Masjid Putih Masak Sepuluh Periuk Bubur Lambuk Setiap Hari

Masjid Abidin atau lebih dikenali dengan nama Masjid Putih meneruskan tradisi pengagihan bubur lambuk kepada orang ramai sepanjang Ramadan tahun ini.

Imam Besar Masjid Negeri Terengganu, Aizi Saidi Abdul Aziz berkata, sebanyak sepuluh periuk bubur lambuk dimasak secara bergotong royong oleh 50 ahli jawatankuasa dan kariah Masjid Putih setiap hari selama sebulan Ramadan.

“Proses penyediaan bubur lambuk ini bermula jam 8 pagi di perkarangan masjid dan diketuai tukang masak yang mesra dipanggil Pak Awang.

“Sebelum mula diagihkan kepada orang ramai sekitar jam 3.30 petang, bubur lambuk yang dimasak akan dimasukkan ke dalam kira-kira 2000 bekas kecil untuk memudahkan proses pengagihan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Program Pembahagian Bubur Lambuk Rakyat yang disempurnakan Menteri Besar, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman di Masjid Putih, Kuala Terengganu, petang ini.

Turut hadir, Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu, Dato’ Mohd Rozali Saleh.

Katanya, program tajaan kerajaan negeri sebanyak RM100 ribu itu dilaksanakan secara bergotong-royong bagi menyemarakkan suasana bulan Ramadan serta merapatkan hubungan sesama anggota masyarakat.

Tambah beliau, sejak program itu diadakan lima tahun lalu sambutan terhadap bubur lambuk Masjid Putih amat menggalakkan dan turut digemari orang bukan Islam.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *