Seramai 45 atlet Sukan Malaysia (Sukma) Terengganu berasal dari Marang yang mewakili negeri di temasya Sukma Perlis yang lalu, diraikan oleh Umno Bahagian Marang dalam Majlis Makan Malam, di Dewan Majlis Daerah Marang, Kampung Paya, semalam.
Ketua Umno Bahagian Marang YB A Latiff Awang yang juga Pengerusi Transformasi Kerajaan, Komunikasi dan Multimedia negeri merasmikan majlis itu.
Hadir sama, Pegawai Daerah Marang, Yang DiPertua Majlis Daerah Marang dan serta Jawatankuasa Umno bahagian dan sayap-sayap parti.
A Latiff berkata, Marang berjaya melahirkan ramai atlet terkemuka negara terutamanya dalam acara kanu apabila menyumbang pingat terbesar, 14 pingat emas kepada Terengganu pada Sukma lalu.
“Selain itu, acara sepak takraw, olahraga serta beberapa acara lain juga menyumbang emas kepada negeri sekali gus menjadi kebanggaan kami kepimpinan Umno Bahagian Marang serta barisan guru-guru yang saban hari melatih atlet ini tanpa mengenal penat dan lelah.
“Menyedari keperluan dan mengiktiraf penyertaan ramai anak Marang dalam sukan kanu khasnya, kita akan menaiktarafkan rumah kayak di Pulau Kekabu,Marang,” katanya.
Menurutnya, bagi jangka masa panjang, Umno Marang mengharapkan lebih ramai lagi anak-anak muda dari daerah itu berjaya dibentuk agar mampu menyumbang khidmat bakti serta menaikkan nama Marang dan Terengganu.