Pendapatan Bahagian Penjagaan Kesihatan TDM Meningkat 27 Peratus Tahun Lalu

Bahagian Penjagaan Kesihatan Terengganu Development Management (TDM) Berhad merekodkan peningkatan pendapatan sebanyak 27 peratus kepada RM165.2 juta pada tahun lalu, berbanding RM130.3 juta pada tahun sebelumnya.

Pengerusi TDM Berhad, Leftenan Jeneral (B) Tan Sri Dato’ Wan Abu Bakar Wan Omar, berkata dalam tempoh itu, bilangan pesakit mencatatkan peningkatan memberangsangkan, iaitu 22.7 peratus, sementara pesakit luar bertambah 23.9 peratus.

“Pendapatan meningkat disebabkan kemudahan disediakan oleh hospital yang baru dibina di Pusat Perubatan Kuantan (KMC).

“Sejak hospital itu memulakan operasi pada November 2014, bilangan pesakit dalam dan luar masing-masing meningkat 54 peratus dan 52.1 peratus. Hospital ini telah beroperasi sepenuhnya mengikut kadar yang ditetapkan,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-51, di Permai Hotel, Kuala Terengganu, hari ini.

Dalam perkembangan yang sama, Wan Abu Bakar berkata, bangunan baru lapan tingkat Hospital Pakar Kuala Terengganu (KTS) di Batu Burok, dijangka bakal memulakan operasi sepenuhnya pada Januari 2017.

Katanya, TDM berharap bangunan yang dilengkapi 130 katil serta peralatan moden mampu menyediakan kemudahan serta perkhidmatan yang baik dan selesa kepada masyarakat.

“Kami berharap kemudahan kesihatan ini dapat beroperasi dengan lancar dan mendapat kelulusan sepenuhnya daripada Kementerian Kesihatan bagi menyediakan perkhidmatan yang terbaik dan berpatutan kepada mereka yang memerlukan,”katanya.

Sebelum itu, menurut beliau, syarikat pegangan pelaburan milik kerajaan negeri yang turut terlibat secara aktif dalam industri perladangan itu mencatatkan hasil pendapatan sebanyak RM380.8 juta,  bagi tahun kewangan berakhir  31 Disember 2015, satu peratus lebih rendah berbanding jumlah tahun sebelumnya sebanyak 386.1 juta.

Katanya, hasil yang lebih tinggi telah membawa Kumpulan untuk meningkatkan keuntungan sebelum cukai (PBT) kepada RM69.4 juta untuk tahun kewangan berakhir 2015, lima peratus lebih tinggi daripada RM65.9 juta yang dicatatkan pada tempoh sama tahun 2014.

Tambah beliau, Bahagian Perladangan Kumpulan TDM menurun sedikit kepada RM215.6 juta daripada tahun sebelumnya, atau RM255.8 juta yang dicapai pada 2014.

Katanya, walaupun pendapatan lebih rendah, Bahagian Perladangan mencatatkan PBT lebih tinggi sebanyak tujuh peratus berbanding tahun sebelumnya, yang terhasil terutamanya daripada keuntungan tidak direalisasikan yang lebih tinggo ke atas pelaburan tukaran asing dalam pendapatan tetap (RM14.2 juta) dan penurunan kadar operasi Indonesia (RM13.6 juta).

Selain itu, menurutnya lagi, seiring dengan prestasi kewangan bagi tahun kewangan berakhir 2015, Kumpulan juga akan membayar dividen akhir sebanyak 1.2 sen sesaham kepada pemegang saham dengan pembayaran dividen yang dicadangkan berjumlah RM17.8 juta iaitu 46 peratus.

TDM Rekod Pendapatan RM380.8 Juta Pada 2015

Terengganu Development Management (TDM) Berhad, syarikat pegangan pelaburan milik kerajaan negeri yang terlibat secara aktif dalam industri perladangan dan penjagaan kesihatan mencatatkan hasil pendapatan sebanyak RM380.8 juta bagi tahun kewangan berakhir  31 Disember 2015.

Pengerusinya, Leftenan Jeneral (B) Tan Sri Dato’ Wan Abu Bakar Wan Omar, berkata Bahagian Perladangan Kumpulan TDM menurun sedikit. Walaupun pendapatan lebih rendah, Bahagian Perladangan mencatatkan PBT lebih tinggi sebanyak 7 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Manakala Bahagian Penjagaan Kesihatan pula mencatatan pendapatan lebih tinggi berjumlah RM165.2 juta, peningkatan sebanyak 27 peratus berbanding RM130.3 juta pada tahun sebelumnya.

“Seiring denga prestasi kewangan bagi tahun keangan berakhir 2015, Kumpulan akan membayar dividen kepada pemegang saham dengan pembayaran dividen yang dicadangkanb berjumlah RM17.8 juta,”katanya dalam satu kenyataan kepada media, hari ini.

Sementara itu, TDM dijadualkan bakal mengadakan mesyuarat agung kali ke-51 dan juga mesyuarat agung luar biasa pada 31 Mei (Selasa) ini, di Permai Hotel, Kuala Terengganu.

Program Mobile CTC Memudahkan Rakyat Berurusan Dengan Jabatan Kerajaan

Inisiatif Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) memberi peluang kepada penduduk di Marang  berurusan dengan perkhidmatan kerajaan menerusi Program Mobile CTC (Pusat Transformasi Komuniti Bergerak) di Pantai Peranginan Kelulut, Marang, kelmarin.

Program kedua di Terengganu, selepas pertama kali dilaksanakan di Besut pada Mac lalu, dianjurkan Kementerian Kewangan dengan kerjasama Pejabat Daerah Marang.

Pengerusi Jawatankuasa Transformasi Kerajaan, Komunikasi dan Multimedia Negeri, A Latiff Awang, berkata program itu memberi kemudahan kepada penduduk luar bandar dan komuniti pedalaman untuk mengakses perkhidmatan yang disediakan jabatan tertentu di bawah satu bumbung, tanpa perlu ke agensi berkenaan.

“Pada masa yang sama, ia mampu memberi penerangan serta kesedaran kepada rakyat mengenai sebarang program dan juga aktiviti kerajaan menerusi kementerian mahupun agensi kerajaan.

“CTC ini juga menyediakan platform bagi membolehkan bantuan kerajaan disalurkan terus kepada kumpulan sasar,” katanya.

A Latiff berkata, kajian menunjukkan terdapat 23 jenis perkhidmatan bergerak oleh agensi kerajaan tetapi akan hanya dilaksanakan mengikut jadual berbeza.

Tambahnya, perkhidmatan disediakan secara serentak mengikut keperluan masyarakat tempatan.

Isu Pertukaran MB Sudah Tamat – MB

Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman akan menegaskan bahawa isu berkaitan pertukaran Menteri Besar di Terengganu sudah tamat.

Beliau berkata, ianya jelas apabila Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak sendiri selaku Presiden UMNO bercakap demikian ketika majlis tertutup di Duyung Marina pada Ahad lepas.

“Ianya jelas, Perdana Menteri sebagai Presiden UMNO telah memberi pengiktirafan dan telah menyatakan bahawa Terengganu isunya sudah tiada.

“Jadi tidak perlulah kita timbulkan lagi isu ini. Bagi saya, sekarang ini moving forward, kita sedang bergerak kerja bagi menghadapi PRU 14 tidak lama lagi,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Perasmian Karnival Myskill Fest & Dapur Terengganu di Quinara Al-Safir Resort, Kuala Nerus, semalam.

Turut hadir Pengarah Jabatan Pembangunan Kemahiran Wilayah Timur, Wan Fadzilah Wan Dagang dan Pengerusi Gabungan Pusat Bertauliah Kemahiran Terengganu (GAKEMT), Mat Zani Putih.

Dalam pada itu, Razif berkata program yang dianjurkan oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran(JPK) Kementerian Sumber Manusia dan GAKEMNT tersebut merupakan satu usaha yang baik.

“Ianya secara tidak langsung dapat mengukuhkan tentang peranan Myskill kerana dengan kepesatan dan kemajuan teknologi hari ini kemahiran dapat dipelbagaikan.

“Ada yang ke bahagian akademik, ada yang dapat keperluan dari segi agama, dan ada yang ke bidang kemahiran. Ini adalah gabungan begitu baik yang akan menghasilkan modal insan yang terbaik,” katanya.

29 Pasangan Pengantin Dirai Serentak Di Marang

Seramai 29 pasangan pengantin Transformasi Terengganu Baru (TTB) diraikan secara serentak dalam majlis penuh meriah di Dewan Majlis Daerah Marang, Kampung Paya, Marang, semalam.

Mereka merupakan antara  217 pasangan pengantin TTB  yang terpilih sempena program Perkahwinan Perdana 2016 di seluruh negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Transformasi Kerajaan, Komunikasi Dan Multimedia Negeri, A latiff Awang merasmikan majlis yang turut dihadiri kira-kira 6,00 tetamu dari kalangan keluarga pengantin.

Di majlis itu, A Latiff yang juga Ketua UMNO Bahagian Marang mengucapkan tahniah kepada pasangan muda yang terpilih menyertai program murni hasil inisiatif kerajaan negeri yang sentiasa mencari kaedah membantu rakyat berpendapatan rendah itu.

“Alhamdulillah, seramai 29 pasangan diraikan pada hari ini melalui pendekatan yang sangat baik, dengan antara lain objektifnya menggalakkan perkahwinan pada usia muda, menjadikan pasangan lelaki lebih matang serta bertanggungjawab apabila sudah bergelar ketua keluarga.

“Pada masa yang sama, menerusi ikatan perakhwinan yang sah, pastinya dapat menambah bilangan rakyat negeri ini serta membantu meringankan beban keluarga yang kurang berkemampuan mengadakan majlis kenduri di rumah masing-masing,”katanya.

Sementara itu, kerajaan negeri membelanjakan RM800,000 bagi menjayakan  program berkenaan  termasuk pakaian, jamuan akad nikah dan resepsi pengantin TTB.

Selain itu juga, setiap pasangan pengantin turut mendapat Sijil Simpanan Premium (SSP) sebanyak RM1,000,  kemudahan pinjaman modal berniaga dan keutamaan mendapat rumah mampu milik dalam tempoh lima tahun perkahwinan.

PM Lulus RM78 Juta Bangunkan Semula Pasar Payang

Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak hari ini meluluskan peruntukan berjumlah RM78 juta bagi kos pembangunan semula Kompleks Pasar Besar Kedai Payang.

Projek itu merangkumi pembinaan Pasar Payang 2, meroboh dan membina baru Pasar Payang 1, satu set escalator di Pasar Payang 1, menara jam, tempat letak kereta, skybridge serta membina kemudahan surau yang baharu.

Najib berkata, projek dibawah peruntukan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu dijangka siap tahun 2018 dan ia diharap memberi lebih keselesaan kepada peniaga, pembeli serta pelancong.

“Dengan terlaksananya projek ini, maka para peniaga dapat berniaga dengan keadaan lebih selesa.

“Saya juga yakin industri pelancongan juga akan lebih maju,” beliau berkata demikian ketika ditemui semasa lawatannya ke Pasar Besar Kedai Payang hari ini.

Pada program santai itu, lebih 10,000 penduduk sekitar Kuala Terengganu serta peniaga di Pasar Payang menyambut kedatangan beliau yang tiba pada pukul 9.15 pagi tadi bersama Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman dan Ahli-Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri serta ketua-ketua jabatan.

Selain bersarapan pagi bersama peniaga pasar tersebut, Najib turut bertemu dengan pengayuh beca dan pengusaha bot penambang serta meninjau aktiviti perniagaan di pasar berkenaan.

YPPM Sambut Baik Peruntukan RM2.5 Juta

Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia (YPPM) menyambut baik keprihatinan kerajaan memperuntukkan RM2.5 juta bagi membantu institusi pondok di negara ini.

Peruntukan itu diumumkan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak dalam ucapan perasmian penutup Ijtimak Pondok Malaysia 2016 di Dewan Sultan Mizan, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) hari ini.

Pengerusi Eksekutif YPPM, Dato’ Dr. Mashitah Ibrahim berkata, peruntukan itu akan digunakan sebaiknya untuk memperkasa dan membantu warga pondok yang ditimpa musibah.

“Kita bersyukur dalam ijtimak kali ini, Perdana Menteri telah mengistiharkan dana atau Tabung Kasih Perdana Menteri.

“Peruntukan sebanyak RM500 ribu dimasukan ke dalam tabung ini sebagai bantuan segera, sekiranya pondok-pondok mengalami sebarang musibah seperti bencana banjir, kebakaran dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas selesai Majlis Penutup Ijtimak Pondok Malaysia 2016 yang disempurnakan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak di Dewan Sultan Mizan, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman; Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Idris Jusoh dan Naib Canselor UMT,  Prof. Dato’ Dr. Nor Aieni Mokhtar.Menurut beliau, daripada lebih 400 institusi pondok di negara ini, hanya 112 sahaja yang berdaftar dengan YPPM.

“Kebanyakkan pondok-pondok di negara ini tidak berdaftar. Jadi bila ditimpa musibah sangat sukar untuk disegerakan bantuan. Justeru, dengan pengumuman Perdana Menteri, kita harap dapat gunakan dana ini untuk membantu pondok-pondok yang memerlukan bantuan segera,” ujarnya.

Katanya, pengumuman peruntukan sebanyak RM2 juta dalam bentuk geran yang diisytiharkan Perdana Menteri pula akan membantu YPPM meneruskan kajian mengenai institusi pondok negara ini selain mengoperasikan semula instrumen media sosial milik YPPM.

“Dengan dana yang ada, kita akan bekerjasama dengan universiti tempatan untuk melaksanakan kajian supaya kita tahu jumlah pondok yang belum berdaftar dan sebab-sebabnya. Kita mahu bantu semua pondok tetapi kekangannya adalah disebabkan mereka tidak berdaftar,” ujarnya.

RM2.5 Juta Perkasa Sekolah Pondok – Najib Razak

Kerajaan Pusat hari ini meluluskan peruntukan sebanyak RM2.5 juta kepada Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia (YPPM) untuk memperkasakan lagi institusi pondok di negara ini.

Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM500 ribu diperuntukkan untuk Tabung Kasih Perdana Menteri.

“Saya bersetuju mewujudkan Tabung Kasih Perdana Menteri bagi menyalurkan bantuan segera kepada warga pondok yang ditimpa musibah seperti bencana banjir dan kebakaran.

“Serentak dengan itu juga sebanyak RM500 ribu disalurkan untuk tabung ini,” ujarnya.

 

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Penutup Ijtimak Pondok Malaysia 2016 di Dewan Sultan Mizan, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman; Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Idris Jusoh; Pengerusi YYPM, Dato’ Dr. Mashitah Ibrahim dan Naib Canselor UMT,  Prof. Dato’ Dr. Nor Aieni Mokhtar.

Katanya, peruntukan geran sebanyak RM2 juta pula adalah untuk kajian pondok dan mengoperasikan semula instrumen media sosial bagi mempromosi institusi pendidikan berkenaan.

Pecat JKKK Bawah Aturan Transformasi Politik

Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di negeri ini akan ditamatkan perkhidmatan serta merta sekiranya didapati gagal memenuhi Indek Petunjuk Prestasi (KPI) yang ditetapkan.

Tindakan itu termaktub di bawah transformasi politik menerusi konsep Transformasi Terengganu Baharu (TTB).

Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman berkata  golongan itu juga akan dinilai dan dipantau dari masa ke semasa bertujuan memastikan JKKK disukai rakyat, selain memastikan menjalankan tugas mereka dengan baik dan amanah.

Katanya, peraturan baru itu akan  memudahkan kerajaan negeri mengenal pasti JKKK mana yang aktif atau sebaliknya.

“JKKK sebagai mata dan telinga kerajaan sepatutnya disukai rakyat malah perlu bijak menyelesaikan masalah penduduk setempat.

“Kita sangat mengharapkan JKKK dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan baik untuk kemenangan pada pilihan raya nanti.” katanya.

Ahmad Razif memberitahu, pusat aduan akan dibuka untuk mendengar aduan-aduan yang berkaitan JKKK dan tindakan segera  diambil selepas siasatan dibuat.

Beliau berkata demikian sewaktu merasmikan Majlis Himpunan OKB (Orang Kuala Berang) Merealisasikan TTB Di Dewan Komuniti Kuala Berang, semalam.

Seramai 34 orang Pengerusi JKKK terdiri daripada 30 muka lama dan empat orang muka baru dalam DUN Kuala Berang menerima watikah perlantikan untuk sesi 2016

Sementara itu, Pengerusi JKKK Kampung Kuala Kejir, Marzuki Tahir, 50, berkata, saranan serta cadangan yang diberikan oleh kerajaan negeri akan dijadikan panduan untuk memajukan sesebuah kampung.

“Tanggungjawab sebagai pemimpin JKK begitu mencabar dan semua bidang tugas mampu dilakukan dengan jayanya setelah mendapat sokongan daripada peduduk kampung,”katanya.

Lulus RM1.39 Juta Untuk Empat Projek Utama Di Kuala Berang

Kerajaan negeri meluluskan RM1.39 juta untuk projek pembangunan di DUN Kuala Berang yang melibatkan empat projek utama

Menteri Besar, Ahmad Razif Abdul Rahman, berkata sebanyak RM1.1 juta bagi membina masjid baru di Kampung Pasir Tinggi, RM200,000 pula sebagai tambahan membina pusat hemodialisis dan fisioterapi

“Selain itu,sebanyak RM50,000 bagi membina gym yang serba lengkap dan RM40,000 bagi membeli kipas besar di Masjid Kampung Buluh.

Beliau berkata demikian sewaktu merasmikan Majlis Himpunan OKB (Orang Kuala Berang) Merealisasikan TTB Di Dewan Komuniti, Kuala Berang, semalam

Turut hadir ADUN Kuala Berang, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang, ADUN Telemong Dato’ Rozi Mamat dan lebih 2,000 penduduk termasuk golongan belia.