Jumlah hutang kerajaan-kerajaan negeri yang masih belum dijelaskan kepada Kerajaan Pusat adalah sebanyak RM16.8 bilion, setakat 31 Disember tahun lepas.
Kementerian Kewangan di dalam jawapan bertulis menjelaskan Kerajaan Negeri Pahang merekodkan jumlah hutang tertinggi iaitu sebanyak RM2,922.98 juta.
Ini diikuti Sabah (RM2,608.46 juta); Sarawak (RM2,531.25 juta); Kedah (RM2,283.30 juta); Kelantan (RM1,342.41 juta); Selangor (RM1,032.82 juta) Melaka (RM950.97 juta); Negeri Sembilan (RM942.76 juta); Terengganu (RM909.48 juta); dan Perak (RM608.63).
Manakala negeri yang mencatatkan jumlah hutang rendah adalah Pulau Pinang sebanyak RM69.36 juta, diikuti Johor (RM249.01 juta) dan Perlis (RM373.17 juta).
Pinjaman kepada Kerajaan-kerajaan Negeri diberi bagi tujuan membiayai projek kemudahan asas untuk faedah rakyat seperti projek bekalan air, perumahan awam kos rendah (PAKR), industri dan pelbagai projek lain.
“Projek-projek ini merupakan usaha kerajaan yang berterusan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat,” menurut kementerian itu.