Day: July 2, 2020

Ahli Parlimen Kemaman Isi 50 Tabung Masjid

Oleh: Alfian Mamad/Wan HadiKEMAMAN, 2 Julai - Sebanyak 50 buah masjid di seluruh Kemaman menerima sumbangan bagi menampung perbelanjaan pengurusannya setelah tiada kemasukan dana semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tempoh hari.Ahli Parlimen Kemaman, Ustaz Alias Abd. Hamid melalui Pusat Khidmat Masyarakatnya telah menyalurkan sejumlah wang tunai bagi meringankan bebanan sesetengah masjid.
Menurut Ketua Penyelaras Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Kemaman, Mohd Hafiz Adam, peruntukan sebanyak RM125 ribu telah dikeluarkan bagi menyuntik dana tabung masjid yang agak berkurangan di seluruh Kemaman."Menyedari perkara tersebut kami bermesyuarat dan merancang bagi memulihkan setiap tabung masjid yang ada di seluruh kawasan Kemaman.
"Sepanjang tempoh PKP tiada sumbangan daripada orang awam yang kebiasaannya dikutip pada setiap solat Jumaat yang berjumlah tiga hingga empat ribu seminggu," ujar beliau.Mohd Hafiz berkata demikian ketika ditemui pada sesi penyerahan dana 14 buah masjid Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal di Masjid Jamek Kijal semalam.Hadir sama dalam majlis penyerahan tersebut, Pegawai Agama Daerah Kemaman, Aizi Saidi Abd Aziz, Ketua Unit Pengurusan Masjid Daerah Kemaman, Ustaz Hassan Harun, Pembantu Hal Ehwal Islam Bahagian Pengurusan Masjid, Ustaz Abdul Hakim Mohd Nasir dan Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) DUN Kijal, Wahab Ahmad.Dalam pada itu, Penyelaras DUN Kijal, Hazri Jusoh turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada Pejabat Parlimen Kemaman di atas inisiatif mereka dalam membantu kesemua masjid yang terjejas."Alhamdulillah, saya mewakili pihak pengurusan masjid di DUN Kijal merakamkan jutaan terima kasih kepada YB Parlimen Kemaman, Ustaz Alias Abd. Hamid di atas sumbangan ini," katanya.

Read More
Sektor Perkhidmatan Penyediaan Makanan Antara Terjejas Teruk

KUALA TERENGGANU, 2 Julai -  Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac), Dato' Wira Mas Ermieyati Shamsudin mendedahkan sektor perkhidmatan penyediaan makanan antara yang paling terjejas teruk akibat penularan COVID-19 di seluruh dunia.Katanya, sektor berkenaan mewakili 55.74 peratus daripada keseluruhan sektor yang terjejas."Ia diikuti sektor peruncitan (26.08 peratus); pembuatan (8.25 peratus); kontraktor kecil (5.91 peratus) serta pertanian dan perusahaan tani (4. 03 peratus)."Bagaimanapun, setakat ini pihak kami tidak menerima aduan tentang usahawan yang terpaksa gulung tikar susulan wabak berkenaan."Saya percaya mereka tidak tutup kedai, tetapi berhenti sementara untuk stabilkan kembali perniagaan,"katanya pada sidang media selepas Program Turun Padang Bertemu Usahawan di Dataran Parkir Pmint di sini hari ini.
Menurut beliau, Medac melalui Tekun Nasional menyalurkan RM200 juta di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Tambahan (Prihatin Tambahan) kepada usahawan mikro yang terjejas dengan harapan dapat membantu menaikkan kembali perniagaan masing-masing.Tambahnya lagi, dibawah skim Pembiayaan Pemulihan Perniagaan Sektor Mikro (CBRM) ini disalurkan pembiayaan dengan nilai maksimum sehingga RM10,000 serta tanpa faedah dikenakan."Sebanyak RM200 juta telah diperuntukkan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Rakyat Prihatin PKS bagi melaksanakan skim itu untuk syarikat mikro."Kita telah menerima 27,803 permohonan sejak skim CBRM dilancarkan pada 8 April lalu dengan anggaran nilai sebanyak RM 222.4 juta."Daripada jumlah itu, sehingga 29 Jun lalu, sebanyak 24,207 permohonan diluluskan dengan nilai RM181.4 juta," ujar beliau.Sementara itu, di Terengganu, sebanyak 1,192 permohonan telah diluluskan dengan nilai RM9.2 juta.

