70 Pasukan Berentap Di Kejohanan Bola Keranjang Pantai Timur

Lebih 70 pasukan akan berentap dalam kejohanan bola keranjang peringkat Pantai Timur di Dataran Shahbandar, di sini, Jumaat ini.

Setiausaha Persatuan Bola Keranjang Terengganu, Wong Ka Fu berkata kejohanan tahun ini hanya disertai pasukan Kelantan dan dari seluruh daerah di Terengganu.

Katanya kejohanan sehari itu terbahagi kepada lima kategori iaitu lelaki terbuka, wanita terbuka, bawah-15 lelaki dan wanita serta kategori bukan Cina dengan pemenang tempat pertama akan membawa pulang wang tunai sebanyak RM450, kedua RM300 dan ketiga RM200 bagi setiap kategori.

“Kejohanan yang dianjurkan ini adalah bagi menarik minat serta mencungkil bakat baharu dalam sukan bola keranjang di negeri ini selain mewujudkan keharmonian antara kaum.

“Ini merupakan sambutan yang luar biasa dan paling banyak penyertaan sejak diperkenalkan tahun 1995 dimana sebelum ini penyertaan paling tinggi dicatat adalah 40 pasukan sahaja yang menunjukkan minat menyertai kejohanan ini,” katanya .

Menurutnya, pada kejohanan kali ini, lebih 40 peratus atlet Melayu daripada kira-kira keseluruhan 240 atlet turut menyertai dan menunjukkan minat dalam kejohanan yang lazimnya dimonopoli golongan Cina.

Tambahnya, ini merupakan langkah positif untuk menggilap bakat baharu dalam sukan berkenaan khususnya daripada atlet Melayu untuk diketengahkan bakatnya

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *