Hentikan Penyebaran Berita Palsu – MB

Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman meminta agar penyebaran berita palsu di media-media sosial segera dihentikan.

Beliau berkata, tindakan penyebaran maklumat palsu sebegitu boleh mendatangkan kekeliruan kepada orang ramai sekaligus dapat mengganggu gugat kestabilan negeri ini.

“Saya mahu orang yang bertanggungjawab ini  di heret ke muka pengadilan untuk memberi satu pengajaran supaya tidak lagi berlaku sebarang fitnah dan perkara-perkara yang boleh menganggu kestabilan negeri,”katanya kepada pemberita.

“Saya difahamkan semua isu ini telah dibuat siasatan oleh pihak polis dan juga Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). Jadi saya harap pihak yang tidak bertanggungjawab ini dapat dikesan,” katanya ketika mengulas berhubung berita palsu bertajuk ‘Sultan Mizan Kembalikan Darjah Kebesaran Kepada MB Terengganu’.

Beliau ditemui pemberita pada Majlis Penutup Program Kembara Muda  Rakyat III  2016 di Dewan Orang Ramai Teluk Ketapang, Kuala Nerus, semalam.

Turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri , Dato’ Mohd Zubir Embong; Pengerusi Yayasan Bank Rakyat, Dato’ Abdul Rahman Kasim dan Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat Pesona Terengganu, Dato’ Mustafar Khalid.

Tambahnya, ada segelintir pihak yang tidak senang dengan kestabilan politik yang sedang berlaku di Terengganu dan orang ramai tidak perlu terpengaruh dengan cerita sedemikian.

“Apa yang  penting sekarang ini adalah hendak bergerak ke hadapan dan yang penting bagaimana kita nak membangun negeri Terengganu dan rakyat mendapat manfaat,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *