PAU2015 : Najib Mahu Pasukan UMNO Yang Taat Setia

By kirthiga

Dato’ Seri Najib Tun Razak hari ini menuntut ahli dan pemimpin UMNO supaya setia kepada kepimpinan demi keutuhan, bukannya bertindak berkonfrontasi yang boleh memincangkan parti.

Bagi Presiden UMNO, ‘tuntutan’ itu selaras dengan perlembagaan parti melalui fasal 9.8.2 dan 9.8.3, yang menuntut Timbalan Presiden parti serta Naib-Naib Presiden setia dan membantunya, apatah lagi ketika menghadapi pelbagai tohmahan dan kritikan yang tidak berasas.

Di hadapan 2,654 perwakilan UMNO ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung UMNO 2015, Najib juga menekankan bahawa ahli-ahli UMNO juga perlu memegang teguh prinsip itu serta menyokong dasar-dasar parti.

“Tetapi bagi saya, ‘I am a gentleman’, apa-apa kekusutan pun, marilah berjumpa, duduk berbincang, kita selesaikan melalui saluran yang betul,” kata Najib.

Ucapan dasar itu disampaikan di hadapan pemimpin-pemimpin kanan UMNO termasuk Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Naib Presiden Dato’ Seri Shafie Apdal dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, yang lantang mengkritik kepimpinannya kebelakangan ini.

Para perwakilan turut melaungkan sokongan ‘Hidup Najib!’ sepanjang ucapan itu, manakala tiga pengkritik kepimpinannya itu dilihat tidak memberi sebarang reaksi.

“Semua orang tahu, Najib Razak ini. Saya, seorang yang tidak ‘confrontational’ Saya juga tidak pernah menjatuhkan sesiapa, apatah lagi untuk mengkhianati parti UMNO tercinta ini,” katanya.

Najib turut mengimbas kembali kesetiaannya kepada kepimpinan UMNO sebelum ini terutamanya semasa UMNO mengalami krisis pada 1987 ketika di bawah kepimpinan Dr Mahathir.

“Saya jugalah pada tahun 1987, di persimpangan getir untuk menyebelahi pucuk pimpinan UMNO pada masa itu, telah dengan penuh kasih dan hormatnya, tetap memilih untuk taat dan bersetia, kepada kepimpinan Tun Dr Mahathir, dalam mempertahankan kedudukannya ketika itu, sebagai presiden UMNO, sekaligus mengekalkan dirinya sebagai perdana menteri,” katanya.

Justeru itu, Najib menegaskan bahawa semua anggota UMNO tidak memisahkan prinsip kepemimpinan dan kepengikutan, yang sebenarnya bersifat saling berkait antara satu dengan yang lain.

Kebelakangan ini, Najib lantang dikritik dalam isu-isu yang menyentuh syarikat 1Malaysia Development Berhad (IMDB), dana RM2.6 bilion dalam akaun peribadi beliau dan hal-ehwal UMNO.

Kritikan itu bukan sahaja daripada pembangkang, malah kepimpinan kanan parti itu sendiri, yang dilihat boleh menjejaskan perpaduan dan keutuhan parti itu.

“Bantulah saya, memacu Malaysia menuju puncak hingga ke mercunya. Biar mati berkalang tanah, perjuangan UMNO tidak akan dibiar musnah.

“Sesungguhnya jua, kesetiaan dan ketaatan bukan sekadar menjadi nilai-nilai utama, malah merupakan sifat, sikap, prinsip dan pegangan yang semestinya berdarah daging dan menunjang dalam diri setiap orang UMNO dari sebawah-bawahnya, hingga kepada pimpinan-pimpinan kanan,” katanya.

Pada akhir ucapannya, seluruh perwakilan bangun bagi menyatakan solidariti mereka kepada kepimpinannya. Dr Mahathir, Muhyiddin dan Shafie dilihat turut akur untuk bangun bersama-sama perwakilan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Takwim

September 2021
M T W T F S S
 12345
6789101112
13141516171819
20212223242526
27282930  
naahh

Recent Comments

    Archives

    Categories

    Hiburan

    linkedin facebook pinterest youtube rss twitter instagram facebook-blank rss-blank linkedin-blank pinterest youtube twitter instagram