Husam Berdepan Tindakan Dipecat Kerana Kritik Parti – Presiden PAS

Bekas Naib Presiden PAS, Dato’ Husam Musa berdepan tindakan digantung atau dipecat daripada parti itu berikutan tindakannya mencabar dan mengkritik PAS.

Presiden PAS, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang berkata, beliau telah mengarahkan jawatankuasa disiplin parti supaya memanggil ADUN Salor itu dan menjalankan siasatan berhubung perkara itu.

“Perkara ini kita serahkan kepada jawatankuasa untuk membuat keputusan. Bentuk tindakannya kita serah kepada jawatankuasa disiplin, tetapi tidak lari daripada beri amaran, digantung atau dipecat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Pejabat Penyelaras Parlimen PAS Kuala Terengganu, semalam.

Mengulas kenyataan Husam bahawa usaha Abdul Hadi membawa usul Hudud di Kelantan tanpa merujuk parti terlebih dahulu sebagai satu tindakan pramatang, Presiden PAS itu berkata beliau lebih berpengalaman daripada Husam dan telah lama menyertai parti berkenaan.

“Saya menyertai PAS sejak 1963. Isu hudud (timbul) sejak tahun kita mencapai kemerdekaan pada 1957 dan ia tanggungjawab kita sebagai orang Islam. Saya bukannya main politik (mengenai isu hudud).

“Masa (pelaksanaannya) akan tiba. Dia (Husam) masuk parti sejak tahun 80-an dan ini (hudud) adalah isu lama,” katanya.

PRK Kajang : Jentera BN Terengganu Bergerak Lancar

Jentera Barisan Nasional (BN) Terengganu di Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kajang bergerak lancar dan memberi suntikan kepada jentera tempatan di PDM Bandar Kajang.

Ini terutamanya, gerakan bersepadu yang dijalankan oleh Jentera Wanita, Pemuda, Puteri yang bergerak dari rumah ke rumah pengundi sejak beberapa hari lepas bersama-sama jentera tempatan yang mengetuai gerakan kempen itu.

Penyelaras Urusetia Kontinjen Terengganu merangkap Setiausaha Kerja BN Terengganu, Mohd. Khomsa Chik berkata, di bawah pimpinan Dato’ Jailani Johari selaku Ketua Kontinjen dan Timbalannya YB. A.Latiff Awang jentera Terengganu hanya bertindak sebagai pembantu kepada jentera tempatan dan semua operasi ditentukan oleh jentera tempatan di PDM Bandar Kajang.

UMNO Bahagian Sepang juga turut mambantu selaku bapa angkat kepada PDM Bandar Kajang.

“Menteri Besar Terengganu yang juga Pengerusi BN negeri telah mengarahkan jentera dari Terengganu membantu sebaik mungkin untuk kejayaan BN dalam PRK ini,” kata.

Menurutnya, Dato’ Seri Ahmad Said akan turut berkempen bagi membuat sentuhan terakhir terhadap kempen BN Terengganu di Kajang dan meraikan petugas yang bertungkus lumus sepanjang kempen dijalankan.

Mohd Khomsa berkata, jentera Terengganu diberi peranan untuk fokus kempen kepada kira-kira 452 orang pengundi berbangsa Melayu di PDM Bandar Kajang.

Wan Abu Bakar Pengerusi TDM

Bekas Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Leftenan Jeneral (B) Tan Sri Wan Abu Bakar Omar (gambar), 65, dilantik sebagai Pengerusi TDM Berhad (TDM) mulai 1 Mac lalu.

Pelantikan itu diumumkan oleh Bursa Kuala Lumpur menerusi kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Wan Abu Bakar pernah berkhidmat selama 39 tahun di dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) merangkumi penugasan dalam bidang operasi, perisikan dan pengurusan.

Ketika mengetuai Bahagian Perisikan Pertahanan, beliau berjaya menganjurkan banyak inisiatif dalam usaha mendekatkan komuniti perisikan pertahanan di peringkat serantau dan antarabangsa.

Beliau juga pernah dilantik sebagai Ketua Pengarah Task Force 2010 (Malaysia) mulai 2007 hingga 2009 dengan memikul tanggungjawab sebagai wakil kerajaan Malaysia dalam usaha membantu kerajaan Thailand mewujudkan keamanan di wilayah selatan negara berkenaan.

Wan Abu Bakar ditauliahkan pangkat Leftenan Muda selepas mengikuti latihan pegawai kadet di Maktab Tentera Diraja, Sungai Besi pada 1972.

Beliau pernah mengikuti pengajian dalam bidang Perang Saraf di Fort Bragg, Amerika Syarikat; Kajian Strategik di Joint Services Staff College, Australia; Kajian Keselamatan dan Strategik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) serta Maktab Turus Angkatan Tentera di sini.

Anak kelahiran Terengganu itu kini memegang jawatan Pengerusi Yayasan Kebajikan dan Pendidikan Asia Tenggara (Seaweed), Pengerusi Hotel Permai Kuala Terengganu, Ahli Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICC ECER) Negeri Terengganu dan Pengarah Terengganu Incorporated (T.I.) Sdn. Bhd.

TDM merupakan anak syarikat kerajaan negeri Terengganu yang bergiat dalam sektor perladangan kelapa sawit dan perkhidmatan penjagaan kesihatan.

Syarikat itu kini memiliki lebih 40,000 hektar ladang kelapa sawit di sekitar Terengganu dan Kalimantan Barat, Indonesia.

TDM juga mempunyai empat hospital pakar masing-masing di Petaling Jaya, Kuala Lumpur, Kuantan dan Kuala Terengganu.