Penduduk Besut Sambut Baik Kompleks Imtiaz Dikembalikan Semula

Pelbagai lapisan masyarakat di daerah Besut menyambut baik keputusan kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman, yang berjanji akan mengembalikan semula Kompleks Imtiaz Besut  kepada tujuan asal penubuhan pusat pendidikan berkenaan.

Mereka menyifatkan pengumuman yang dibuat Menteri Besar amat mengembirakan seluruh penduduk daerah itu terutama warga pendidik yang ingin melihat Kompleks Imtiaz Besut beroperasi secepat mungkin untuk pelajar Imtiaz.

Menurutnya, sikap prihatin kerajaan negeri khususnya Ahmad Razif yang mahu kompleks itu dijadikan tempat pelajar Imtiaz satu anugerah tertinggi kepada rakyat Besut yang sebelum ini sudah kecewa dengan isu Imtiaz.

Seorang aktivis masyarakat, Arifin Jusoh, 42, berkata keputusan terbaru yang dibuat kerajaan negeri itu amat tepat dan sesuai dengan kedudukan daerah Besut sebagai pusat pendidikan utama di negeri ini.

Katanya, sebelum ini Kompleks Imtiaz bernilai RM86 juta berada dalam keadaan tidak menentu kerana pelajar ditempatkan di Asrama Berkelompok di Kampung Padang Landak, dekat Jertih.

“Tidak ada gunanya bangunan berharga berjuta ringgit yang matlamat asalnya untuk pelajar Imtiaz tiba-tiba ditukar status,” katanya.

Kompleks Imtiaz Besut dilhamkan bekas Menteri Besar, Dato’ Seri Idris Jusoh ketika memimpin Terengganu dibina bagi menjadikan pusat pendidikan cemerlang dalam bidang agama dan sains.

Berikutan pengumuman itu, penduduk Besut mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar kerana sensitif  dengan kehendak rakyat dan berharap tindakan beliau itu satu penghormatan tertinggi selepas 100 hari mentadbir negeri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *