawa duit mereka dibelanjakan dengan baik.

“Selain itu, mereka juga akan dapat memahami cabaran serta kekangan yang dihadapi oleh PBT samada pihak PBT mempunyai wang ataupun tidak akibat daripada ramai tidak membayar cukai,” katanya.

PBT Disaran Lebih Telus Sampaikan Maklumat Perbelanjaan

Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh negara disarankan agar lebih telus dan terbuka dalam menyampaikan segala perbelanjaan mereka kepada rakyat.

Menteri Kesejahteraan Bandar Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dato’ Abdul Rahman Dahlan berkata pada zaman sekarang, rakyat ingin tahu bagaimana cukai-cukai yang dibayar oleh mereka dibelanjakan.

“Di peringkat pusat dan negeri, kita mempunyai sesi parlimen dan sidang Dewan Undangan Negeri untuk membentangkan perbelanjaan.

“Namun, tidak di peringkat kerajaan tempatan yang juga mempunyai kuasa dalam mengutip cukai, kompaun dan sebagainya,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Projek Perintis Bandar Mesra Pejalan Kaki di Jalan Kampung Daik, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Speaker DUN, Dato’ Mohd Zubir Embong; Ketua Setiausaha Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dato’ Mohammad Mantek, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Osman Muda, dan Datuk Bandar Kuala Terengganu, Dato’ Mohamad Kamil Othman.

Mengulas lanjut, Rahman berkata tanpa keterbukaan, rakyat tidak akan tahu segala perbelanjaan yang telah dibuat oleh PBT di kawasan mereka.

Tambahnya, ramai diantara rakyat tidak tahu aliran daripada cukai yang telah dibayar oleh mereka.

“Apabila kita terbuka dan telus kita akan dapat keyakinan rakyat bahawa duit mereka dibelanjakan dengan baik.

“Selain itu, mereka juga akan dapat memahami cabaran serta kekangan yang dihadapi oleh PBT samada pihak PBT mempunyai wang ataupun tidak akibat daripada ramai tidak membayar cukai,” katanya.

Empat Keluarga Masih Di Pusat Pemindahan Banjir Masjid Kampung Oh

Seramai 15 orang dari empat keluarga mangsa banjir  di Kampung Oh, Jabi, Setiu, masih ditempatkan di pusat pemindahan banjir Masjid Kampung Oh, selepas rumah mereka dilanda banjir kilat petang semalam.

Mangsa terbabit ialah empat lelaki dewasa, tujuh perempuan dewasa, seorang kanak-kanak lelaki dan tiga kanak-kanak perempuan.

Mereka dipindahkan oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Balai Bomba Jertih, kira-kira jam 5.30 petang semalam.

Berikutan kejadian itu, Bilik Gerakan Banjir Daerah di Pejabat Daerah Besut dibuka sejak pukul 8.30 malam tadi bagi menyelaras gerakan bantuan dan menyelamat mangsa yang terjejas akibat banjir berkenaan.

Pasukan penyelamat terdiri daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Angkatan Tentera kini ditempatkan di kampung itu bagi menghadapi sebarang kemungkinan berikutan cuaca yang tidak menentu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Mohd Iskandar Jaafar berkata, pasukan perubatan dari Klinik Kesihatan Jabi, diketuai Dr. Najmi Nabihah Mohamad, mengambil tindakan segera menjalankan pemeriksaan kesihatan terhadap mangsa banjir terbabit.

Katanya, semua persiapan termasuk pasukan penyelamat, bekalan makanan dan pusat pemindahan sudah lama disediakan oleh Jawatankuasa Bencana Banjir Daerah Besut.

Mangsa Kebakaran Terima Rumah Baharu

Rumah Kamariah Mamat, 52, yang terlibat dalam kebakaran di Kampung Bukit Tok Beng pada November tahun lalu telah siap dibaik pulih.

Katanya, dengan baik pulih rumah asal itu, Kamariah sekeluarga dapat tinggal di tapak asal rumah yang pernah didiami oleh mereka.

“Saya amat bersyukur dengan bantuan baik pulih rumah ini dan difahamkan kos bagi pembinaan balik lebih dari RM65,000,” katanya.

Majlis penyerahan kunci rumah tersebut disampaikan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman.

Turut hadir isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Halina Zakaria dan Pegawai Pembangunan Kuala Nerus, Dato’ Basir Ismail.

Dalam kejadian pada 22 November lalu, rumah mangsa, musnah sama sekali dalam kebakaran yang dipercayai berpunca daripada kilat yang menyambar meter elektrik rumah berkenaan sebelum mengakibatkan litar pintas.

Raja Arif Dilantik Pengerusi Biro Latihan UMNO Terengganu

Bekas Ketua Pengarah Biro Tata Negara (BTN), Dato’ Raja Arif Raja Ali dilantik Pengerusi Biro Latihan UMNO Negeri Terengganu yang baharu berkuatkuasa awal tahun ini.

Perkara itu disahkan beliau yang juga bekas Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Kuala Nerus kepada baru-baru ini.

Beliau yang berasal dari Pengkalan Arang, Kuala Nerus menamatkan perkhidmatannya di BTN hujung tahun lalu.

Biro berkenaan sebelum ini dipengerusikan oleh Ketua UMNO Bahagian Dungun, Dato’ Din Adam.

MB Sampaikan Zakat Kepada 91 Penerima

Seramai 91 penerima dari tiga kampung di DUN Seberang Takir menerima bantuan zakat.

Tiga kampung tersebut ialah Tok Jembal, Taman Murni Permai dan Kampung Pak Lijah.

Penerima-penerima terdiri daripada golongan miskin dan ibu-ibu tunggal.

Bantuan tersebut disampaikan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman di Dewan Serbaguna Kampung Pak Tijah, hari ini.

Turut hadir, isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Halina Zakaria dan Pegawai Daerah Kuala Nerus, Azmi Razik.

Perhutanan Terengganu Mahu Tubuh Persatuan Malim Gunung

Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu berhasrat menubuhkan Persatuan Malim Gunung Terengganu sebagai langkah mengawal keselamatan pendaki dan menjaga kebersihan kawasan hutan lipur serta pergunungan di negeri ini.

Pengarahnya, Dato’ Azmi Nordin berkata, lebih 30 malim gunung disasarkan dapat berkhidmat di lokasi yang bersesuaian dan buat permulaan ia disediakan di kawasan Hutan Lipur Chemerong, Pasir Raja, Dungun, pada awal bulan Mac ini.

“Mereka akan dibayar mengikut pakej yang akan ditetapkan Jabatan Perhutanan, persatuan dan pihak berkaitan seperti agensi pelancongan.

“Kita akan melihat perkara itu dalam tempoh enam bulan, sekiranya menampakkan perkembangan positif terutama berkaitan penerimaan pendaki, perkhidmatan sama akan diperkenalkan ke Gunung Tebu, Besut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, bagi tujuan itu, pihaknya mengalu-alukan orang ramai, terutama penduduk setempat yang mempunyai pengalaman mendaki, sihat fizikal dan mental serta mempunyai minat yang tinggi menjadi malim gunung.

“Setiap permohonan perlu dikemukakan kepada Jabatan Perhutanan berdekatan, sekiranya melepasi syarat ditetapkan, mereka akan dipanggil untuk mengikuti beberapa siri kursus sebagai syarat manjadi malim gunung,” katanya.

Azmi berkata, cadangan memperkenalkan malim gunung sangat wajar kerana bukan saja bertujuan menjaga keselamatan, pengangkutan barang malah peting bagi menjaga kebersihan.

“Berdasarkan laporan, kawasan hutan dan gunung di negeri ini mula dicemari pelbagai jenis sampah sarap, berikutan peningkatan jumlah pendaki.

“Sebelum ini hanya sekitar 200 individu sebulan, kini meningkat sekali ganda mencecah lebih 400 pendaki di Hutan Lipur Chemerong dalam tempoh sama, berkemungkinan faktor diviralkan ramai pihak,” katanya.

‘Beautiful Terengganu’ Ganti ‘Pesona Terengganu’

Kerajaan negeri komited menjadikan Terengganu destinasi tumpuan dunia dengan membuat penjenamaan semula program promosi Tahun Melawat Terengganu 2017.

‘Beautiful Terengganu’ diperkenalkan bagi menggantikan ‘Pesona Terengganu’ yang mempunyai matlamat hampir sama iaitu mempromosikan pembangunan sosio ekonomi negeri menerusi sektor pelancongan.

Terengganu menyasar kedatangan 6.5 juta pelancong menjelang tahun 2020 dengan mengetengahkan pelbagai produk baharu seperti Tasik Kenyir, Setiu Wetland, pulau-pulau peranginan, industri kraf tempatan, sejarah dan warisan serta keenakan makanan tradisional.

Selain itu, sektor pelancongan sukan dan kesihatan akan turut diperkasakan.

“Tahun 2015, Terengganu telah menerima kunjungan hampir 5 juta pelancong, di mana 16 peratus daripadanya adalah warga asing. Kita sasarkan angka ini meningkat kepada 6.5 juta dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Yang kita pentingkan di sini adalah kualiti pelancong, bukan kuantiti. Berapa malam mereka menetap di Terengganu, banyak mana mereka berbelanja. Itu yang perlu kita promosikan supaya mereka menetap lama di negeri kita,” kata Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman.

Ahmad Razif berkata demikian kepada media selepas Majlis Pra Pelancaran Tahun Melawat Terengganu 2017 di Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama, Tengku Seri Temenggong Raja; Yang Dipertua DUN, Dato’ Zubir Embong dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Osman Muda.

RM30 Juta Untuk Pembangunan Dua Pekan Utama Di DUN Jabi

Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi, Setiu, akan berubah wajah apabila dua pekan utama, Jabi dan Renik akan dimajukan sebagai pusat pertumbuhan baharu dalam tempoh dua tahun mulai tahun ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Mohd Iskandar Jaafar berkata, berikutan juga kawasan terbabit akan dipecahkan kepada Jabi Utara bermula dari pekan Jabi hingga ke Kampung Apal manakala kawasan Jabi Selatan dari Renik hingga ke sempadan Permaisuri.

Katanya, pembangunan semula pekan utama kawasan terbabit perlu diberi perhatian segera kerana pertumbuhan penduduk yang pesat dan memerlukan pelbagai kemudahan asas untuk pembangunan sosial dan ekonomi.

Beliau berkata, Majlis Daerah Besut (MDB) diberi tugas dan tanggungjawab untuk merancang pembangunan semula beberapa pekan kecil dan dinaik taraf selaras dengan kemajuan masa kini.

“Kawasan DUN Jabi juga memerlukan kemudahan bank dan perkhidmatan pos bagi memudahkan penduduk berurusan dengan agensi berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan kunci rumah kepada warga emas, Abdul Wahab Ibrahim, 60 dari Kampung Padang Lengkuas, Jabi, dekat Jertih, semalam.

Abdul Wahab seorang penoreh getah menerima rumah yang dibina oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) menerui Projek Ziarah Asnaf syarikat koporat terbabit.

Rumah tiga bilik berharga RM50,000 mengandungi tiga bilik tidur, ruang tamu yang selesa dan disediakan peralatan perabut dan elektrik .

FAMA Terengganu Buka 3 Pasar Tani Baharu, Sasar Jualan RM50 Juta Tahun Ini

Pasar Tani kelolaan FAMA di Terengganu mencatat jualan berjumlah RM47.4 juta tahun lepas, melebihi sasaran sebanyak RM46 juta yang ditetapkan.

Pengarah FAMA Negeri, Hasan Jusoh berkata bagi tahun ini, pihaknya menyasarkan jualan pasar tani mencapai RM50 juta, berdasarkan beberapa buah pasar tani baharu yang bakal diwujudkan tahun ini.

“Antara faktor peningkatan jualan pasar tani berjaya melebihi sasaran di Terengganu tahun lepas adalah promosi jualan turun harga dan kempen makan buah-buahan,” katanya.

Menurut Hasan selain itu, FAMA juga mewujudkan beberapa buah pasar tani baharu tahun lepas iaitu Pasar Tani Tepoh, Pasar Tani KT Walk dan Pasar Tani Bazar Wanita 1Malaysia.

Sehingga kini, FAMA telah mewujudkan 30 buah pasar tani di seluruh Terengganu yang memberi peluang perniagaan kepada 1,369 orang usahawan, khususnya petani dan nelayan.

Bagi tahun 2016, Hasan berkata FAMA bercadang mewujudkan beberapa buah lagi Pasar Tani baharu iaitu di Kampung Darau, Besut; Binjai Rendah, Marang; Ketengah Jaya, Dungun dan Jalan Sultan Omar, Kuala Terengganu.

“Setiap Pasar Tani tersebut akan memberi peluang perniagaan kepada 150 orang,” katanya.

Selain itu, Hasan berkata FAMA juga merancang untuk mewujudkan dua Pasar Tani kekal tahun ini iaitu di Kampung Nyior Tujuh, Besut yang dijangka beroperasi Jun ini dan Pasar Tani Kekal Tepoh yang kini dalam proses pembinaan.

Katanya kedua-dua pasar tani kekal tersebut masing-masing menelan belanja RM2.5 juta dan RM1.5 juta.

Beliau berkata barangan yang dijual di Pasar Tani di Terengganu ialah buah-buahan, sayur-sayuran, ikan laut dan ikan air tawar, daging ayam, daging lembu dan barangan industri asas tani yang dihasilkan penduduk setempat.