Najib Berjaya Batalkan Saman PKR Berhubung Dakwaan Belanja PRU13

By kirthiga

Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak dan tiga yang lain hari ini berjaya membatalkan saman yang difailkan PKR atas dakwaan berbelanja berlebihan dalam kempen Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Dato’ Mohd Zaki Abdul Wahab membenarkan permohonan Najib, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Dato’ Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk membatalkan saman itu selepas mendapati writ saman dan pernyataan tuntutan plaintif tidak dapat dipertahankan dari segi undang-undang.

Mohd Zaki dalam laporan Bernama hari ini memerintahkan kelima-lima plaintif membayar kos sebanyak RM15,000 masing-masing kepada Najib dan Tengku Adnan manakala RM10,000 bagi 1MDB dan RM10,000 kepada SPR.

Plaintif dalam saman itu ialah Ketua Umum PKR, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, yang sedang menjalani hukuman penjara lima tahun kerana sabitan kes liwat, anggota Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar, anggota Parlimen Batu, Tian Chua, bekas Setiausaha Agung PKR Dato’ Saifuddin Nasution Ismail dan anggota Gerakan Harapan Baru, Dr Dzulkefly Ahmad.

Pada 12 Ogos tahun lepas, mereka memfailkan saman terhadap Najib atas dakwaan berbelanja berlebihan dalam kempen PRU13 dan melanggar undang-undang pilihan raya.

Dalam keputusannya, Mohd Zaki berkata plaintif tidak mempunyai locus standi untuk memfailkan saman itu terhadap Najib dan Tengku Adnan kerana kesemua plaintif bukanlah pegawai awam atau pemegang jawatan dalam PKR.

Katanya, mengikut Seksyen 9(c) Akta Pertubuhan 1966, sebarang prosiding terhadap sesebuah pertubuhan atau pemegang jawatannya hanya boleh dibawa oleh pegawai awam atau pemegang jawatan dalam pertubuhan itu.

“Plaintif pertama (Anwar) bukanlah pegawai awam atau pemegang jawatan dalam pertubuhan itu manakala plaintif lain pula mereka perlu tunjukkan kepentingan untuk membawa tindakan ini, tetapi mereka hanya berasaskan hak mereka sebagai calon pilihan raya,” katanya.

Berhubung tuntutan plaintif supaya mahkamah itu membuat pengisytiharan mengenai salah laku jenayah defendan pertama (Najib) berhubung isu 1MDB, Mohd Zaki berkata mahkamah itu tidak mempunyai bidang kuasa untuk membuat perisytiharan itu.

“Hanya Peguam Negara yang boleh memulakan atau membuat tindakan jenayah. Berdasarkan keputusan kes terdahulu adalah sangat jelas sesuatu kes sivil tidak boleh melaksanakan bidang kes jenayah. Keputusan itu masih mengikat mahkamah ini,” katanya.

Mohd Zaki berkata plaintif juga tidak mempunyai locus standi untuk memohon mahkamah mengisytiharkan UMNO adalah sebuah pertubuhan tidak sah kerana hanya Pendaftar Pertubuhan yang boleh berbuat demikian mengikut Seksyen 41 Akta Pertubuhan.

Katanya, mahkamah sivil tidak mempunyai bidang kuasa untuk membuat perisytiharan itu.

Mengenai dakwaan plaintif berhubung dana RM2.6 bilion itu, Mohd Zaki berkata plaintif tidak mengemukakan fakta mengenai dakwaan mereka itu di dalam afidavit sebaliknya butir-butir mengenai perkara itu hanya cakap dengar.

“Afidavit yang mengandungi butir-butir dengar cakap tidak boleh dijadikan penggantungan di writ saman, oleh itu writ saman itu tidak boleh dipertahankan,” katanya.

Mohd Zaki berkata plaintif juga gagal mempertahankan tuntutan mereka supaya mahkamah sivil membuat perisytiharan bahawa keputusan PRU13 adalah tidak sah dan terbatal, kerana mahkamah itu tidak mempunyai bidang kuasa berbuat demikian.

“Hanya Mahkamah Pilihan Raya yang mempunyai bidang kuasa untuk mendengar dan memutuskan tuntutan plaintif itu. Berdasarkan alasan-alasan tersebut, mahkamah membenarkan permohonan kesemua defendan untuk membatalkan saman plaintif,” kata Mohd Zaki.

Di luar mahkamah, peguam Dato’ Mohd Hafarizam Harun mewakili Najib dan Tengku Adnan memberitahu pemberita bahawa dengan keputusan itu, beliau berharap semua isu membabitkan RM2.6 bilion akan dihentikan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Takwim

September 2021
M T W T F S S
 12345
6789101112
13141516171819
20212223242526
27282930  
naahh

Recent Comments

    Archives

    Categories

    Hiburan

    linkedin facebook pinterest youtube rss twitter instagram facebook-blank rss-blank linkedin-blank pinterest youtube twitter instagram