Klinik Kesihatan Baharu Dibina Di Pulau Perhentian Tahun Depan

By Anita

Kementerian Kesihatan akan membina sebuah klinik kesihatan baharu yang lebih baik melibatkan kos pembinaan berjumlah RM20 juta di Pulau Perhentian tahun depan bagi memenuhi keperluan penduduknya yang semakin bertambah.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri, Dato’ Muhammad Pehimi Yusof berkata, dalam Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11), kerajaan pusat telah meluluskan peruntukan tersebut.

“Dalam RMK11 kerajaan pusat melalui Kementerian Kesihatan telah meluluskan bajet sebanyak RM20 juta untuk didirikan klinik kesihatan baru di Pulau Perhentian.

“Kita hendak naif taraf klinik yang sedia ada di pulau ini kerana ianya sudah terlalu uzur dan tidak dapat memenuhi kehendak masyarakat,” ujarnya.Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Kesihatan Sedunia peringkat negeri di Dewan Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri di Marang, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Mohamad Omar.

Katanya, kerja-kerja awal pembinaan klinik kesihatan itu dijangka bermula pada awal tahun depan.

Muhammad Pehimi memberitahu, beliau bersama beberapa jabatan dan agensi terlibat telah ke pulau berkenaan baru-baru ini untuk membuat tinjauan awal tapak cadangan pembinaannya.

“Kita dapati lokasi klinik terletak kira-kira satu kilometer dari penempatan penduduk dan agak tinggi di kawasan berbukit, jadi saya minta Jabatan Kerja Raya cadangkan pelan tapak yang sesuai dengan lokasi itu di mana bangunan utama perlu dibuat di kawasan lebih rendah untuk keselesaan pengunjung klinik itu nanti,” katanya.

Katanya, pembinaan klinik baharu ini nanti bakal memberi manfaat kepada 2,200 penduduk dan purata 500,000 pelancong yang datang ke pulau itu setiap tahun.

“Malah, kerajaan juga akan membina kuaters kediaman untuk petugas di klinik baharu itu nanti untuk memastikan penduduk mendapat rawatan kesihatan yang efisyen tanpa perlu ke tanah besar untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Takwim

June 2021
M T W T F S S
 123456
78910111213
14151617181920
21222324252627
282930  
naahh

Recent Comments

    Archives

    Categories

    Hiburan

    linkedin facebook pinterest youtube rss twitter instagram facebook-blank rss-blank linkedin-blank pinterest youtube twitter instagram