Orang ramai khususnya rakyat di Terengganu sewajarnya mengamalkan budaya semangat bersatu padu dalam kehidupan bermasyarakat.
Isteri Menteri Besar, Halina Zakaria berkata, pada masa sama, perlu bersyukur kerana dapat hidup aman damai berbanding negara lain.
Katanya, negara kita mampu membangunkan sektor-sektor sosial ekonomi sehingga kehidupan rakyat menjadi lebih bahagia di samping membolehkan kita menyempurnakan amal ibadat mengikut kehendak agama masing-masing.
“Malah untuk membawa perubahan dalam masyarakat ,salah satu perkara penting ialah perpaduan untuk menjana masa depan yang lebih baik melalui perlaksanaan program termasuk program keagamaan.”katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Tahsin al-Quran serta Pertandingan Masakan dan Gubahan Peringkat Kuala Berang, di Dewan Komunit, Kuala Berang, semalam.
Turut hadir pada majlis tersebut isteri ADUN Kuala Berang ,To’ Puan Halijah Ali serta isteri-isteri wakil rakyat dalam Parlimen Hulu Terengganu.
Harlina turut menekankan aktiviti keagamaan supaya dapat memberi pendedahan terhadap generasi baru betapa pentingnya pengajian ilmu al -Quran dan memahami isi kandungannya.