Read More
Terengganu Benarkan Ibadat Korban, Solat Aidiladha

KUALA TERENGGANU, 2 Julai - Umat Islam di Terengganu dibenarkan untuk melakukan ibadat korban dan menunaikan Solat Aidiladha pada hujung bulan ini dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Perkara itu sudah mendapat perkenan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, selain mendapat persetujuan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM).

Yang Dipertua MAIDAM, Dato’ Osman Muda berkata, pada masa yang sama aktiviti keagamaan seperti ceramah turut diperluaskan di semua masjid dan surau.

Selain itu katanya, ia termasuk kuliah dhuha, maghrib dan isyak yang disampaikan oleh pendakwah bertauliah, solat sunat dan solat jenazah, penggunaan beranda dan tandas.

“Turut dibenarkan penggunaan tandas dan ruang wuduk kecuali kolah masih dilarang.
“Jemaah yang hadir diwajibkan mengikuti SOP yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, bagi mereka yang mahu melakukan ibadah korban, boleh dilakukan di perkarangan masjid, surau, rumah dan kawasan lapang.

“Lokasi lain termasuk, rumah penyembelihan kerajaan dan swasta yang dilesenkan Jabatan Veteriner Terengganu dan mana-mana lokasi yang dibenarkan Jabatan Hal Ehwal AgamaTerengganu (JHEAT).

“Mereka yang terlibat perlu mengisi borang kebenaran yang disediakan JHEAT .

“Mana-mana pihak yang gagal mematuhi SOP ibadah korban, mereka boleh dikenakan tindakan di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Terengganu 2001 atau undang-undang berkaitan,” katanya.

Read More
Delegasi Terengganu Terima Saranan Menteri Agama Dalam Perkasa Dakwah

Dr. Zulkifli bersama delegasi Terengganu yang hadir.
KUALA LUMPUR, 1 Julai - "Kamu peganglah jawatan apapun, kamu perlu buat sejarah yang baik," pesan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri kepada delegasi Terengganu yang ditemuinya, hari ini.

Menurutnya, setiap jabatan dan agensi perlu diperkukuhkan dengan pentadbiran yang efektif dan teratur supaya agama Islam dipandang tinggi.

Terengganu ada kelebihan dengan ramainya alim ulama dan sekolah-sekolah pondok tersendiri.

Dr. Zulkifli menyampaikan ucapan diperhatikan Mohd Nor.
"Suasana agama di Terengganu yang saya percaya kita boleh olah supaya negeri ini jadi tempat yang terbaik," katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap ketika menerima kunjungan hormat dari Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Terengganu di Kompleks Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), di sini.

Diketuai pengerusi jawatankuasa, Mohd Nor Hamzah, kunjungan itu turut melibatkan jabatan dan agensi di bawah portfolionya iaitu Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT), Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM), Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) dan Yayasan Islam Terengganu (YIT) yang diwakili ketua-ketua jabatan.

Pertemuan tersebut diadakan sebagai ruang komunikasi dua hala antara agensi negeri dan kerajaan Persekutuan.

Secara tidak langsung, jabatan-jabatan terlibat turut mendapat nasihat dan pandangan dalam memperkasa pentadbiran masing-masing.

Read More
Mahu Perkenal Pes Rempah Kepada Pelancong

Oleh : Aziz Hambali

MARANG, 30 Jun - Pusat Khidmat Parlimen Marang (PKPM)  mahu menjadikan pes rempah Resipi Dapur Mok Bonda menjadi  projek perintis di daerah ini bagi menarik pelancong tempatan dan luar Terengganu merasai keenakan resipi itu.

Pegawai Khas Ahli Parlimen Marang, Haron Yusof berkata, apa yang dilaksanakan itu adalah  langkah pertama sebelum memilih beberapa produk lain milik usahawan  Industri Kecil Dan Sederhana (IKS) di daerah ini.  

“Pendekatan itu bukan sahaja dapat membantu usahawan malah mampu menambah peluang pekerjaan kepada golongan belia sekiranya satu-satu produk yang diperkenalkan mendapat sambutan,” katanya.

Sementara itu, menurut pemilik produk itu, Mariah Johari berkata, dia berasa bertuah kerana ada pihak yang sudi menjadikan produk miliknya sebagai projek perintis.
Katanya, dengan pendekatan itu menguatkan lagi azamnya untuk terus berjaya dan mengukuhkan perniagaannya walaupun baru 2 bulan bertapak.

 “Selain pes nasi dagang keluarannya. Dia turut menyediakan pes gulai ikan, ayam dan daging. Pembeli akan dapat memasak dengan mudah dan cepat dengan kemudahan yang disediakan,” ujarnya

Kata Mariah lagi, dia menulis cara penyediaannya rempah tersebut dengan lengkap supaya pembeli dapat memasaknya dengan baik.

“Penjual lain jarang untuk menulisnya, tapi saya tulis siap-siap di setiap bungkusan langkah demi langkah.

“Ramai pelanggan yang memberi respon positif terhadap rempah yang telah terjual.

"Saya banyak mempromosikan produk saya ini di media sosial seperti aplikasi Whatsapps, Facebook dan Instagram, mungkin selepas ini saya akan pasarkan di pasar raya,” tambahnya.

Read More
Pusat Aduan Sosial Mudahkan Penduduk

Oleh : Adli Mohamad

DUNGUN, 2 Julai-  Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi mewujudkan pelbagai cara dan insiatif untuk mendekati masyarakat termasuk memperkenalkan Pusat Aduan Sosial (PAS).

Pegawai Penyelaras DUN berkenaan, Ghazali Sulaiman, berkata pihaknya sentiasa memikirkan alternatif terbaik bagi memastikan penduduk Bukit Besi mampu mendapat maklumat serta mengetahui pelbagai saluran bantuan disediakan kerajaan negeri.

“Menyedari perkara berkenaan maka kita tidak hanya menunggu kehadiran penduduk ke pejabat semata-mata, malah turut turun ke lapangan bagi memastikan rakyat tahu tentang insiatif disediakan kerajaan termasuk bantuan didalam bidang perniagaan, pertanian, bantuan kepada ibu tunggal, juga mereka yang menghidap penyakit kronik, miskin tegar dan lain-lain.

“Kita sedar ada diantara mereka yang menghadapi kesulitan didalam hidup, namun kerana faktor tertentu serta berada jauh di pedalaman menyebabkan mereka tidak mampu datang ke pusat khidmat ini. Justeru kita telah mewujudkan PAS dimana kita telah turun ke semua 23 Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK),” ujarnya kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis perjumpaan dengan beberapa MPKK di Balairaya Jongok Batu, semalam.

Katanya, program berkenaan telah diadakan bermula minggu lalu pada setiap Isnin dan Rabu, dijangka akan selesai diadakan di semua cawangan MPKK dalam masa tiga minggu.

“Ianya merupakan alternatif dan kesinambungan daripada Hari Khidmat Pelanggan yang diadakan pada setiap selasa, bagi mengetahui secara menyeluruh segala masalah dan apa yang rakyat disini perlukan,” ujarnya.

Jelasnya, program berkenaan telah digerakkan secara bersama dengan Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) bersama dengan MPKK setempat.

"Walau bagaimanapun kita akan sentiasa memikirkan cara dan kaedah lain lagi bagi memastikan seluruh penduduk Bukit Besi mendapat manfaat.

Menerusi PAS, pelbagai borang bantuan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu (MAIDAM), borang bantuan Tabung Darul Iman (TDI), Yayasan Pembagunan Usahawan (YPU), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Pertanian dan sebagainya yang berkaitan diedarkan kepada rakyat.

Read More

Takwim

July 2020
M T W T F S S
 12345
6789101112
13141516171819
20212223242526
2728293031  
naahh

Recent Comments

    Archives

    Categories

    Hiburan

    linkedin facebook pinterest youtube rss twitter instagram facebook-blank rss-blank linkedin-blank pinterest youtube twitter instagram