AEON Malaysia Luas Pasaran Ke Terengganu

AEON Co. (M) Bhd. (AEON Malaysia) merancang untuk meluaskan kehadirannya dalam pasaran negara ini dengan memasuki lima negeri dalam tempoh lima tahun akan datang.

Pengarah Urusannya, Nur Qamarina Chew Abdullah berkata, AEON Malaysia ketika ini masih belum mempunyai cawangan di Kelantan, Terengganu, Kedah, Sabah dan Sarawak.

Katanya, rancangan masa depan itu merupakan strategi syarikat bagi mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran tempatan.

‘”Dengan sasaran untuk membuka sebanyak tiga lagi cawangan pada tahun ini, syarikat memperuntukkan perbelanjaan modal (capex) sebanyak RM700 juta berbanding RM500 juta pada tahun sebelumnya.

‘”Setiap cawangan memerlukan kos pelaburan di antara RM50 juta hingga RM300 juta bergantung kepada lokasi dan kebiasaannya mengambil masa sehingga tiga tahun untuk siap dibina,” katanya baru-baru ini.

Memetik laporan Utusan Malaysia hari ini, AEON Malaysia yang telah 30 tahun beroperasi di sini kini mempunyai 27 cawangan.

Menurut beliau, AEON Malaysia adalah anak syarikat AEON Co Ltd, berpangkalan di Jepun yang tertua dan paling mantap di rantau Asia Tenggara.

Ujar Nur Qamarina lagi, dari segi penguasaan pasaran, AEON Malaysia berada di tempat ketiga dengan jumlah jualan sebanyak RM4.2 bilion manakala tempat kedua sekiranya digabungkan dengan anak syarikat termasuk AEON Big dengan jumlah jualan sebanyak RM5.7 bilion.

‘”Kami sentiasa berusaha untuk memberi pelbagai pilihan kepada orang ramai dan ini dapat dilihat apabila kedai serbaneka Daiso jenama dari Jepun semakin mendapat tempat dalam kalangan pelanggan tempatan.

‘”Oleh itu, kami sedang meninjau beberapa lagi jenama Jepun untuk dibawa masuk seperti Jewel Cafe dan Sukiya,” katanya.

Beliau yang mengakui perniagaan runcit sangat kompetitif dan mencabar, berpendapat cara untuk maju lebih ke hadapan ialah dengan menjadi inovatif kerana pendekatan itu terbukti berkesan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *