MB Agih Bubur Lambuk

Dalam kesibukan menjalankan tugas rutin sebagai menteri besar, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman sempat meluangkan masa mengagihkan bubur lambuk kepada orang ramai terutama umat Islam di dataran Masjid Abidin (Masjid Putih) petang ini.

Di kesempatan itu, beliau ditemani isteri, To’ Puan Halina Zakaria turut mengambil peluang untuk beramah mesra dengan mereka yang mendapatkan bubur lambuk secara percuma sebagai juadah berbuka puasa pada hari pertama Ramadan.

“Saya ingin mengambil peluang untuk merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak Masjid Putih dan juga Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) mengadakan program pengagihan bubur lambuk ini.

“Program ini adalah tradisi tahunan dan mendapat sambutan yang amat bagus. Apa yang dilaksanakan ini amat baik kerana dapat mengekalkan tradisi malah secara tidak langsung dapat memperkenalkan makanan tradisi Terengganu kepada generasi muda,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Program Pembahagian Bubur Lambuk Rakyat di Masjid Putih, Kuala Terengganu.

Turut hadir, Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu, Dato’ Mohd Rozali Saleh dan Imam Besar Masjid Negeri Terengganu, Aizi Saidi Abdul Aziz.

Menurut Dato’ Ahmad Razif, kerajaan negeri memperuntukkan kira-kira RM100 ribu untuk dibelanjakan dalam proses penyediaan bubur lambuk di masjid Putih yang dimasak secara bergotong-royong oleh ahli jawatankuasa masjid itu sepanjang Ramadan tahun ini.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *