Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mencetuskan ketegangan bagi membantah keputusan Mahkamah Rayuan terhadap Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang didapati bersalah meliwat Saiful Bukhari Azlan, Jumaat lalu.
Menurut beliau, polis akan mengambil tindakan berdasarkan peruntukan sedia ada.
“Dalam kes Azmin (Timbalan Presiden PKR), saya pun tak tahu apa jenis reformasi yang mereka nak buat tapi apa pun mereka mestilah mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan.
“Setakat ini, kami belum terima apa-apa permohonan (untuk mengadakan perhimpunan). Dia (Azmin), cuma sebut reformasi, apa yang dia nak ‘reform’ pun saya tak tahulah,” katanya di Dewan Berlian, Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Azmin kelmarin yang menggesa penyokong pakatan pembangkang supaya berhimpun sebelum berarak pada hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Kajang Selasa ini bagi menyatakan sokongan terhadap Anwar.
Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali menyeru gerakan Reformasi Rakyat 2.0 selepas hukuman dijatuhkan ke atas Anwar.
Khalid memberitahu, pihaknya yakin pembangkang tidak akan berjaya mengganggu gugat ketenteraman awam perjalanan PRK tersebut berlangsung bermula dari hari penamaan calon.
“Polis sentiasa bersedia untuk menangani sebarang kemungkinan yang akan berlaku sepanjang PRK itu nanti,” ujar beliau.