Bunyinya agak janggal, namun ‘Kempen Hentikan Beri Bantuan’ yang akan dilaksanakan Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Terengganu (JKM) tidak lama lagi, bertujuan menyedarkan orang ramai supaya tidak terlalu mudah menghulurkan bantuan kepada pengemis.
Pengarahnya, Zuhami Omar berkata pihaknya tidak mahu semakin ramai individu mahupun pihak yang tidak bertanggungjawab termasuk sindiket menjadikan kanak-kanak serta orang ramai sebagai mangsa supaya meminta sedekah di seluruh Terengganu.
“Kita sedar, memberi bantuan dan sedekah itu amat dituntut dalam Islam. Bagaimanapun, kita mahu supaya kaedah memberi derma dan sedekah itu dilakukan mengikut saluran yang betul.
“Sikap kebanyakan masyarakat yang terlalu mudah memberi bantuan dan menghulurkan derma kepada pengemis mahupun sesiapa sahaja yang ditemui akan meningkatkan lagi jumlah golongan itu di negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas Program Ziarah Kebajikan Serikandi di Rumah Sejahtera Taman Bahagia, Wakaf Dua, Bukit Payong, Kuala Terengganu, hari ini.
Program anjuran Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil-wakil Rakyat Negeri Terengganu (Serikandi) dihadiri Yang Dipertuanya, To’ Puan Halina Zakaria.
Zuhami berkata , JKM juga menjalankan operasi berjadual dan juga berdasarkan aduan orang ramai bagi membasmi pengemis di tempat-tempat tumpuan terutama di bazar Ramadan, Stesen Bas MBKT, Taman Syahbandar dan juga Pasar Kedai Payang, Kuala Terengganu.
Menurutnya, individu yang ditahan kerana mengemis kebanyakannya diberi nasihat dan kaunseling supaya tidak mengulangi kesalahan itu, manakala kes yang membabitkan bukan warganegara pula lazimnya diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan selanjutnya.
Dalam perkembangan lain, pihaknya juga meneliti rekod dan isu gelandangan yang mungkin wujud di Terengganu.
“Sehingga kini, tiada rekod dan isu gelandangan di Terengganu. Bagaimanapun, kita akan memantau isu itu dari semasa ke semasa supaya negeri kita bebas dari golongan itu.
“Kadang-kadang orang ramai perlu memahami isu gelandangan ini. Gelandangan ini mereka yang tiada rumah. Di Terengganu ini, tiada isu orang yang tidak berumah, kecuali kes mereka yang mengalami masalah mental, menagih dadah dan tidur di kawasan awam sebagai `transit’ sebelum mendapat kenderaan awam untuk ke sesuatu destinasi,” katanya lagi.