Ahmad Razif meraikan anak-anak yatim dari Rumah Tunas Harapan Darul Hilmi pada majlis berbuka puasa di Surau An-Nur, Kem Batalion ke-9, Pasukan Gerakan Am (PGA) Gong Badak, Kuala Terengganu semalam. Foto oleh Harish Fadzillah.
Menteri Besar, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman menyifatkan pengorbanan pasukan keselamatan yang bertugas di perbatasan bagi menjaga keselamatan negara adalah satu bentuk jihad sebenar.
Beliau berkata, tugas itu amat mulia kerana dengan wujudnya ketenteraman awam rakyat bebas dan selamat melakukan aktiviti harian lebih-lebih pada Hari Raya Aidilfitri.
“Pengorbanan mereka terhadap negara amat disanjungi masyarakat umum. Dalam konteks hari ini pengorbanan mereka mempertahankan negara adalah satu bentuk jihad dengan erti kata yang sebenarnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis berbuka puasa di Surau An-Nur, Kem Batalion ke-9, Pasukan Gerakan Am (PGA) Gong Badak, Kuala Terengganu semalam.
Hadir sama, isteri Menteri Besar, To’ Puan Halina Zakaria.
Turut diraikan pada majlis itu, warga kem berkenaan serta anak-anak yatim dari Rumah Tunas Harapan Darul Hilmi, seberang Takir.
Pada majlis itu, Ahmad Razif turut memberi sumbangan sebanyak RM10,000 kepada Kelab Keluarga PGA Gong Badak dan Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Terengganu menerima RM5,000.