Akuapolitan Kuala Nerus Tingkat Pendapatan 500 Keluarga Nelayan

Seramai 500 keluarga nelayan akan dipilih sebagai perintis dalam program akuapolitan pertama di Malaysia bagi meningkatkan taraf hidup mereka.

Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman berkata, program yang boleh dikenali sebagai ‘Felda laut’ tersebut merupakan kesinambungan kepada ‘Felda darat’ yang dijalankan oleh kerajaan persekutuan sekarang.

Beliau berkata, projek perintis dengan kos RM180 juta tersebut akan dilaksanakan secara dua fasa bermula tahun ini.

“Untuk fasa pertama, kita akan bangunkan tanah seluas lapan hektar di Kampung Seberang Pak Abu manakala bagi fasa kedua pula akan dibina kemudahan termasuk perumahan untuk nelayan ini  seluas lebih satu hektar di Kampung Batin.

“Projek yang akan bermula tahun ini menggunakan bajet kerajaan persekutuan dan akan diletakkan di bawah kendalian Majlis Pembangunan Wilayah Pantai Timur (ECERDC),” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada Program 1M4U Puspanita Cawangan Kementerian Pengangkutan Bersama Penduduk Kampung Batin di Seberang Takir, Kuala Nerus, hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Dato’ Seri Sarippudin Kassim, dan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia, Dato’ Seri Ismail Ahmad.

Ahmad Razif berkata, di kawasan akuapolitan tersebut juga akan dijadikan sebagai kawasan ternakan ikan laut di dalam sangkar selain penternakan udang karang dan ketam nipah.

Tambahnya, kawasan tersebut dipilih untuk dijadikan tempat pernternakan kerana ia telah dikenalpasti oleh pihak Universiti Malaysia Terengganu yang telah melakukan kajian.

Selain itu, pelbagai aktiviti lain turut akan dilaksanakan di kawasan persekitaran tersebut antaranya muzium maritim, restoran berasaskan makanan laut dan pasar ikan.

“Apa yang menarik, kita bercadang untuk buat pasar ikan mengikut kepada konsep yang digunakan di Sydney, Australia dimana di pasar itu akan di titikberatkan dari segi kebersihan.

“Selain itu, di dalam pasar ini juga akan disediakan restoran dimana apabila pelanggan memilih makanan laut ini, ianya boleh terus diproses mengikut kehendak mereka,” katanya.

 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *