10 Sekolah Malaysia Bakal Diiktiraf Dunia

Sebanyak 10 buah sekolah di negara ini bakal menerima pengiktirafan dunia sebagai Sekolah Dunia ‘International Baccalaureate’ (IB) pada Januari 2016.

Timbalan Menteri Pendidikan, P. Kamalanathan berkata, sekolah tersebut sedang membuat persediaan bagi memenuhi kriteria diperlukan sebelum diiktiraf melaksanakan Program Sekolah Menengah (MYP) IB nanti.

“Salah sebuah sekolah yang terbabit adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Tapang di Sarawak, sebuah sekolah di Labuan dan lapan lagi di Semenanjung Malaysia.

“Persiapan sedang dijalankan dan penilaian IB akan dibuat pada Oktober tahun hadapan. Sekarang ini, sekolah terlibat dihubungi IB untuk memaklumkan perkara yang perlu dilaksanakan dan sekiranya berjaya akan diumumkan pada Januari 2016,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke SMK Sungai Tapang di Kota Samarahan, Sarawak, semalam.

MYP IB menekankan cabaran intelektual menggalakkan pelajar menghubungkan pelajaran mereka dan matapelajaran yang dipelajari kepada dunia realiti supaya mempunyai pemikiran kritis.

Tambah Kamalanathan, jika sekolah terlibat berjaya mendapatkan pengiktirafan, sudah tentu ia mempamerkan kehebatan pendidikan di negara hingga berjaya menepati syarat dan piawaian yang dikenakan badan antarabangsa.

Dalam pada itu mengulas mengenai lawatan hari ini, beliau berkata, kementerian berusaha memenuhi segala keperluan pendidikan di Sarawak dengan segera.

“Saya akan menjadi sahabat dan jambatan kepada Jabatan Pendidikan Negeri untuk membawa isu yang dihadapi kepada kementerian.

“Ini komitmen Kerajaan Persekutuan agar dapat terus penyelesaian daripada Pusat ke sini,” jelasnya.

Mengulas cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Konvensyen Pelan Tindakan Masa Depan Sekolah-Sekolah Tamil untuk menyalurkan peruntukan naik taraf sekolah itu terus kepada lembaga pengurus sekolah atau persatuan ibu bapa dan guru (PIBG), Kamalanathan berkata, ia merupakan cadangan yang baik.

Katanya, kementerian dalam proses melihat bagaimana hendak melaksanakan cadangan berkenaan dan melihat dari segi mekanisme pelaksanaan itu nanti.

Ahmad Teruskan Tradisi Turun Padang Ziarah Pesakit dan Warga Emas

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said hari ini meneruskan rutin turun padang dengan melawat dua beradik yang menghidap penyakit saraf di Teluk Kalong, Kemaman.

Beliau disertai isterinya To’ Puan Norliza Mahmud turut berpeluang melawat Mohd Masudi Razali, 29, yang menghidap penyakit itu sejak empat tahun lalu dan adiknya Mohd Ashamudin Razali, 26, yang menghidapnya dua tahun lepas yang membuatkan mereka tidak dapat berjalan dan berdiri ekoran otot yang lemah dan tidak berfungsi dengan baik.

Ahmad sedang melakukan siri lawatan ke kampung-kampung dengan membawa bersama seorang doktor yang juga Presiden Persatuan Anti-Penuaan, Aestetik dan Rejeneratif Malaysia, Prof Dr Selvaraj Y. Subramaniam.

“Mereka yang menerima rawatan hari ini akan diberikan rawatan susulan oleh doktor jika perlu dan semua kos akan ditanggung oleh saya secara peribadi.

“Ada sesetengah pesakit yang perlukan kerusi roda, kita bagi kerusi roda hari ini dan ada yang kita berikan ubat-ubatan dan ini akan dijadikan lawatan rutin saya,” katanya.

SUKMA 2014 : Terengganu Sasar Enam Emas Olahraga

SERAMAI 30 atlet termasuk 15 wanita akan menggalas cabaran Terengganu dalam acara olahraga pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2014 di Perlis, Mei ini.

Pengurus pasukannya, Kama Rezuan Kamaruddin berkata, sebahagian besar atlet daripada temasya Kuala Lumpur tahun lepas, dikekalkan dengan harapan untuk mempertahankan enam pingat emas yang dimenanginya.

Skuad olahraga negeri itu memenangi enam emas dalam tiga kategori lelaki iaitu 100m, 110m lompat berpagar dan 4x400m manakala atlet wanita menyumbang tiga emas dalam acara 400m lompat pagar, 4x100m dan 4x400m.

“Kita akan mempertahankan kesemua enam pingat emas ini di samping berusaha menambahkan bilangan pingat emas pada Sukma kali ini,” katanya baru-baru ini.

Sukma ke-17 di Perlis akan berlangsung dari 24 Mei hingga 4 Jun ini dengan acara olahraga menawarkan 45 pingat emas.

Pada edisi ke-15 di Kuantan pada 2012, Terengganu muncul juara keseluruhan dalam acara olahraga dengan merangkul lapan emas.

Prasarana Baru di Akademik Sepak Takraw Terengganu

KERAJAAN negeri akan membantu menyediakan prasarana sukan yang lebih sempurna di Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Midin di Kuala Terengganu yang dijadikan pusat Projek Akademik Sepak Takraw Terengganu (PASTA) dan pembangunan hoki negeri ini sejak sekian lama.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan dan Sumber Manusia negeri, Rozi Mamat berkata, ini termasuklah pembinaan gelanggang berbumbung dan beliau meminta Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) mengambil inisiatif untuk melaksanakannya pada tahun ini.

Beliau menghargai peranan PASTA telah sekian lama memainkan peranan melahirkan barisan pelapis yang akhirnya menjadi sukan sepak takraw di peringkat negeri dan negara.

“Kita bercadang menambah baik kemudahan bagi akademi ini dan hoki bagi memastikan pelajar yang dipilih mendapat kemudahan terbaik untuk berlatih,”ujarnya.

Beliau menyatakan demikian selepas Majlis Penyerahan Geran Tahunan dan Tajaan Jersi PASTA di sekolah tersebut baru-baru ini.

Pengerusi PASTA, Dr. Mohammad Omar menerima geran bagi pengurusan dan tajaan pakaian daripada Milo, Desa Murni Batik dan syarikat Kasut You.

Yang turut hadir, Timbalan Pengarah MSNT, Ibni Amin Busu; Pengarah Cawangan Pelapis Majlis Sukan Negara (MSN), Jeffri Ngadirin dan Pengetua SMK Padang Midin, Zah Mohamad.

Beliau menyambut baik langkah MSN meningkatkan gerakan tahunan itu daripada RM25,000 kepada RM30,000 pada tahun ini agar Pasta dapat berperanan dengan lebih berkesan.

Sementara itu, Rozi berharap PASTA melalui jurulatih-jurulatihnya dapat mencipta perubahan dari segi taktikal supaya dapat mengatasi skuad sepak takraw dari negara lain yang melakukan banyak perubahan.

“Dibandingkan dengan Korea, Indonesia dan Myanmar, kita bukan lagi dilihat setaraf malah mereka lebih melonjak dalam sukan itu.

“Kita bukan tidak bagus, tetapi kita berada di tahap yang sama, tetapi mereka yang lebih melonjak cepat dengan kaedah yang dicipta sendiri dan kita harus turut berbuat demikian,” katanya.

PASTA diwujudkan pada Mei 1999 dan pada masa kini membimbing 36 pelajar tingkatan satu hingga lima di SMK Padang Midin yang dijadikan pusat latihan dan penempatan mereka.

SUKMA 2014 : Silat Sasar Lima Emas

SEBANYAK 16 atlet Persatuan Seni Silat Terengganu (Pesilat) yang mempunyai peluang cerah menyumbangkan pingat pada Sukan Malaysia (Sukma) Perlis, Mei ini, akan menjalani latihan di Batam, Indonesia.

Setiausaha Pesilat, Rani Mustaffa berkata, atlet terbabit terdiri 10 lelaki dan enam wanita akan menjalani latihan di Ikatan Pencak Silat Indonesia (IPSI), Kota Batam selama 10 hari mulai 18 Februari.

“Latihan itu sebagai persediaan bagi memastikan lima pingat emas seperti disasarkan Majlis Sukan Negeri Terengganu dicapai,” katanya.

Pada edisi Sukma 2012 di Pahang, atlet silat Terengganu berjaya memperoleh enam pingat emas dan akan cuba mempertahankan kedudukan itu, katanya.

Sementara itu, Pesilat akan menerima kunjungan pesilat dari Selangor, Kedah dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi pertandingan persahabatan pada 14-16 Februari di Gerbang Persilatan Gong Badak, Kuala Terengganu.

Rani berkata, ia juga sebagai satu daripada persiapan pemanas badan untuk menghadapi Sukma Perlis selain pendedahan menerusi kejohanan di peringkat institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

Pasukan pesilat Terengganu dilatih oleh Shahrul Fahmi Abu Bakar.