Selendang Merah Lambang Keutuhan Wanita UMNO

Wanita UMNO Dungun menunjukkan sokongan yang utuh terhadap parti apabila berjaya menghimpunkan hampir 1,000 ahli di padang Sekolah Kebangsaan Pulau Serai, Dungun, semalam.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata program yang dianjurkan oleh Wanita UMMO Dungun tersebut menunjukkan semangat mereka untuk parti.

“Untuk bergerak dalam politik, apa yang paling penting adalah semangat dan Wanita UMNO Dungun telah menunjukkannya pada program ini.

“Dengan kehadiran yang ramai ini, mereka menujukkan kesetiaan kepada parti sekaligus menyokong kepimpinan presiden parti, Dato’ Seri Najib Tun Razak,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Program Himpunan Selendang Merah Wanita UMMO Dungun di Sekolah Kebangsaan Pulau Serai, Dungun, semalam.

Turut hadir isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Halina Zakaria, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Tan Sri Annuar Musa, Pegawai Pembangunan Daerah Dungun, Dato’ Din Adam dan Ketua Pergerakan Wanita UMNO Perhubungan Terengganu, Dato’ Fatimah Hamad.

Ahmad Razif yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu berkata program tersebut juga menunjukkan hasil kreativiti Wanita UMNO Dungun dalam menaikkan nama parti.

“Ini adalah hasil daripada kreativiti mereka. Bagi bahagian lain pula, terpulang bagaimana untuk mereka jalankan.

“Saya akan memberi sokongan penuh jika mereka ingin adakan di peringkat negeri pada masa akan datang,” katanya.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *