Peyatim Sasar RM350 Juta Skim Tanah Waqaf Pendidikan

Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Malaysia (Peyatim) menyasarkan jualan berjumlah RM350 juta daripada Skim Tanah Waqaf Pendidikan Anak Yatim dan Miskin dalam tempoh sepuluh tahun akan datang.

Presiden Peyatim, Dato’ Dr. Tengku Mahmud Mansor berkata, bagi mencapai sasaran tersebut, tanah seluas 320 ekar di kampus tetap Kolej Universiti Bestari (UCB) mula dijual dan diwakafkan dengan kadar RM30 bagi 0.1 meter persegi sejak April tahun lalu.

“Sehingga kini, kita telah mendapat lebih kurang RM6 juta daripada derma waqaf berkenaan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena Majlis Anugerah Kualiti UCB yang dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Transformasi Kerajaan, Komunikasi dan Multimedia negeri, YB. A. Latif Awang, di Ri-Yaz Heritage Marina Resort & Spa, Kuala Terengganu, malam semalam.

Tengku Mahmud memberitahu, sambutan orang ramai terhadap penjualan tanah waqaf bagi penubuhan sebuah universiti wakaf pertama di Malaysia itu cukup menggalakkan.

Katanya, melalui konsep waqaf itu pihaknya mensasarkan perolehan sebanyak RM10 juta setahun di atas tanah kampus utama institusi yang terletak di Mukim Tasik, Setiu.

“Sehingga kini, kira-kira RM500 hingga RM600 ribu diterima pada setiap bulan hasil penjualan waqaf yang diuruskan oleh Yayasan Waqaf Pendidikan Anak Yatim atau Miskin Malaysia.

“Ejen penjualan waqaf UCB ini telah dipertanggungjawabkan kepada 700 cawangan Pejabat Pos dan 1200 cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) di seluruh negeri,” ujarnya.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *