11 Pelajar Imtiaz Layak Sertai Program Saintis Islam Terengganu 2016

Program Saintis Islam Terengganu telah memulakan aktiviti sulungnya dengan pemilihan 11 pelajar cemerlang dari Sekolah Menengah Imtiaz (Imtiaz) Yayasan Terengganu seluruh negeri sebagai peserta perintis untuk projek itu pada tahun ini.

Program anjuran Yayasan Terengganu dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) itu bertujuan mencungkil bakat baharu dalam kalangan pelajar Imtiaz yang cemerlang dalam akademik dan mampu menghafaz 30 juzuk al-Quran untuk dibentuk menjadi saintis Islam dalam tempoh 10 tahun lagi.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMT, Prof Dr Mohd Effendy Abd Wahid berkata usaha itu selaras dengan hasrat Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman yang mahu mengembalikan zaman kegemilangan Islam dengan peradaban ilmu dan penguasaan teknologi sains.

“Untuk itu, UMT juga bekerjasama dengan sekumpulan pakar di Universiti Sultan Mizan Zainal Abidin (UniSZA) bagi membangunkan 10 modul untuk program ini.

“Antaranya modul Aprisiasi Ketamadunan Islam dan Kenegaraan, Modul Integrasi Minda Quranik dan Saintifik, Pengembangan Daya Fikir dan Intelektual, Pemantapan Jati Diri Psikospiritual.

“Modul lain ialah Komunikasi dan Dominasi Bahasa, Modul Kecergasan Fizikal dan Pemakanan Rasulullah, Modul Penerokaan Sains dan Matematik, Aplikasi Sains dan Teknologi serta Keusahawanan dan Modul Eksplorasi Kerjaya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menutup program Saintis Islam yang turut dihadiri Pengarah Yayasan Terengganu, Mohammad Sulong, semalam.

Melalui program itu, kerajaan negeri Terengganu akan berusaha melahirkan golongan Saintis Islam yang hafaz 30 juzuk al-Quran bagi mendalami ilmu-ilmu Islam meliputi pelbagai bidang sains.

Bagi merealisasikan hasrat tersebut, kerajaan negeri Terengganu telah bersetuju untuk memberi penajaan biasiswa sepenuhnya kepada pelajar yang terpilih dan berkelayakan bagi melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda, Sarjana, Doktor Falsafah (PhD) dan seterusnya berkhidmat di Terengganu (tertakluk kepada pencapaian peringkat Sarjana Muda).

Sementara itu, Mohammad berkata dua daripada 11 pelajar yang mengikuti program berkenaan akan dipilih untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang kejuruteraan Islam di Kolej Yayasan (UEM) di Lembah Beringin, Perak.

“Pada tahun lalu yayasan telah memberi penajaan kepada seorang pelajar untuk mengikuti program aeroangkasa manakala tahun ini kita akan memilih dua lagi pelajar ke UEM untuk bidang kejuruteraan dan kesemua mereka akan dihantar ke pusat pengajian tinggi dengan bidang yang bersesuaian,” katanya.

‘Heritage Trail’ Produk Pelancongan Baharu

Tiga kawasan di Terengganu akan dijadikan sebagai Heritage Trail dengan peruntukan sebanyak RM200,000 seperti yang telah diumumkan dalam Bajet Negeri 2016.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata dalam ucapannya, seperti yang diumumkan dalam Bajet Negeri 2016, kerajaan negeri telah bersetuju untuk menjadikan tiga kawasan tersebut sebagai kawasan warisan kerana keunikannya.

“Tiga kawasan yang bakal dikenali sebagai Heritage Trail melibatkan Kampung Cina, Losong dan Pasar Chabang Tiga,” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Speaker DUN, Dato’ Mohd Zubir Embong pada Majlis Sambutan Cap Goh Mei di Kampung Cina, Kuala Terengganu, malam tadi.

Turut hadir ke majlis tersebut, Menteri Pengangkutan Malaysia yang juga Presiden MCA, Dato’ Seri Dr. Liow Tiong Lai.

Dalam ucapan tersebut, Ahmad Razif turut mengalukan cadangan atau idea bernas daripada masyarakat setempat untuk diketengahkan dalam pentadbiran kerajaan.

“Sepertimana prinsip pertama dalam Transformasi Terengganu Baharu (TTB), iaitu inklusif (suara rakyat suara keramat), kita mahukan cadangan dari rakyat untuk dibawa ke dalam pentadbiran rakyat,” katanya.

Madrasah Al- Ululmiyyah Addiniyyah, Mini Pusat Islam Tersohor Di Kuala Berang

Bukan sahaja menerapkan ilmu agama kepada pelajarnya, Madrasah Al- Ululmiyyah Addiniyyah Batu Bersurat Kuala Berang (MAABB) di Kampung Buluh akan berfungsi sebagai Mini Pusat Islam tersohor di daerah ini.

Selain berfungsi sebagai madrasah,MAABB juga menempatkan Galeri Syeikh Daud Al Fatani yang mempamerkan lebih daripada 20 daripada 100 manuskrip beliau.

ADUN Kuala Berang, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang berkata,madrasah itu di bina di Kampung Buluh kerana di sinilah bermulanya islam di Terengganu dengan penemuan Batu Bersurat di kawasan tersebut.

“Kita telah ubahsuai sebuah masjid lama yang berusia lebih dari 100 tahun untuk di jadikan sebuah madrasah atau pusat ilmu untuk masyarakat di Kuala Berang yang ingin mendalami ilmu agama.

“Hampir RM400 ribu telah di belanjakan untuk proses pengubahsuaian dan melengkapkan Madrasah ini daripada peruntukan Adun dan setakat ini saya cukup berpuas hati dengan perkembangannya.”kata Tengku Putera ketika ditemui teganukita baru-baru ini.

Menurut Tengku Putera lagi,sebuah Akademi Huffaz Cilik untuk melahirkan pelajar tahfiz muda turut di wujudkan di madrasah tersebut bagi mereka yang berusia tujuh hingga dua belas tahun.

“Kita harap mereka ini berjaya menghafal sekurang-kurangnya tiga juzuk Al Quran dan selepas itu akan membantu mereka menyambung di pusat islam yang lain”katanya.

Selain itu,MAABB juga mengadakan kuliah agama dan kelas membaca Al Quran dewasa sebagai program mingguan bagi memastikan ilmu agama terus subur di kalangan masyarakat terutama di Kuala Berang.

Beautiful Terengganu Ke Johor, Sasar 100,000 Pengunjung

‘Beautiful Terengganu’ 2016 yang dijenamakan semula dari Pesona Terengganu 2015 bakal berlangsung selama lima hari bermula 23 hingga 27 Mac ini di perkarangan pusat beli-belah Angsana Johor Bahru, Johor.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata penganjuran Beautiful Terengganu pada kali ini diberi sedikit kelainanan jika dibandingkan pada tahun lepas.

Beliau berkata, berikutan daripada keadaan kewangan semasa yang tidak memberangsangkan, bajet bagi penganjuran Beautiful Terengganu 2016 di Angsana Johor Bahru dikurangkan.

“Pada program kali ini, usahawan-usahawan yang menyertainya diminta untuk mengeluarkan sedikit bajet sendiri.

“Selain itu, kita akan gunakan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi membantu kerajaan negeri dalam menjayakan program ini,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Pra Pelancaran Beautiful Terengganu di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir Speaker DUN, Dato’ Mohd Zubir Embong; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Osman Muda dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Dan Kebudayaan, Dato’ Mohd Jidin Shafee.

Dalam pada itu, Ahmad Razif berkata penganjuran program tersebut mensasarkan lebih daripada 100,000 pengunjung hadir ke situ sepanjang lima hari ianya berlangsung.

“Saya dimaklumkan oleh pihak Angsana bahawa purata pengunjung yang hadir ke situ hampir mencecah satu juta orang seminggu terutama ketika musim cuti.

“Semasa program ini berjalan, terdapat dua cuti umum untuk negeri Johor dan Singapura. Jadi tiada alasan untuk kita cipta rekod lebih baik daripada perlaksanaan Pesona Terengganu di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada tahun lepas,” katanya.

Tambahnya, pada tahun ini, hanya usahawan terbaik yang akan dibawa ke program Beautiful Terengganu dimana mereka telahpun dibuat pemilihan.

Katanya, pertandingan di peringkat daerah telahpun dilakukan bagi mencari usahawan terbaik untuk dibawa menyertai program tersebut.

Disamping itu, Ahmad Razif berkata usahawan yang akan dibawa ke Beautiful Terengganu turut akan dipantau dalam menetapkan harga barangan mereka.

Kejatuhan Mata Wang : Kadar Pinjaman Pelajar Terengganu Di Jordan Dinaikkan

Seramai 59 pelajar Terengganu yang sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang Pengajian Islam di Jordan menerima kenaikan kadar pinjaman oleh kerajaan negeri melalui Yayasan Terengganu (YT).

Pengarah YT, Mohammad Sulong berkata, penyerahan tawaran kenaikan kadar pinjaman tersebut adalah hasil dari lawatan kerja Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman ke Timur Tengah, Januari lalu.

Katanya, dalam lawatan itu, Menteri Besar telah bersetuju untuk menaikkan kadar pinjaman ekoran dari kejatuhan mata wang Ringgit Malaysia.

“Jika sebelum ini, mereka menerima pinjaman sebanyak RM16,000 setahun namun hasil dari lawatan tersebut, pelajar Pengajian Islam di Jordan akan mula menerima RM20,000 setahun.

“Kenaikan kadar baru ini tidak melibatkan pelajar bagi program lain kerana kadar sedia ada telah menyamai atau melebihi dari penaja-penaja utama yang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Tawaran Kenaikan Kadar Pinjaman Pelajar Pengajian Islam di Jordan di Bangunan Yayasan Terengganu, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Penyerahan tersebut disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Tugas-tugas Khas, Ghazali Taib kepada ibu bapa pelajar.

Dalam pada itu, kerajaan negeri turut bersetuju untuk menyediakan peruntukan khas bagi mempertimbangkan pemberian pinjaman ‘one-off’ kepada anak Terengganu yang melanjutkan pelajaran ke luar negara tetapi tidak mendapat sebarang penajaan.

Mohamad berkata, pemberian itu adalah berbentuk pinjaman dengan kadar yang tertakluk kepada keputusan mesyuarat YT.

“Ia terbuka bagi semua anak Terengganu mengikut syarat-syarat ditetapkan oleh YT,” ujarnya.

Klinik 1 Malaysia Ke-16 Di Paya Bunga Square

Terengganu bakal mempunyai sebuah lagi Klinik 1 Malaysia (K1M) bagi menampung keperluan pesakit di negeri ini tidak lama lagi.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata K1M ke-16 di Terengganu itu dilengkapi kemudahan rawatan pergigian dan bakal beroperasi di Pusat Transformasi Bandar (UTC), Paya Bunga Square.

“Kita jangkakan Klinik 1 Malaysia yang bakal dibuka itu mengambil masa kira-kira enam bulan.

“Setakat ini, kita telah mempunyai 15 Klinik 1 Malaysia yang beroperasi termasuk di Kampung Batin,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Klinik 1 Malaysia di Kampung Batin, semalam.

Menurut beliau, K1M yang mula beroperasi sepenuhnya September lalu itu, menelan kos RM287,323 dan seorang doktor turut ditempatkan di klinik berkenaan.

Katanya, dalam sehari, hampir 50 pesakit mendapatkan rawatan di klinik tersebut sejak, ia dibuka lima bulan lalu.

Beliau berkata, terdapat pertambahan hampir sekali ganda dalam jumlah pesakit yang mendapatkan rawatan di K1M dan berharap dengan adanya lebih banyak klinik berkenaan, ia mampu memberi khidmat kepada lebih ramai pesakit pada satu-satu masa.

Klinik berkenaan memulakan operasi pada 10 pagi hingga 10 malam.

Terengganu Jadi Perintis Kokurikulum Kelas Al-Quran Orang Buta

Persatuan Orang Cacat Penglihatan Islam (Pertis) Wilayah Terengganu menjadi perintis dalam memperkasakan kokurikulum  al-Quran Braille di kelas mengaji yang dibuka sejak 2007.

Apa yang dilaksanakan melalui penekanan modul, kaedah dan fasa tertentu itu sebagai usaha melahirkan golongan cacat penglihatan celik al-Quran.

Konsep yang diguna pakai itu mula diikuti persatuan orang cacat penglihatan di negeri lain antaranya, Pahang, Kuala Lumpur, Kedah dan yang terbaru Kelantan.

Pengerusi Pertis, Mohd Fauzi Mansor, berkata banyak pihak mengakui berminat kerana apa yang diterapkan kelas milik persatuan kami mudah difahami dan diikuti pelajar dalam tempoh singkat.

Katanya, lima tahun pertama memperkenalkan al-Quran Braille,  lima tahun seterusnya mengenali hukum dan tajwid serta seterusnya mempelajari kaedah hafazan dan taranum.

“Pihak kami bukan sahaja memberi penekanan tentang bacaan al-Quran braille malah menyampaikan ilmu agama melalui kuliah yang dikelola tenaga pengajar berpengalaman.

“Pada masa sama, mewajibkan setiap pelajar mengikuti kelas Bahasa Arab, mendedahkan pelbagai aktiviti bersama masyarakat luar, termasuk silat, pertandingan futsal, memancing dalam usaha memasyarakatkan OKU,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Pengenalan Penggunaan al-Quran Braille di Kelas Mengaji al-Quran Braille Seberang Takir, hari ini.

Bermula hanya lima pelajar dan seorang guru al-Quran  pada awal pembukaan kelas, kini mempunyai 50 pelajar cacat penglihatan dengan dibantu tujuh guru dalam tempoh sembilan tahun.

Buat Laksa Terengganu Secara Tradisional Masih Subur Di Kampung Langgar

Menjadi  kelaziman bagi penduduk Kampung Langgar, Kuala Berang sejak 100  tahun lalu, bergotong-royong menghasilkan laksa Terengganu secara tradisional.

Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Dan Kemajuan Kampung (JKKK) Raja Ahmad Soufi Sulaiman berkata, bermula daripada meredam beras sehingga menjadi menu, dilakukan beramai-ramai di tepi Sungai Kodok, Kampung Langgar.

Katanya, tradisi yang diamalkan nenek moyang itu masih kekal di kampung itu dan berharap turut diwarisi golongan muda supaya apa yang dilakukan di kampung kami berterusan.

“Ramai yang mengakui, terutama anak muda tidak pernah melihat kaedah membuat laksa Terengganu secara tradisional, mengunakan peralatan lama seperti kebok tembaga, palang buaya, kuali dan lesung kayu.

“Kebok dan lesung kayu masih elok walaupun sudah berusia lebih 100 tahun, kini disimpan pewaris dan akan diguna pakai setiap kali dijemput untuk membuat demontrasi membuat laksa,”katanya.

Beliau demikian kepada teganukita pada Program Membuat Laksa Terengganu di kampung itu, petang semalam.

Seorang penduduk, Siti Ramlah Yunus, 74, berkata dia mewarisi menu membuat laksa Terengganu dari arwah emak dan ayah, kini diturunkan kepada anak kerana mahu tradisi itu dikekalkan.

Katanya,  pada awal 1950, laksa dibuat daripada beras yang baru dituai, direndam kemudiannya dibawa ke tepi sungai untuk menghasilkan laksa, sebaik selesai proses merebus, laksa akan dibasuh menggunakan air sungai.

“Kuah laksa pula akan dimasak berasaskan tiga resipi iaitu kuah masak, kuah putih dan kuah manis.

“Laksa bersama kuah kemudiannya akan di hantar ke masjid atau diagihkan kepada  penduduk berdekatan,” katanya.

Pembuat laksa, Nordin Mohd, 60, berkata rasa laksa tradisional atau laksa kebok sangat sedap, berbeza dengan laksa  cara moden yang menggunakan mesin.

Katanya, dia bersama 60 penduduk mengambil masa dua hari untuk menghasilkan laksa tradisional, bermula semalam dengan merendam 60 kilogram beras.

“Pada pagi ini (semalam) turun beramai-ramai seawal 7 pagi, untuk memulakan tugasan merebus beras yang direndam dalam  daun pisang, diikuti menumbuk, melenyek, membuat kepingan untuk dimasukkan ke dalam acuan kebok.

“Selepas itu, memusingkan kebok untuk menghasilkan laksa, kemudian proses merebus, membasuh dan akhir sekali menjamu selera,” katanya.

‘Hulu Terengganu Hulubalang’

Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Hulu Terengganu dengan bertemakan tagline ‘Hulu Terengganu Hulubalang’ meneruskan perjuangan dalam mengekalkan kecemerlangan pendidikan di daerah ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Tugas-Tugas Khas Negeri, Ghazali Taib berkata, tagline ini akan menjadi sumber inspirasi PPD bagi mencapai impian dan target pada 2016 dalam sektor pendidikan yang memberi hala tuju serta semangat kepada semua untuk merealisasikan harapan bersama.

Justeru katanya, memandangkan Hulu Terengganu berjaya merangkul pelbagai kejayaan setiap tahun, jadi pihaknya berharap kecemerlangan itu dapat dipertahankan tahun ini sekali gus melonjakkan lagi pencapaian daerah ini ke tahap lebih tinggi.

“Pelbagai kejayaan yang diperolehi telah menyuntik semangat kita yang kemudiannya memilih tagline ‘Jjadi Sunggoh Hulu Terengganu 2013’ , ‘Jjadi Pulok Hulu Terengganu 2014’ dan ‘Kekal Hebat 4T Hulu Terengganu 2015’.

“Ia terbukti berhasil apabila Daerah Hulu Terengganu berjaya mengekalkan lima tahun berturut-turut kejayaan dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan pelbagai kejayaan lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Tagline Hulu Terengganu 2016 di SMK Tengku Ampuan Intan, Hulu Terengganu.

Sementara itu, Pegawai Pendidikan Daerah Hulu Terengganu, Jalaluddin Ismail berkata, pemilihan hulubalang sebagai tagline bersesuaian dengan sifat berani berjuang, semangat jati diri dan tidak mudah mengaku kalah yang mampu menyuntik semangat dalam diri pelajar, para pendidik dan ibu bapa.

“Saya amat berharap dengan tagline ini, Daerah Hulu Terengganu mampu mencapai momentum kecemerlangan pendidikan yang lebih tinggi,” ujarnya lagi

TMT 2017 : Pantai Batu Buruk Zon Premis Makanan Gred A

Premis makanan di Pantai Batu Burok, Kuala Terengganu akan ditransformasikan sebagai Zon Premis Makanan Gred A oleh kerajaan negeri menjelang Tahun Melawat Terengganu 2017.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata melihat pada kejayaan yang telah dilakukan oleh Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) dalam menjadian Taman Chukai Utama sebagai Zon Premis Makanan Gred A, beliau mahu premis di Batu Burok mengikuti langkah yang telah diambil.

“”Kita nak gerai di Batu Burok mengikut langkah yang dibuat MPK bersama Pejabat Kesihatan Kemaman yang membimbing peniaga sehingga mereka mendapat pengiktirafan kebersihan gred A.

“Saya dah arahkan Unit Perancangan Ekonomi Negeri Terengganu (UPEN) untuk melaksanakan program ini di Batu Burok dan kita nak tahap kebersihan gerai- gerai ditingkatkan selaras dengan prinsip Transformasi Terengganu Baharu (TTB),” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Konvensyen Mahasiswa Permata di UiTM Dungun, Dungun, semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar, Uasahawan, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri, Roslee Daud dan Pengarah Yayasan Terengganu, Mohamad Sulong.

Ahmad Razif berkata, pelaksanaan Zon Premis Makanan Gred A tersebut selari dengan hasrat kerajaan negeri yang mahu menjadikan Terengganu negeri terbersih.

“Kita memang bersunguh-sungguh dalam soal kebersihan yang mana kos pembersihan di negeri ini kita telah tingkatkan daripada RM36 Juta tahun lalu kepada RM72 Juta tahun ini.

“Bagi memastikan negeri ini menjadi hub pelancongan, kita kena pastikan kebersihan menjadi perkara utama dan kita juga sedang memantau harga makanan dan barang di negeri ini supaya tidak ada orang luar merungut lagi harga makanan di sini mahal,” katanya.