Infrastruktur Asas KTCC Siap 90 Peratus

Ahmad Razif menyampaikan sijil kepada pelajar cemerlang pada Majlis Empower ECER Seberang Takir & Marang dan Entrepreneur ECER Terengganu di Sekolah Menengah Kebangsaan Ibrahim Fikri, Kuala Nerus, petang semalam. Foto oleh Tengku Syamim Tengku Ismail

Infrastruktur asas yang melibatkan peruntukan RM150 juta bagi melaksanakan projek Kuala Terengganu City Centre (KTCC) kini siap hampir 90 peratus.

Pembinaan yang sudah siap termasuk kemudahan laluan keluar masuk, menambun tanah, benteng pemecah ombak, tangki kumbahan , saluran elektrik dan saluran bekalan air.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, sebaik kerja- kerja asas yang dibangunkan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC)  itu siap hampir 100 peratus,  pelabur  tempatan dan juga luar negara dibenarkan memulakan projek masing-masing.

Katanya, awal 2017 dijangka bermula projek pembangunan yang merangkumi  pusat perniagaan komersial, pusat konvensyen antarabangsa, hotel, pusat perubatan, pusat pendidikan dan kediaman moden.

“Membabitkan kawasan seluas kira-kira tujuh kilometer radius dari muara Sungai Terengganu iaitu Muara Utara, Muara Selatan, Pulau Warisan, Kampung Ladang/Tanjung dan Tebing Pesisir Air .

“Nilaian pelaburan  dijangka RM5 bilion dan akan menjadi pemangkin kepada transformasi pembangunan sosioekonomi negeri ini,”katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Empower ECER Seberang Takir & Marang dan Entrepreneur ECER Terengganu di Sekolah Menengah Kebangsaan Ibrahim Fikri, Kuala Nerus, petang semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Seri Jebasingam Issace John.

Seramai 40 pelajar  daripada keluarga miskin yang cemerlang alam peperiksaan awam turut hadir bagi menerima sijil dan wang saku.

Ahmad Razif memberitahu, projek di bawah ECERDC itu akan memberi manfaat kepada semua terutamanya penduduk di negeri ini.

Katanya, nilai hartanah akan meningkat dan dari segi sosioekonomi, KTCC akan menjadi faktor penarik untuk menggalakkan lebih ramai belia kembali bekerja di Terengganu apabila melihat perubahan bandar raya ini yang bakal menjadi hab kehidupan, bekerja dan aktiviti-aktiviti rekreasi.

“Bagi mempromosikan imej negeri itu sebagai Gerbang Pelancongan di ECER, sebuah jambatan angkutan (draw breach) dalam pembinaan untuk menghubungkan kawasan seluas 72 hektar di Muara Selatan dan Muara Utara.

“Ia merupakan sebuah jambatan seumpamanya di negara dan bakal menjadi satu mercu tanda negeri itu,”katanya.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *