Remaja Pulau Perhentian Berjaya Tubuh Sayap Puteri UMNO

Impian remaja di Pulau Perhentian, Besut untuk bergiat aktif dalam politik semasa, akhirnya menjadi kenyataan apabila mereka berjaya menubuhkan sayap Puteri UMNO sebagai wadah perjuangan bangsa.

Usaha penubuhan yang dicetuskan oleh sekelompok 15 ahli Puteri yang tinggal di pulau itu juga mencatat sejarah baru kepada Puteri UMNO Besut kerana berjaya mengembangkan sayapnya ke kawasan yang dianggap terpencil di bahagian Besut.

Dengan penubuhan Puteri UMNO di Pulau Perhentian itu ia menjadi cawangan ke 24 di Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut dan yang ke 105 di Bahagian Besut.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman yang juga Ketua Penerangan UMNO Bahagian Besut merasmikan penubuhan sayap Puteri berkenaan dalam satu majlis bersejarah  kelmarin.

Serentak itu, beliau turut menerima borang keahlian Puteri UMNO yang disampaikan oleh ketuanya, Norhayati Mohd Sidek.

Ketua Puteri Umno Besut, Erniesalwani Saidi berkata, penubuhan sayap baru puteri di pulau itu menambahkan lagi kekuatan ahli dan berharap lebih banyak sayap akan ditubuhkan menjelang akhir tahun ini.

Beliau turut megucapkan penghargaan kepada semua kepemimpinan parti semua peringkat yang turut membantu sehingga berjaya menubuhkan sayap baru di pulau yang terkenal sebagai detinasi pelancongan tersohor itu.

Dalam perkembangan lain, Tengku Zaihan berkata, urusetia penerangan bahagian kini giat mempelbagaikan penyusunan aktiviti bagi memberi penerangan kepada ahli parti yang bermula diperingkat ketua penerangan empat peringkat.

“UMNO bahagian juga sedang memperhebatkan pengisian maklumat dengan ujudnya Unit Media Baru (UMB) yang berfungsi sebagai saluran untuk parti dan masyarakat,” katanya.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *