Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu, Dato’ Jailani Johari berharap jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN) akan terus meyakinkan pengundi di Kajang bahawa hanya parti itu mampu melakukan yang terbaik untuk memelihara kesejahteraan hidup rakyat Malaysia.
Beliau berkata, adalah penting bagi jentera BN pada pilihan raya kecil (PRK) DUN Kajang memastikan penduduk di sini tidak mudah terpengaruh dengan sentimen yang dimainkan sesetengah pihak dalam usaha memenangi PRK itu.
“Kita percaya sebelah sana (Pakatan Rakyat) akan main sentimen macam-macam (demi mempengaruhi pengundi). Tapi kita akan cuba sedaya upaya yakinkan rakyat, bahawa kerajaan pimpinan BN sentiasa memastikan janji ditepati,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra di Pusat Daerah Mengundi Kampung Sri Jambu, semalam.
Terdahulu, Jailani yang juga Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, sempat bersarapan bersama-sama penduduk di sebuah restoran sebelum melakukan tinjauan mesra di Pasar Awam Kajang dan berkunjung ke tujuh rumah di Kampung Sri Jambu.
Berdasarkan tinjauan di kawasan ini, Jailani positif calon BN, Datin Paduka Chew Mei Fun diterima baik berdasarkan rekod prestasi, personaliti serta komitmen beliau dalam memperjuang nasib penduduk Kajang.
Dalam pada itu, Ketua UMNO, Bahagian Serdang Datuk Fathil Daud, yang juga Ketua Cawangan Umno Kampung Sri Jambu, yakin penduduk di kawasan itu akan terus mengundi BN.
Chew dijangka berdepan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada hari pengundian 23 Mac ini.