Pemuda UMNO Bahagian Setiu baru-baru ini melancarkan Skuad Pengguna yang disertai 60 anggota daripada empat Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membantu peranan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi, dan Kepenggunaan (PPDNKK) negeri demi kepentingan orang ramai serta para peniaga di kawasan itu.
Skuad itu yang pertama kali diwujudkan di negeri ini dan bertindak selaku orang tengah antara peniaga dengan pengguna dilancarkan bersama oleh Ketua Pemuda UMNO Terengganu, Mohd. Johari Abu Bakar dan Ahli Parlimen Setiu, Che Zulkifly Jusoh di Bandar Permaisuri, Setiu.
Ketua Pemuda UMNO Setiu, Iskandar Jaafar berkata, Skuad Pengguna berperanan memberi kerjasama kepada PPDNKK cawangan Besut dan Setiu memantau harga 30 jenis barangan seperti ikan, ayam, daging dan sayur.
Beliau berkata, pihaknya juga akan cuba menyelesaikan sebarang aduan yang diterima daripada para pengguna di kawasan itu melalui rundingan dengan jabatan itu.
“Menerusi Skuad Pengguna ini, kita selaku orang tengah akan sentiasa memantau harga barangan yang dijual peniaga di DUN Jabi, Batu Rakit, Permaisuri dan Langkap.
“Apabila kita dapati setiap barangan itu dijual dengan harga tidak munasabah untuk mengaut keuntungan besar, maka kita akan laporkan kepada PPDNKK cawangan berkenaan demi kepentingan para pengguna,” katanya.
Beliau yang juga ADUN Jabi menyatakan demikian ketika ditemui selepas meninjau harga barangan berkenaan yang dijual peniaga di sekitar pasar tani dan Pasar Awam Bandar Permaisuri baru-baru ini.
Turut hadir Ketua Penguatkuasa PPDNKK cawangan Besut dan Setiu, Izani Abd. Latif.
Iskandar berkata, pihaknya akan menambahkan jumlah keahlian Skuad Pengguna daripada 60 orang kepada 100 orang di empat DUN itu pada tahun depan.
Sementara itu Izani berkata, hasil tinjauan bersama pihaknya di dua lokasi di pasar tersebut mendapati kebanyakan peniaga mematuhi peraturan dengan meletakkan tanda harga selain menjual barangan basah seperti ikan dan ayam dengan harga berpatutan.
Katanya, dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini, pihaknya telah mengeluarkan kompaun terhadap 35 peniaga atas pelbagai kesalahan dalam beberapa operasi di dua daerah terlibat di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 dan Akta Timbang dan Sukatan 1972.