Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Hulu Terengganu dengan bertemakan tagline ‘Hulu Terengganu Hulubalang’ meneruskan perjuangan dalam mengekalkan kecemerlangan pendidikan di daerah ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Tugas-Tugas Khas Negeri, Ghazali Taib berkata, tagline ini akan menjadi sumber inspirasi PPD bagi mencapai impian dan target pada 2016 dalam sektor pendidikan yang memberi hala tuju serta semangat kepada semua untuk merealisasikan harapan bersama.
Justeru katanya, memandangkan Hulu Terengganu berjaya merangkul pelbagai kejayaan setiap tahun, jadi pihaknya berharap kecemerlangan itu dapat dipertahankan tahun ini sekali gus melonjakkan lagi pencapaian daerah ini ke tahap lebih tinggi.
“Pelbagai kejayaan yang diperolehi telah menyuntik semangat kita yang kemudiannya memilih tagline ‘Jjadi Sunggoh Hulu Terengganu 2013’ , ‘Jjadi Pulok Hulu Terengganu 2014’ dan ‘Kekal Hebat 4T Hulu Terengganu 2015’.
“Ia terbukti berhasil apabila Daerah Hulu Terengganu berjaya mengekalkan lima tahun berturut-turut kejayaan dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan pelbagai kejayaan lain,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Tagline Hulu Terengganu 2016 di SMK Tengku Ampuan Intan, Hulu Terengganu.
Sementara itu, Pegawai Pendidikan Daerah Hulu Terengganu, Jalaluddin Ismail berkata, pemilihan hulubalang sebagai tagline bersesuaian dengan sifat berani berjuang, semangat jati diri dan tidak mudah mengaku kalah yang mampu menyuntik semangat dalam diri pelajar, para pendidik dan ibu bapa.
“Saya amat berharap dengan tagline ini, Daerah Hulu Terengganu mampu mencapai momentum kecemerlangan pendidikan yang lebih tinggi,” ujarnya lagi