Bekas Ahli Dewan Negara (1993-1999), Hassan Ali, 64 tahun, telah dilantik sebagai Penolong Setiausaha UMNO Negeri Terengganu.
Perlantikan itu diumumkan oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Said pada mesyuarat Jawatankuasa Perhubungan UMNO Negeri di Kuala Lumpur, malam tadi.
Sepanjang melibatkan diri dalam politik, Hassan yang dikenali sebagai ‘Pok Chan’ pernah menjadi Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kuala Nerus selama empat penggal bermula 1984 hingga 1991.
Hassan juga pernah dipilih sebagai Setiausaha UMNO Bahagian Kuala Nerus (1985-2004) dan Naib Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus (2008-2013).
Beliau ketika ditemui wartawan teganukita di pusat penamaan calon PRK DUN Kajang di Kompleks Sukan MPKJ, Bandar Baru Bangi berkata, amanah yang diberikan akan dipikul sebaik mungkin untuk memantapkan UMNO di Terengganu.
“Pengalaman yang saya ada sepanjang berada dalam kepimpinan UMNO akan digunakan untuk membantu Pengerusi Perhubungan (Dato’ Seri Ahmad Said), Setiausaha Perhubungan (Dato’ Tengku Putera Tengku Awang) dan jawatankuasa lain menguruskan perjalanan parti.
“Terima kasih di atas kepercayaan yang Dato’ Seri (Ahmad Said) berikan kepada saya,” ujarnya yang juga Ketua UMNO Cawangan Kolam sejak 1987.