Tiada apa yang patut dihairankan apabila melihat tindak tanduk Pas berhubung perletakan jawatan ADUN Kajang, Lee Chin Cheh dari PKR bagi memberi laluan kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim bertanding di DUN Kajang.
Seperti biasa Pas di dalam pakatan tidak ubah seperti singa sarkas yang melakukan aksi untuk hiburan semata-mata dengan mengikut setiap telunjuk tuannya yang memegang cemeti.
Bagi bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Dato’ Seri Mohd Fairus Khairuddin, apa jua nada garang atau ketidakpuasan hati yang ditunjukkan Pas tidak akan ke mana kerana mereka terperangkap dalam kedangkalan mereka sendiri.
Kenyataan beliau yang dipetik dari Media-UMNO itu memberitahu, harga yang mereka perlu bayar setelah berbai’ah’ bersama sekutu mereka di dalam pakatan pembangkang.
“Sebelum ini bukan main garangnya, namun rupa-rupanya itu hanya sekadar lakonan semata-mata. Hakikatnya Pas hanya penumpang dalam pakatan kerana segala keputusan akhir terletak pada tangan DAP dan PKR.
“Akhirnya Pas terpaksa bermain wayang dalam keadaan ahli dan penyokong mereka di akar umbi sedang kuat bergolak dek permainan politik jijik PKR dan DAP berhubung drama di Kajang,” katanya baru-baru ini.
Pas Pusat dan Pas Negeri Selangor dilaporkan akan membantu jentera pilihan raya PKR berdasarkan kepada keperluannya dalam menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Kajang.
Sebelum ini dilaporkan Pemuda Pas akan memboikot pilihan raya kecil DUN berkenaan jika Lee Chin Cheh gagal memberikan penjelasan munasabah dalam isu peletakan jawatan tersebut.
Kata dua itu dibuat Pengarah Jabatan Pilihan Raya Dewan Pemuda Pas, Mohd. Sany Hamzan yang menuntut penjelasan itu dibuat secara bertulis dan diserahkan kepada ketuanya, Suhaizan Kaiat dalam kadar segera.
Mengulas lebih lanjut Fairus seterusnya percaya Pas sebenarnya sedar drama di Kajang tidak akan menguntungkan mereka tetapi mereka tidak berdaya untuk membantah kerana terikat dalam satu perjanjian bersama.
“Projek Kajang sekali lagi menyerlahkan imej Pas yang terus diperbudak-budakkan. Akhirnya Pas terperangkap dalam drama Kajang” ujarnya.