Kerajaan Terengganu bersetuju meningkatkan jumlah pembiayaan Program Penjanaan Ekonomi Keluarga Miskin (Program Jaya Diri) sebanyak 100 peratus daripada RM10,000 kepada RM20,000 bermula tahun ini.
Program kelolaan Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) itu bertujuan melatih keluarga miskin dengan kemahiran asas pengurusan diri untuk meningkatkan pendapatan keluarga.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri, YB. Muhammad Pehimi Yusof berkata, kenaikan itu dipersetujui berdasarkan kos yang diperlukan untuk memulakan sesebuah perniagaan.
“Keputusan ini dibuat berdasarkan kepada keperluan modal seorang usahawan baharu untuk memulakan perniagaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Graduasi dan Penyampaian Sijil Tamat Latihan Pelatih Jahitan Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) Khas Sesi 2013, hari ini.
Pehimi berkata, sehingga Februari lepas, YPKT telah membiayai 15,929 peserta program dengan jumlah pembiayaan RM47.44 juta sejak program diperkenalkan pada 1995.
“Kita berharap supaya lebih ramai lagi peserta akan mengikuti latihan tersebut terutama anak Terengganu yang mahu memajukan diri dalam perniagaan,” ujarnya.