Keputusan PRK Kajang Dijangka 9 Malam, 23 Mac

By kirthiga

Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang pada 23 Mac ini dijangka diumumkan selewat-lewatnya pukul 9 malam, kata Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Dato’ Abdul Ghani Salleh.

“Sekiranya proses pengundian dan pengiraan undi berjalan lancar pada hari berkenaan, keputusan itu akan dibuat paling lewat pun pukul 9 malam,” katanya dalam sidang media selepas melawat pusat pengundian awal di Rumah Perkep, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang.

Beliau berkata pihaknya akan menyediakan 240 botol dakwat kekal untuk dicelup pada setiap jari pengundi di kesemua pusat mengundi seluruh DUN Kajang pada 23 Mac.

“Kami menyediakan jumlah itu sama seperti dua PRK lepas iaitu di Sungai Limau, Kedah dan Kuala Besut, Terengganu,” katanya.

Jumlah pengundi di DUN Kajang seramai 39,278 orang, termasuk 1,197 anggota polis dan pasangan yang mengundi hari ini.

Menurut Abdul Ghani setakat pukul 11 pagi, seramai 560 orang ataupun 45 peratus daripada jumlah pengundi awal menjalankan tanggungjawab mereka di tiga saluran mengundi iaitu di Dewan Sultan Haji Ahmad Shah, Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM), Dewan Anjung Forensik PDRM dan IPD Kajang.

“Kami mempunyai 24 petugas SPR di ketiga-tiga lokasi itu untuk memantau proses pengundian awal dan sebanyak tujuh botol dakwat kekal SPR disediakan untuk pengundian awal hari ini,” katanya.

Abdul Ghani berkata proses pengundian awal yang bermula pukul 8 pagi itu, dijangka selesai pada 4.30 petang dan peti undi akan dikumpul dan dihantar ke lokap Balai Polis Bangi.

“Kami akan mengumpulkan peti-peti undi itu ke lokap Balai Polis Bangi dan di lokap kena ada prosedur polis.

“Kalau sesiapa nak duduk bersama peti undi kena pakai baju lokap dan ikut peraturan lokap…kami akan mengasingkannya daripada peti undi biasa dan akan dikeluarkan pada 23 Mac untuk pengiraan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Takwim

July 2022
M T W T F S S
 123
45678910
11121314151617
18192021222324
25262728293031
naahh

Recent Comments

    Archives

    Categories

    Hiburan

    linkedin facebook pinterest youtube rss twitter instagram facebook-blank rss-blank linkedin-blank pinterest youtube twitter instagram