ADUN Permaisuri, Dato’ Mohd Jidin Shafee meminta orang ramai supaya tidak membuat spekulasi kononnya beliau akan dilantik Menteri Besar Terengganu yang baharu.
Katanya, spekulasi seperti itu boleh menimbulkan kekeliruan dan akan menyinggung perasaan terutamanya pentadbiran sekarang ini.
“Saya ada baca viral tersebut tetapi nasihat saya cukuplah setakat itu, sebab sebarang keputusan mengenai (perlantikan Menteri Besar) tertakluk kepada keputusan Perdana Menteri,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Darul Iman hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Negeri itu menambah, semua Exco telah memberi sokongan penuh kepada pentadbiran Ahmad Razif.
Mohd Jidin menegaskan bahawa, kesemua EXCO dan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) Terengganu akan menghormati segala keputusan daripada Istana.
Pada masa yang sama, Ketua UMNO Bahagian Setiu itu memaklumkan bahawa pertemuan antara Perdana Menteri dan wakil rakyat BN terpaksa ditangguhkan ke satu tarikh baru.
Perdana Menteri dilaporkan akan menghadap Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bagi membincangkan isu berbangkit.
“Sepatutnya Perdana Menteri akan melakukan perjumpaan dengan semua wakil rakyat BN esok di Kuala Lumpur tetapi ditangguhkan kepada tarikh baharu,” katanya.