Klinik 1 Malaysia Ke-16 Di Paya Bunga Square

Terengganu bakal mempunyai sebuah lagi Klinik 1 Malaysia (K1M) bagi menampung keperluan pesakit di negeri ini tidak lama lagi.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata K1M ke-16 di Terengganu itu dilengkapi kemudahan rawatan pergigian dan bakal beroperasi di Pusat Transformasi Bandar (UTC), Paya Bunga Square.

“Kita jangkakan Klinik 1 Malaysia yang bakal dibuka itu mengambil masa kira-kira enam bulan.

“Setakat ini, kita telah mempunyai 15 Klinik 1 Malaysia yang beroperasi termasuk di Kampung Batin,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Klinik 1 Malaysia di Kampung Batin, semalam.

Menurut beliau, K1M yang mula beroperasi sepenuhnya September lalu itu, menelan kos RM287,323 dan seorang doktor turut ditempatkan di klinik berkenaan.

Katanya, dalam sehari, hampir 50 pesakit mendapatkan rawatan di klinik tersebut sejak, ia dibuka lima bulan lalu.

Beliau berkata, terdapat pertambahan hampir sekali ganda dalam jumlah pesakit yang mendapatkan rawatan di K1M dan berharap dengan adanya lebih banyak klinik berkenaan, ia mampu memberi khidmat kepada lebih ramai pesakit pada satu-satu masa.

Klinik berkenaan memulakan operasi pada 10 pagi hingga 10 malam.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *