FM Plastik Industri Sdn. Bhd., peneraju kilang plastik terbesar di Pantai Timur, akan melabur kira-kira RM12 juta bagi meningkatkan pengeluaran produk plastiknya menjelang Jun ini.
Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Sharifuddin Musa berkata kilangnya yang terletak di tapak seluas 0.8 hektar di kawasan perindustrian Jakar, Kemaman, adalah pembekal utama plastik tahan lasak kepada syarikat minyak dan gas, Petronas.
“Kilang kami sudah beroperasi sejak sembilan tahun lalu dengan menggunakan dua buah mesin yang setiap satunya setinggi bangunan empat tingkat.
“Kini pengurusan kilang dalam proses terakhir untuk menambah dua lagi mesin baru yang setiap satu bernilai RM6 juta,” katanya semalam.
Sharifuddin berkata, ketika ini kilang tersebut menghasilkan jualan plastik tahan lasak bernilai RM10 juta setahun dan dengan penambahan dua mesin baru itu, ia dijangka dapat meningkatkan sekali ganda lagi pengeluaran plastik daripada empat tan seminggu kepada lapan tan.
Selain itu dengan penambahan mesin baru tersebut, kilang yang memiliki 100 pekerja itu turut mampu menjana peluang pekerjaan baharu kepada penduduk setempat.
Menurutnya, selain memasarkan produknya di pasaran tempatan, FM Plastik juga akan mengeksport produk plastiknya ke pasaran negara jiran seperti Singapura.
Usahawan anak Terengganu itu berkata, kebanyakan bahan mentah untuk menghasilkan produk plastik diperoleh dari negeri itu sendiri dan juga dari Thailand.
Sharifuddin berkata, syarikat itu turut memiliki enam kilang lain yang mengeluarkan plastik tahan lasak dan ringan di beberapa kawasan di Lembah Klang.