Seramai 59 pelajar Terengganu yang sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang Pengajian Islam di Jordan menerima kenaikan kadar pinjaman oleh kerajaan negeri melalui Yayasan Terengganu (YT).
Pengarah YT, Mohammad Sulong berkata, penyerahan tawaran kenaikan kadar pinjaman tersebut adalah hasil dari lawatan kerja Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman ke Timur Tengah, Januari lalu.
Katanya, dalam lawatan itu, Menteri Besar telah bersetuju untuk menaikkan kadar pinjaman ekoran dari kejatuhan mata wang Ringgit Malaysia.
“Jika sebelum ini, mereka menerima pinjaman sebanyak RM16,000 setahun namun hasil dari lawatan tersebut, pelajar Pengajian Islam di Jordan akan mula menerima RM20,000 setahun.
“Kenaikan kadar baru ini tidak melibatkan pelajar bagi program lain kerana kadar sedia ada telah menyamai atau melebihi dari penaja-penaja utama yang lain,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Tawaran Kenaikan Kadar Pinjaman Pelajar Pengajian Islam di Jordan di Bangunan Yayasan Terengganu, Kuala Terengganu, baru-baru ini.
Penyerahan tersebut disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Tugas-tugas Khas, Ghazali Taib kepada ibu bapa pelajar.
Dalam pada itu, kerajaan negeri turut bersetuju untuk menyediakan peruntukan khas bagi mempertimbangkan pemberian pinjaman ‘one-off’ kepada anak Terengganu yang melanjutkan pelajaran ke luar negara tetapi tidak mendapat sebarang penajaan.
Mohamad berkata, pemberian itu adalah berbentuk pinjaman dengan kadar yang tertakluk kepada keputusan mesyuarat YT.
“Ia terbuka bagi semua anak Terengganu mengikut syarat-syarat ditetapkan oleh YT,” ujarnya.