Semua Masjid Di Terengganu Diarah Terima, Kumpul Naskah Al-Quran Rosak

Semua  masjid di Terengganu diarah menerima dan mengumpul naskah al-Quran yang rosak daripada orang ramai sebelum diserahkan kepada pejabat agama bagi tujuan pelupusan mengikut syariat Islam, kata Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Islam Terengganu, Dato’ Mohd Rozali Salleh.

“Kita akan mengeluarkan arahan kepada masjid supaya menerima dan mengumpul naskah al-Quran yang rosak datangnya daripada orang kampung ataupun perseorangan.

“Dulu orang ramai diminta hantar al-Quran lama yang rosak terus ke pejabat agama tapi kini kita akan mempermudahkan urusan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengetuai rombongan pelupusan 1,800 kilogram abu al-Quran dan bahan-bahan bercetak yang mengandungi teks ayat-ayat suci itu di Laut China Selatan, 12 batu nautika dari Jeti Shahbandar, semalam.

Ini kerana sebelum ini masih ramai yang tidak tahu di mana dan bagaimana untuk ke khidmat pelupusan naskah al-Quran yang rosak, surah yassin, buku teks mengandungi ayat al-Quran dan kalimah Allah yang mengikut lunas-lunas Islam dan terhormat, sesuai dengan kesuciannya.

Menurut Rozali adalah penting bagi umat Islam menggunakan perkhidmatan pusat pelupusan al-Quran yang bertauliah dengan menggunakan relau khas bagi melupuskan kitab suci itu demi memastikan proses dilaksana dengan tertib.

“Selain dilupuskan melalui pembakaran sebelum abunya dibuang ke laut, kaedah Islam lain iaitu cara membakar dan menanamnya boleh digunakan, namun kita tidak galakkan kerana dikhuatiri akan dipijak orang yang lalu-lalang,” katanya.

Beliau turut mengalu-alukan orang ramai menghantar al-Quran lama yang rosak terus ke pejabat agama daerah masing-masing untuk tujuan pelupusan.

Ditanya mengenai bentuk dosa, Rozali berkata adalah berdosa seseorang Islam tidak menghormati kitab suci al-Quran walaupun ia dalam bentuk tidak sempurna.

Dalam perkembangan lain, katanya pihaknya akan melakukan rondaan dan pemantauan bagi menahan pesalah yang tidak menghormati bulan puasa.

“Operasi maksiat kita akan buat seperti kebiasaan. Cuma dalam bulan puasa ini tumpuan lebih kepada orang tidak hormati bulan puasa,” katanya.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *